BAB 1
"UMI risau,"
"Hid tak mati lagi," balas Hid
Johar bergetar.
Jawapan Hid Johar menggigit hati ibunya.
"Umi risau," luah Puan Aniqah
lagi. Hid Johar tersenyum pahit menentang redup mata wanita separuh abad di
hadapannya.
"Kalau umi menangis lagi, Hid kalah
nanti," balas Hid Johar perlahan. Wajah pucatnya nyata mengalami kesakitan
yang amat. Puan Aniqah mengertap bibir dan cepat-cepat mengesat air matanya
yang tidak mahu berhenti mengalir.
"Hid kena selamat juga. Dah lama kita
tunggu peluang ni, Hid kena kuat."
Hid mengangguk kecil. "Umi tak boleh
sedih." Kalau Hid mati pun umi jangan sedih.. sambung Hid di dalam hati.
"Hid.." Esakan Puan Aniqah
semakin kuat.
"Tak boleh menangis lagi lepas ni.
Hid tak nak dengar umi menangis." Suara Hid tenggelam timbul gara-gara
sukar untuk bercakap kerana dia bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.
Dia mahu meminta uminya untuk tidak
bersedih dan menangis andainya ditakdirkan nafas menghilang dari muka bumi namun
sekali lagi kata-kata itu bagai tersekat di hujung lidah. Kalau boleh dia mahu
umi terus bertabah dan bersabar sepanjang ketiadaannya namun air mata Puan Aniqah
membuat bibirnya kelu. Untuk diluahkan tidak sampai hati kerana melihat wajah
Puan Aniqah yang sudah tak keruan.
"Peluang untuk sembuh tu ada, tapi kita
harap Encik Hid Johar dan keluarga untuk lebih bersedia." Masih
terngiang-ngiang di telinga Puan Aniqah dengan permintaan doktor lelaki separuh
abad yang akan melakukan pembedahan untuk menukar hatinya dengan hati yang baru
bagi meneruskan hidup. Sebenarnya walaupun peluang itu tinggal 10% saja pun,
Puan Aniqah tetap percaya dengan kehidupan Hid Johar, satu-satunya anak lelaki
yang dia ada. Puan Aniqah tetap percaya satu hari nanti Hid akan bernafas
seperti sediakala tanpa bantuan dari alat pernafasan. Satu hari nanti Hid akan
menyapa Puan Aniqah dengan senyuman lebar tanpa tercoret sedikit pun rasa sakit
pada air mukanya.
"Hid, banyak-banyak baca ayat yang
umi pesan. Hid kena kuat sayang. Pegang apa yang ALLAH dah janjikan. Di setiap
kesukaran pasti ada hikmah tersembunyi. Dosa-dosa kita ni nak, akan diampunkan
oleh ALLAH dengan rasa sakit yang Hid tengah tanggung sekarang ni. Percayalah,
Hid ada umi dan ada Jihanna. Hid tak bersendirian."
Tangan Hid Johar digenggam oleh Puan Aniqah,
mahu berkongsi sedikit kekuatan dengan anaknya.
"Tahu..." Hid jawab sepatah.
Matanya sengaja ditutup rapat. Air mata jatuh ke hujung telinga.
'Kalau Hid tak ada nanti, umi kena kuat
dan kena teruskan juga hidup. Lupakan Hid. Lupakan anak umi ni.' Hati Hid Johar
berbisik untuk kali yang terakhir sebelum katil hospital ditarik masuk ke bilik
pembedahan.
"Hid, akak nak jumpa Hid nanti. Kita
kan dah janji, Hid dah janji temankan akak untuk ke Korea. Kan?" Suara
halus Jihana menusuk jiwa Hid Johar.
Hid Johar mengangguk kecil. Janji itu, dia
tidak pasti tertunai atau tidak tapi yang dia mahu sebelum dirinya bertempur di
ruang bedah, kakak dan uminya tersenyum sebelum mereka berpisah. Tapi yang dia
nampak hanya air mata yang mengiringi pemergiannya.
Sungguh, dia juga punya rasa takut. Dia
juga tidak mengharap tinggi keluar sebagai insan yang hidup selepas ini. Hid
mahu bersedia mana tahu jasad terpisah dengan roh sebentar lagi.
Hid Johar menelan air liur kesat apabila
beberapa orang doktor bersedia di sekelilingnya. Terasa tangan dan kakinya jadi
sangat sejuk. Jiwanya juga kosong dan reda. Inikah perasaan apabila tiba
diambang maut? Ya ALLAH... Ampunkan dosa-dosaku yang tak terkira banyaknya.
Jika hati itu diganti, adakah kesakitan
dan rasa sengsara itu boleh berlalu hilang dari hidupnya? Dia tidak sanggup
untuk bergelut dengan kesakitan seperti yang dilaluinya sepanjang dua tahun
ini. Terlintas difikiran Hid Johar mati itu lebih baik daripada hidup
menanggung kesakitan seperti ini..
Tapi umi dan Jihanna bagaimana?
"TAK ada harapan lagi, memang tak boleh. Dua
hari terlantar. Kelmarin lagi keluarga dia dah call mami kata oksigen dah tak
masuk dalam otak Azri. Doktor kata kita kena bersedia."
"Jadi mami nak Win buat apa?"
"Win isteri dia, sekurang-kurangnya
Win sedih ke apa."
Awina cebik bibir. "Azri tu mi, dia
sukakan orang lain berbanding isteri sendiri! Takkan Win nak bazirkan
air mata jumpa dia di sana?"
Datin Alia menepuk dahi melihat telatah
anaknya.
"Win betul-betul ke ni? Langsung tak
nak jumpa dia untuk yang terakhir kali?"
"Dia dah koma, nak jumpa buat apa. Win
tak nak la tengok dia dalam keadaan macam tu. Win takut!" Dia masih lagi
memberi alasan. Wajahnya jadi berubah kelu sebaik saja terbayang-bayang air
muka Azri yang sedang menunggunya di katil hospital.
"Win ingat boleh selamat ke macam tu?
Baik Win jumpa dia alang-alang dah ada kat sini. Sementara tu minta kat dia
supaya jangan roh dan hantu dia kacau Win lepas ni." Datin Alia menjegil
mata.
"Mami!" Awina terkesima. Tidak
menyangka Datin Alia percaya dengan benda karut-marut begitu sedangkan Datin
Alia adalah wanita yang moden dan bergaya.
"Win dah kahwin dengan dia lima
bulan. Dalam lima bulan ni Win asyik bergaduh aje dengan Azri. Win ingat Win
selamat dunia akhirat?"
Awina menggigit bibir. Dia tidak suka
dengan kenyataan Datin Alia namun sedikit sebanyak hatinya tergerak juga.
Banyak mana dia bencikan Azri, dia perlu meminta maaf kepada lelaki itu kerana
dia masih lagi isteri yang sah. Untuk tempoh lima bulan yang panjang, yang
sangat menyiksa jiwa dan raga, Awina mahu Azri yang meminta maaf kepadanya.
Untuk apa dia diikat andainya sebagai bahan mainan saja?
Kesal.
"Pergi cepat. Nanti dia kena masuk
bilik bedah."
Awina mengeluh panjang.
"Muka dia hancur tak mami?"
"Taklah, cuma jangan pergi tengok kaki dia atau bahagian bawah, takut Win trauma nanti." Datin Alia termenung pendek cuba membaca tingkah Awina. Anak perempuannya itu seperti masih menyimpan dendam walhal menantunya sedang berjuang demi sebuah kehidupan. Tiada perasaan langsungkah Awina?
Awina mengertap bibir.
“Teruk sangatkah mami?” soal Awina
teragak-agak.
Datin Alia mengangguk kecil.
Awina hela nafas dalam. Dia jadi takut
tiba-tiba.
"Mami temankan boleh?” Pinta Awina
perlahan.
"Win pergilah sendiri. Mami dah pergi
tengok tadi. Dia tu tak ada sesiapa Win, kita aje yang dia ada."
"Mana pergi kekasih dia tu mami? Dah
lenyap ke dah mati sama?” Sempat Awina menyindir.
Datin Alia mengeluh. Degil Awina
kadang-kadang boleh membuat sabarnya menjadi runcing.
“Dia ada adik, family, takkan semua tak datang?” Awina mengerut dahi.
"Isy, pergi cepat!" Datin Alia
menolak bahu Awina kuat. Banyak songeh pula anaknya itu.
"Sekurang-kurangnya jenguklah si Azri
tu,” sambung Datin Alia melihat Awina memuncungkan bibir.
“Cinta separuh mati dia kat perempuan tu,
mami. Sampai Win ni dah jadi macam lalat nyamuk aje kat rumah tu."
“Win jangan ego sangat, kita tak tahu bila
Azri akan pergi. Ditakdirkan dalam masa seminit ni dia jadi arwah, Awin reda?”
Awina menundukkan kepala. Ya dia ego, dia
degil. Tapi degilnya bersebab. Dia tidak sampai hati untuk melihat keadaan Azri
saat ini. Bagaimana jika dia tidak mampu untuk mengawal emosinya nanti?
"Win sayangkan diakan
sebenarnya?" tanya Datin Alia lembut.
"Tak pernah pun Win pasang harapan
kat dia. Win tahu dia kahwin dengan Win sebab papa. Tapi tengoklah sekarang,
ada papa ke sini lawat menantu kesayangan dia? Dulu beria-ia nak kahwinkan Win
dengan Azri. Kalau Win tahu macam ni, baik Win kahwin dengan orang lain aje.
Banyak je yang nakkan Win jadi isteri."
Semakin panjang bebelan Awina dek
mengingati kejadian beberapa bulan kebelakangan ini. Kahwin paksa rela,
fikirnya akan ada bahagia seperti kisah cinta dalam drama. Aduh, tak perlulah
imaginasi setinggi Kinabalu bila realiti itu sebenarnya pahit seperti hempedu!
"Mami minta maaf sebab biarkan Win
lalui semua ni. Kalau mami tegas sikit, mesti Win tak perlu datang ke sini, tak
perlu mengalami semua ni. Tapi mami tak nak Win jadi orang yang tak ada
perasaan. Mama tak nak Win jadi hati beku, apa-apa pun dia masih suami Win.
Kalau Win tak sempat minta maaf kat dia, Win bawa dosa tu sampai ke alam
barzakh."
Awina mengerut dahi. Kata-kata maminya
semakin membuat dia tidak keruan.
“Kalau nak kata memang Win tak setuju
dengan pilihan papa, Win sendiri takkan setuju. Tapi Win memang ada hati pada
Azri, kan?”
Awina memejam mata rapat mendengar teguran
Datin Alia. Nafas dihela berat.
“Pergilah Win, untuk kali terakhir. Azri
tu tak ada peluang untuk hidup langsung, Win..”
Lama Awina berteleku mencari kekuatan.
"Win masuk dulu," ujar Awina melangkah
perlahan masuk ke bilik ICU. Beberapa mata jatuh ke arahnya sebelum dia
benar-benar masuk ke dalam tirai yang menempatkan jasad Azri yang terlentang
kaku.
Hati Awina beristighfar panjang. Tadi
jiwanya seakan-akan mati. Seolah-olah dia terlepas dari beban yang berat. Namun
melihat keadaan Azri membuat air matanya bergenang panas.
"Ri..." Getus Awina tanpa sedar.
Dia mendekati lelaki itu. Tubuh lelaki itu bukan seperti tubuh Azri yang tegap
dan gagah. Wajah Azri yang pucat lesi membuatkan jantungnya bergegar kuat.
“Ri...” Seruan Awina lirih. Air mata jatuh
berderai ke pipi. Nafasnya jadi sesak!
“Ri kenapa you jadi macam ni?” Dia berbisik
menyapu air mata yang jatuh di pipi. Dia kena kuat. Kena tabah.
"Maafkan I sepanjang jadi isteri
you..." Suaranya jelas sarat dengan perasaan. Matanya terus menatap wajah
lesu Azri yang tidak bertenaga, tidak seperti selalunya.
"I minta maaf," ucap Awina
halus. Tangannya menggigil menyentuh pipi Azri. Rasa keliru, pedih dan sakit
mengamuk di dalam kepala. Jiwanya dirasuk dengan bersalah walaupun bukan dia
yang menyebabkan Azri terlantar kaku di situ.
"I minta maaf... I tak pernah hargai
you."
Awina tunduk hampir dengan wajah Azri.
"Kalaulah I tak ego, mungkin kita takkan jadi macam ni. I tak nak
sayangkan orang yang tak sayangkan I. You tahu I macam mana. You tahu I lebih
dari orang lain." Awina menggigit bibir. Sebaknya menyesak dada.
"Tapi kalaulah you dulu yang cari I,
yang pegang tangan I, pasti kesudahannya lebih baik lagi. Andai kata
ditakdirkan you hidup, you kena cari I dan you kena sayangkan I."
Awina teresak kecil. Tapi harapan tu dah
lenyap. Awina sedar Azri tidak punya banyak waktu kerana disahkan brain death. Kalau tidak kerana Datin
Alia memaksanya untuk turun dan melawat Azri, mungkin sampai ke saat ini Awina
sedang meratap di dalam bilik tidur menanti Azri datang kembali kepadanya dalam
keadaan sihat semula. Untuk sedar dari koma pun Azri sudah hilang peluang apatah
lagi untuk sembuh dan pulih seperti biasa!
"Cari I dulu..." ucap Awina
dengan sebak yang menyesak.
“Kalau you sembuh, I tak kisah, Ri. I tak
kisah apa aje keadaan you, I terima.Cari I. Bangunlah Ri... Bangun...” ujar
Awina sedikit kasar. Keluhan terlepas dari bibirnya dan dia hampir jadi gila
apabila realiti menghentak pertimbangannya. Dengan keadaan Azri begini, Awina
sedar tiada lagi mimpi indah yang boleh digapai bersama.
"Puan, saudara kepada pesakit
ke?" Tiba-tiba suara jururawat mengganggu tumpuan Awina.
Awina mengangkat kepala mengesat air mata.
"Ya saya."
"Puan, pesakit dulu ada perjanjian
yang telah ditandatangani untuk derma organ. Apabila kita berhentikan alat
bantuan pernafa..."
Awina menekup mulut dengan kedua-dua belah
tangannya. Air mata jatuh ke pipi tanpa dipinta.
"Puan?"
Awina berteleku sebentar dan kemudian
terus memeluk jasad Azri yang telah kaku.
"I cintakan you..." bisiknya
ikhlas, dari hati yang paling dalam. Pipi Azri dikucup sesaat. Pipi yang tidak
pernah disentuhnya. Pipi yang pernah didambakannya pada malam pertama. Cuma
malam terakhir ini barulah Awina punya kekuatan untuk menyentuh wajah cinta
pertama yang mengusik ruang hatinya. Beribu kesalan singgah menghamburi seluruh
jiwa.
Awina tahu dia telah kecundang dengan
perasaannya sendiri.
"PUAN Awina dan keluarga boleh tuntut jasad
suami malam ni. Tapi kalau nak ambil esok pun boleh."
Awina tidak bereaksi membiarkan saja Datin
Alia yang menguruskan segala-galanya.
"Kami akan ambil jasad esok pagi.
Boleh tak mandikan dan sembahyangkan di sini aje esok?"
"Boleh puan."
"Terima kasih.."
"Takziah puan di atas kehilangan,"
Datin Alia mengangguk kecil. Dipandangnya
Awina sekilas. Hairan berdetik di hati melihat Awina seolah-olah hilang
semangat. Takkanlah kerana dipaksa untuk menghadap Azri tadi anak perempuannya
itu jadi hilang akal pula. Sebelum ini bukan main lagi Awina berlagak seperti
tidak kisah.
"Win, jom balik."
"Azri?"
"Esok kita uruskan."
Awina tercebik menahan diri dari menangis
kuat. "Kesian dia, mami.."
"Dah pulak," keluh Datin Alia
melihat Awina seolah-olah tidak mahu bergerak.
"Mami, Win macam dah jatuh sayang kat
dia."
"Apa dia Win?"
Awina menghadap wajah Datin Alia. Matanya
kembali bergenang dan jari-jemarinya menggenggam lengan Datin Alia.
"Win cinta kat dia, Win sayang kat
dia."
"Baru hari ni Win sedar?"
"Win tak pernah cinta dia,
mami," esakan Awina kian jelas.
"Win, mana ada perempuan yang jatuh
cinta orang yang dah meninggal." Datin Alia mengeluh kuat. Apa kena dengan
Awina, tiba-tiba saja buat perangai.
"Tapi selama ni Win memang tak pernah
sayangkan dia, kenapa sekarang Win baru nak cintakan dia? Kenapa macam ni?
Kenapa hati Win sakit sangat mami? Peliknya mami, hati Win ni dari tadi tak
berhenti-henti berdebar. Takkanlah Win sayangkan dia lepas dia dah
mati..."
"Win dengar sini, itu bukan perasaan
cinta Win. Apa yang Win rasa tu sebenarnya simpati, rasa bersalah dan empati Win
terhadap dia. Faham tak ni?" soal Datin Alia risau melihat keadaan Awina
yang berubah dari tenang kepada kacau bilau.
Air mata Awina semakin jatuh seperti
hujan. "Win rasa sesak kat dada, mami. Win tak boleh terima benda ni. Azri
tak boleh mati lagi, Azri tak sepatutnya tinggalkan Win!"
Datin Alia cepat-cepat merangkul tubuh
Awina. Bibirnya digigit kuat menahan rasa sakit melihat Awina tersiksa.
"Win tadi elok aje."
"Win tak boleh terima!"
Datin Alia menarik kepala Awina ke
dadanya. Jika tidak ditenangkan dia risau Awina semakin hilang akal.
"Win," bisik Datin Alia sayu. "Terima aje Azri dah tak ada.
Jangan ada penyesalan..."
"Win sayangkan dia, mami..."
"Mami tahu perasaan Win kat Azri. Win
memang dah sayangkan dia dari dulu. Tapi sebab Azri tak balas perasaan Win, Win
kaburi dengan rasa benci dan dendam. Sebab tu mami pernah beritahu Win, bila
kita dah sayang berilah segala usaha pada dia supaya tiada penyesalan. Dia dah
tak ada Win, segalanya dah berakhir."
Mendengar pujukan Datin Alia barulah Awina
bertenang sedikit.
"Ya ALLAH, Alhamdulillah Jiha... Hid
selamat. Alhamdulillah!"
Datin Alia melempar pandangan ke arah
seorang wanita seusianya yang sedang dihamburi air mata. Wajahnya menggambarkan
kesyukuran dan kegembiraan. Wanita itu mencium dan memeluk wanita muda yang
berhampiran dengannya.
Mereka berdua sama-sama berpimpin tangan mengekori
katil hospital milik si pesakit apabila katil hospital itu ditolak keluar dari
unit pembedahan ke unit ICU. Unit ICU yang pernah menjadi tempat arwah Azri
sepanjang dua hari terlantar di sini akibat kemalangan.
Datin Alia menghela nafas panjang. Mereka sedang
bergembira kerana orang yang disayangi itu selamat. Namun Awina sedang bersedih
kerana suaminya baru saja dijemput menghadap Ilahi. Dia dengar dari staf nurse,
lelaki yang baru saja berjaya dibedah itu sudah berminggu-minggu menduduki
katil ICU. Arwah Azri pula baru dua hari tapi ALLAH pendekkan nafasnya untuk
mengurangkan kesakitan yang dialami. Datin Alia jadi insaf.
"Win doakan kesejahteraan arwah Azri
ya," bisik Datin Alia perlahan.
Awina mengangguk kepala dengan sisa esakan
yang tinggal.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment