CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 9

Datuk Mikayel gelisah sendiri. Setelah menyelidik latar belakang Hid Johar, perasaannya semakin tidak tenteram. Datin Alia perasan dengan perubahan Datuk Mikayel namun dia tidak berani untuk bersuara. Jika Datuk Mikayel buat muka muram begitu, itu tandanya ada sesuatu yang mengganggu fikiran Datuk Mikayel. Kalau Datuk Mikayel tidak mampu menyelesaikan masalah itu apatah lagi Datin Alia.
“Air nak lagi ke? Dah sejuk tu, bang.” Datin Alia menegur. Sekurang-kurangnya walaupun fikir pasal kerja tapi makanan tu perlu juga dilayan.
Datuk Mikayel membuang pandang ke arah pinggan berisi kuih dan secawan kopi yang dah sejuk.
“Tak apa, saya minum nanti.”
“Kerja okey, bang?”
“Okey.” Balas Datuk Mikayel sepatah.
Kalau bukan pasal kerja... “Awina okey?”
Wajah Datuk Mikayel berubah. Tahulah Datin Alia apa yang mengganggu fikiran Datuk Mikayel.
“Kenapa dengan Awina? Dia kerja teruk atau prestasi dia yang teruk?” Soal Datin Alia perlahan. Cuba menarik rambut di dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut pun tak putus. Sangat berhati-hati.
“Saya tengok cctv luar, Win jumpa seorang lelaki dua kali pada waktu malam. Lia tak sedar?”
Datin Alia terkejut. Terkebil-kebil untuk beberapa saat cuba menghadam kata-kata Datuk Mikayel.
“Saya tak tahu dia bercinta, bang!”
“Sekali saya tertangkap mereka berdua tapi Win belum tahu lagi pasal ni.”
“Budak elok-elok ke atau tak elok?” tanya Datin Alia lagi. Tahu suaminya pasti sudah menyiasat latar belakang lelaki yang menjadi teman baru Awina.
“Saya tahu dia gila motor.”
Datin Alia jadi gelisah. “Mat motor ke bang?”
“Dia bukan mat rempit. Tapi ke mana-mana pakai motorlah juga.”
“Win naik motor dia sekali ke bang?”
Mungkin sudah kerana kedudukannya, di mata Datin Alia, orang yang menunggang motorsikal ni adalah orang yang bermasalah. Anak-anak nakal atau remaja yang kurang perhatian dari ibu bapa.
“Apa pendapat awak?” Datuk Mikayel merenung wajah isterinya. Sudah tua juga seperti dirinya tapi manis tetap terletak tidak hilang dari wajah. Tampak tenang walau Datuk Mikayel sedar gelisah si isteri untuk anak kesayangan.
“Lewat malam ke dia orang berjumpa?” tanya Datin Alia lagi, inginkan kepastian. Datuk Mikayel mengangguk.
“Orangnya ada kerja ke tak?”
“Ada.”
“Abang pula, bagaimana? Sedia terima dia jadi menantu?”
Datuk Mikayel senyap. Senyapnya membawa arti lain. Senyap kerana tahu bahawa lelaki bernama Hid Johar itu ada kaitan dengan Azri, arwah suami Awina. Complicated sudahnya. Takkan dunia ini berputar untuk Azri sahaja? Dejavu? Atau dah memang takdir jantung Azri mencari Awina semula? Tapi Awina dan Azri, bukankah hubungan mereka seperti retak menunggu belah. Datuk Mikayel bukan buta menilai. Antara Awina dan Azri, hubungan mereka sentiasa berada dalam ambang kegelapan. Awina tak bahagia. Begitu juga arwah. Jadi tak akan ada kemungkinan kisah dongeng yang seperti ini kerana kisah cinta mereka bukan kisah cinta abadi.
 “Saya kalau boleh tak nak Awina dengan lelaki begitu. Masa depan Win boleh jadi cerah jika dia kahwin dengan lelaki yang lebih berjaya.”
“Tapi abang tengoklah arwah Azri dan Awina, abang nak ulang sejarah tu semula? Kahwin tanpa cinta, kahwin dirancang keluarga. Mana tahu rupanya arwah ada kekasih hati sebelum ini, kan?”
Sebab tak nak sejarah tu berulanglah Datuk Mikayel tak mahu Awina dengan Hid Johar berkasih!
“Awak fikir dulu, baik-baik, lepas tu tolong pujuk Win untuk jangan berkawan dengan budak tu.”
“Saya tak nak masuk campur lagi, bang. Biar Win yang kendalikan hidup dia.”
Datuk Mikayel mengeluh kecil. Kali ini dia tidak berjaya memerangkap Datin Alia untuk menuruti kehendaknya, seperti ketika dia mempengaruhi Datin Alia untuk memujuk Awina menerima arwah Azri sebagai suami.
Kenangan semalam mengejar kembali. Di mana Awina meluahkan perasaan sukanya terhadap arwah Azri sehingga Datuk Mikayel sendiri yang mengambil tindakan meminta arwah Azri mengambil Awina sebagai isteri. Adakah Datin Alia akan percaya dengan ceritanya itu?


MESEJ untuk ke 21 kalinya dari Hid Johar. Hairan. Masih lagi lelaki itu tidak berputus asa untuk mengajaknya ke pantai walaupun dia sudah menolak dengan alasan yang dia sibuk hari ini.
‘Saya tunggu di bawah pejabat awak.’
Ah, sudah!
Ramai yang bergosip Awina punya pengganti baharu. Dan sekarang secara suka rela pula Hid Johar mempromosikan diri di bawah. Awina mengetuk meja sambil mengeluh kecil.
Dia suka Hid, tapi dalam masa yang sama perlakuan Hid agak di luar jangkauan. Sukar untuk diagak. Dan selalu buat jiwa Awina merusuh untuk turut keluar dari rasional.
‘Tunggu kat restoran depan pejabat tu. Nanti ramai yang bergosip.’
‘Sebab awak anak pemilik company ni?’
Mesej Hid tidak berbalas. Hid sengaja bermain api dengannya kah? Agaknya Hid tak tahu dia paling benci bila kedudukan papanya diungkit-ungkit dan dijadikan bahan gurauan.
Ok saya tunggu di restoran depan. Sorry mengganggu.’ Hid mesej lagi. Tak sampai 10 minit, telefon Awina bergetar semula.
‘Sorry, saya pun tak faham kenapa saya beria sangat nak ajak awak ke tempat jauh. Saya nak bawa awak sangat. Tapi saya tak berniat apa-apa. Tak tahu awak nak percaya atau tak. Saya balik dulu, Awina. Saya faham awak tak nak jumpa saya.’
Keluhan dalam terlepas dari bibir Awina. Lain pula jadinya. Lelaki ini cukup pandai bermain emosi dan perkataan. Awina dikejar rasa bersalah.
‘Tunggu je. Tak lama lagi saya turun. Saya ada kerja sikit lagi.’ Balas Awina seraya mengeluh dalam. Telefon pintar diletak di atas meja, begitu juga kepalanya.
Dia garu pipi yang tidak gatal sambil cuba berfikir dalam apa yang dia nak buat dengan Hid Johar. Lelaki itu seperti ikhlas tapi dia asyik mengelak dan mahu berada dalam zon selamat. Normal la kut. Sebab baru berkenalan. Cuma bila Hid selalu mendesak begini, Awina rasa kurang selesa.
15 minit begitu akhirnya Awina bangun dari kerusi. Beg tangan di bimbit dan telefon dicapai. Langkahnya kemas keluar dari bilik pejabat.
“Nur, saya off half day.” Pinta Awina kepada PA nya.
“Datuk Mikayel nak jumpa pukul 3 petang ni..”
“Cakap kat Datuk Mikayel, Awina ada urusan petang ni yang tak dapat dielak.”
Awina melangkah keluar dari jabatan membiarkan Nur terpinga-pinga di tempat duduknya.
“Untunglah orang kaya, off day pun tak perlu isi borang cuti.” Bisik Nur dalam hati.


SENYUMAN lebar Hid Johar mampir di anak mata Awina. Tidak marah atau merajukkah? Fikir Awina tentu Hid Johar berkecil hati dengan dirinya tadi. Yalah, menjawab mesej pun bagai nak tak nak. Tapi Hid senyum seperti anak kecil yang menunggu seseorang datang kepadanya.
Hairan senyuman itu langsung tiada rasa canggung. Senyuman seperti Hid nak tunjuk kepada Awina yang dia betul-betul rasa gembira saat ini. Saat Awina masuk ke dalam restoran sehingga duduk di depan matanya.
“Hai!” Tegur Hid sebaik sahaja Awina duduk di atas kerusi. Awina ikut membalas senyuman itu walau tidak semanis senyuman Hid Johar.
“Hai, sorry, saya busy sangat tadi,” ucap Awina pelan, ada unsur tipu dalam ayatnya tapi itu sebagai helah penyelamat diri.
“Saya yang patut minta maaf ganggu awak macam ni.”
“Awak tak kerja?”
Hid angkat bahu sambil merenung wajah Awina, cuba menangkap reaksi wanita di hadapannya.
Just in case awak tak tahu, saya dulu kerja bersyarah di kolej swasta tapi lepas keadaan saya makin memburuk... sebab saya sakit masa tu, saya quit. Sekarang ni saya kerja dengan kakak saya. Bila kerja dengan kakak, saya buat time kerja sendiri aje. Dia minta saya hantar kain malam-malam pun saya on.”
“Sakit?”
“Tak lama dulu saya belah dada,” ucap Hid separuh bergurau.
Are you serious?” Awina menekan suara. Dia rasa Hid berjenaka tapi Awina tak suka jenaka tentang perkara sebegitu. Dalam dunia ni, paling pentinglah kesihatan. Tak sihat maknanya sakit. Dan sakit, maknanya sesuatu yang buruk bakal terjadi. Nikmat sihat itu adalah segalanya bagi diri Awina. Perkara seperti itu mana boleh dibawa main.
Hid angguk, “Kuku saya ni kalau awak nampak masa tu bukan warna macam sekarang ni. Jantung sekarang ni pun jantung fake. Not the real one.”
“Mana jantung awak?”
“Dah mati.” Hid menjawab dengan nada bersahaja. Awina hela nafas panjang.
“Jadi sekarang ni jantung awak jantung main-main?”
Hid ketawa mendengar pertanyaan Awina.
“Taklah main-main. Tapi bukan saya punya. Orang lain punya. Tapi sebab jantung ni, saya masih hidup dan buat benda yang saya suka. Berada dengan orang-orang yang saya sayang untuk dalam tempoh yang saya pun tak boleh nak jangka.”
“Awak serius ni?”
“Saya tak pernah serius macam ni, Wina.”
Awina mengertap bibir. Dadanya berdenyut laju.
“Mungkin sebab tu la saya berani approach anak orang kaya dengan keadaan saya yang macam ni. Saya lebih berani untuk menikmati hidup dan saya tak takut apa-apa. ALLAH beri saya peluang untuk hidup sekali ni tapi saya tak tahu bila saya mati. Jantung ni bukan saya punya, bila-bila masa dia akan reject saya.”
“Jangan cakap macam tu.” Awina pandang muka Hid dengan perasaan yang berbaur. Sempat dia tangkap tawa kecil dari bibir Hid.
“Tapi jangan salah faham. Saya tak nak cari simpati atau nak tarik perasaan empati awak pada saya. Saya suka kita berkawan macam ni.”
“Macam ni?” Awina keliru.
“Ya. Kita tak tahu apa yang akan jadi pada masa hadapan. Tapi saya nak tunjuk kat awak segala benda yang saya kena tunjuk.”
“But I’m not like you.”
“Maksud awak?” Berkerut dahi Hid. Jantungnya berdegup lebih laju dari biasa.
“Saya berfikir tentang masa hadapan, apa yang saya akan lalui. Saya merancang lebih dari orang lain. Berkawan? Saya bukan tak nak berkawan tapi saya dah pernah kahwin. Awak rasa janda macam saya ada hak berkawan ke? Orang akan mengata.”
“Hmmm..” Hid terkerdip-kerdip cuba menghadam semula kata-kata Awina. Takkan dia nak suruh aku masuk meminang terus? Bisik hati kecilnya.
“Tapi jangan salah faham. Saya tak desperate cari suami.” Awina sambung kata-katanya. Hid menyengih kecil. Dia macam familiar dengan kata-kata Awina sebentar tadi.
“Tapi jangan salah faham tu trademark hari ni ke?”
“Mungkin, Hid. Kerja dengan kakak awak, awak boleh escape bila-bila masa kan?”
“Tak lah juga. Tapi hari ni saya free sebab Kak Ji balik rumah keluarga mertua dia.”
“Kak Ji dah kahwin?” Awina terkejut.
Hid angguk kepala.
“Dia baru aje kahwin tempoh hari, suami keduanya. Saya aje yang belum kahwin.” Ujar Hid mengangkat kening.
“Saya tak tanya pun.” Awina buat muka batu. Konon dia tak kisah kenyataan Hid Johar sebentar tadi walaupun Awina 100% faham maksud Hid Johar tu.
“Kalau-kalau awak tak tahu status sebenar saya, kan? Lagipun elok berterus-terang.” Balas Hid Johar sambil membaca jam di tangan. Awina pasti perlu menyambung kerja-kerjanya yang tertinggal.
“Awak nak balik ke pejabat dah ke?” tanya Hid Johar bersahaja. Dia senang bertemu dengan Awina tapi Hid juga sedar ada batas yang dia tak boleh langgar sesuka hati. Sekurang-kurangnya dia baru sedar hari ini yang Awina ada tanggungjawab yang menanti.
Awina turut pandang jam seperti Hid. “Saya dah ambil half day tadi.”
“Oh ya? Kenapa?” Hid angkat muka. Kut-kut la Awina nak ikut dia ke pantai...
“Awak kata nak tunjukkan sesuatu...”
“Awak nak ikut saya?” Hid Johar tak mampu menutup keterujuaannya. Dia hampir-hampir berdiri kerana diterjah rasa gembira.
“Awak nak bawa, saya ikut aje. Saya pun nak tahu apa yang awak nak tunjuk sangat tu.”
You’ll never regret your decision, Win.”
Hope so. Jom lah. Nanti lambat. Nak tengok matahari terbenam ke ni?” soal Awina menyembunyikan senyuman. Hid Johar ceria. Hatinya juga ikut ceria. Aura lelaki itu saja sudah cukup buat dia rasa lapang selapang-lapangnya.
“Awak tak kisah order tak sampai lagi?”
“Esok-esok saya boleh makan kek tu. Kan dekat aje dari pejabat saya,” balas Awina menyangkut tali beg besi kecil di bahu.
“Saya belanja awak yang tu.”
“Yang mana?”
“Kek untuk esok-esok tu. Sebab saya awak tak jadi nak menjamah kek.”
Awina mengangkat punggung. Alah, setakat kek tu pun nak berkira juga si Hid Johar. Bukan dia lapar sangat pun. Secret recipe lagi best.
“Saya bayar dulu kat kaunter, awak pergilah tunggu di luar.” Pinta Hid.
“Awak tak bawa saya tunggang motor kan?” tanya Awina tiba-tiba. Teringat yang Hid ni bawa motor hari-hari. Ngeri pula dia duduk jadi pembonceng berjam-jam di atas motor.
“Bagus juga cadangan tu. Tapi saya bawa kereta pula hari ni.”
Awina menghela lega. Hid bergurau lagi. Tapi sekurang-kurangnya Awina tak payah jadi pembonceng motor hari ni. 








0 Komen untuk Cik Rin: