CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 10


WAJAH polos Awina dipandang lama. Detak jantungnya kembali berirama. Tenang dan mengujakan. Nafas Awina teratur saja. Begitu juga riaknya yang hilang dari masalah dunia. Tiada lagi cemberutnya. Tiada juga terbias keraguan pada wajah kecil itu. Segala-galanya cukup sempurna. Hid tidak kisah Awina balu kematian suami. Beberapa kali dia pernah mendengar Awina memanggil diri sendiri janda. Entah wanita itu sengaja atau betul-betul terlupa ada lagi istilah yang lebih betul untuk wanita yang kematian suami.
Dia beruntung walaupun tindakannya agak berani dan sangat terkedepan namun Awina tidak menolaknya begitu saja. Kalau perempuan lain, entah apa yang terjadi pada dia agaknya. Awina beranikan diri dan Awina beri dia peluang, Hid tahu kenyataan itu.
Melihat Awina memeluk tubuh kesejukan, Hid Johar tersedar dari lamunan panjang. Beberapa kali dia melihat telefon yang berada di tangan kiri Awina menyala skrin menandakan ada mesej atau panggilan tetapi wanita itu tetap tidak sedar. Betullah agaknya dia sibuk. Hid dirasuk rasa bersalah. Dia pun tak berjanji dengan Awina lebih awal, patutlah Awina tidak membalas pesanan ringkasnya ceria seperti selalu. Tup-tup dia menculik Awina ke sini pula.
Hendak digerak wanita itu tapi hatinya menegah. Biar Awina berehat untuk tempoh masa lima minit lagi.
Hid Johar mendekatkan wajahnya kepada Awina, ditilik lama segala milik wanita itu. Dari mata, jatuh ke hidung dan kemudian ke bibir. Di situ mata Hid tidak berganjak dan nafasnya semakin memberat.
Entah apa yang merasuk Hid Johar dan dia semakin mendekati wajah Awina untuk mendapatkan sesuatu yang tidak halal baginya.
Iphone Awina tidak berhenti bergegar hampir jatuh dari tangan. Perlakuan Hid terhenti dan dia segera beristighfar berkali-kali. Apa yang dia cuba buat pada wanita itu adalah salah. Hid marah pada diri sendiri.
Hid kembali menjarakkan dirinya dari Awina dan cuba menyambut telefon itu tetapi tindakannya gagal kerana Awina bergerak apabila Hid menarik telefon itu. Akhirnya Hid mengalah juga.
“Wina, kita dah sampai. Bangun. Ada yang telefon awak.”
“Hmm?” Awina bangun mengejut. Dia pegang dada dan terpinga-pinga memandang hadapan. Sedikit terkejut dengan suara Hid Johar yang menerjah mimpinya.
It’s me.” Hid cakap dengan nada bersalah. Tak pasal-pasal Awina terkejut sebegitu rupa.
“Kita kat mana? Jauh ke?” soal Awina bertubi-tubi membetulkan tudungnya yang sudah sememeh. Segan dan malu tak payah nak cakap. Entah berapa lama Hid tengok dia tertidur begini!
“Telefon awak..” ujar Hid Johar lagi. Awina mengangkat telefonnya spontan.
Mami..
Dia berdeham beberapa kali seraya menyambut telefon Datin Alia.
“Assalamualaikum mami.”
“Waalaikumsalam. Mami call dekat 20 kali!” Marah Datin Alia. Awina berdeham lagi membetulkan suaranya yang agak serak.
Sorry mami, tertidur...” Terang Awina kalut.
“Win dekat mana?”
“Ada dengan kawan ni. Dekat pantai.”
“Buat apa tidur di pantai pula?” Buat apa ya? Awina terkebil-kebil sendirian. Dia nampak aje Hid Johar kat tempat pemandu tu tenung dia tajam-tajam. Lelaki itu pun nampak seperti tidak berani bersuara. Tapi, mereka berdua ada buat salah besar ke? Awina sendiri tak boleh nak menjawab persoalan itu.
“Win tertidur dalam kereta la mami. Mami jangan risau. Win saja nak lepas tension datang ke sini.”
“Ya ALLAH, mami risau betul, Win. Baliklah cepat dah nak Maghrib ni.”
Awina angkat tangan dan membaca jarum jam di pergelangan tangan. Dekat pukul 7 malam!
“Win keluar dengan siapa tak beritahu mami dan papa?” soal Datin Alia dengan nada terkilan.
“Jangan risau, Win okey. Kawan Win pun okey.” Awina melirik ke arah Hid Johar.
“Win balik ya?”
Awina pandang muka Hid Johar. “Kita dah nak balik ke?” tanya Awina. Hid geleng kepala. Baru aje datang, solat pun belum, makan pun tidak, nak balik apanya?
“Mami, kita orang pergi makan dulu, Win pun nak sembahyang dulu. Lepas ni kami balik.”
“Win kena balik malam ni juga.”
“Ha’ah...”
“Win kena cerita dekat mami apa sebenarnya yang terjadi.”
“Okey, Win cerita.”
“Jaga diri elok-elok. Jangan sampai lalai tahu? Mami dan papa risau, jangan buat benda yang bukan-bukan.” Pesan Datin Alia kesal. Awina telan air liur kelat. Mami mesti dah boleh hidu apa yang dah jadi. Dunia ni bukan besar sangat. Boleh jadi Nur dah cerita kat papa yang dia keluar setelah separuh hari di pejabat bersama seorang lelaki.
Setelah mematikan panggilan, Awina larikan mata ke arah luar. “Ni dah sampai ke? Matahari dah tak nampak tinggal cahaya remang aje.”
“Kalau saya drive laju sikit sempat nak tengok.” Hid Johar menghela nafas dalam. Kalau dia bangunkan Awina lebih awal tentu aje sempat menyaksikan matahari terbenam. Tapi dia biarkan Awina dan hampir membuat tindakan paling bodoh di situ.
“Jadi nak buat apa dulu?”
“Cari tempat sembahyang, lepas tu kita makan.” Awina mengangguk kepala.
“Jomlah. Saya nak juga rasa angin pantai, dah lama tak rasa.” Awina membuka pintu kereta. Deruan angin petang membuahkan senyuman lebar di bibirnya. Dia jadi teruja!
“Kita solat di sini?” tanya Awina meninggikan suara. Hid menyembunyikan senyuman. Takkanlah dia nak bawa Awina solat di atas pasir pula...
“Awak boleh ke solat kat sini? Sebab awak kena ambil air sembahyang. Dekat hujung jalan tu ada surau.”
Awina tutup semula pintu kereta tanpa mengendahkan pertanyaan Hid tadi. Enjin kereta dihidupkan dan Hid Johar mula memandu.
“Nanti balik sampai kira-kira pukul berapa?”
“11 kut.”
“Alamak malamnya...” Keluh Awina kecil. Hid Johar melirik dengan anak mata.
“Sepatutnya saya yang kena jumpa mak dan ayah awak minta kebenaran nak bawa awak jalan-jalan. Saya tak faham kenapa saya tak fikir benda ni awal-awal.”
Awina memeriksa pesanan ringkas di telefon pintarnya satu persatu.
“Kalau awak buat macam tu, automatik mami saya ingat awak boyfriend saya.”
“Terlalu cepat ke untuk tu?”
“Kenapa? Awak nak jadi boyfriend saya?” Awina angkat muka dan memandang wajah serius Hid Johar. Takkanlah...
“Kita baru kenal. Kiranya kenal hati budi,” ucap Hid berterus-terang. Dia sebenarnya tak selesa untuk menyandang gelaran boyfriend. Gelaran suami seribu kali lebih baik tapi kalau dia cakap nanti Awina terkejut pula.
“Hmmm.. Jadi kira kita ni dah ke arah yang serius maksud awak?”
Hid senyum. Awina seolah-olah dapat membaca kata hatinya.
“Boleh kira macam tu lah.”
“Tapi bukan boyfriend?” Awina tekankan perkataan tu sekali lagi.
Hid mengangguk kepala.  
“Wah, sekarang ni dah abad ke 21. Awak tak nak jadi boyfriend mana-mana perempuan... ” Komen Awina pelik.
I’m not that innocent, Win.”
Innocent la tu tak pernah ada kekasih.” Awina gelak kecil. Walaupun hanya sebentar dia duduk di pantai tadi, jiwa Awina terasa segar. Dia jadi lebih ceria dan tiba-tiba terfikir untuk mengusik lelaki di sebelahnya.
“Ya, betul saya tak ada pengalaman. Tapi saya ni bukanlah baik sangat.”
“Lelaki baik takkan mengaku dirinya baik. Begitu juga sebaliknya. Lelaki tak baik, takkan mengaku dirinya tak baik.” Awina berhujah. Muncul senyuman kecil di bibir Hid Johar.
“Awak takkan tahu perasaan saya waktu ni.”
“Apa yang awak rasa, Hid?”
Hid tidak menjawab. Masa seolah-olah berhenti antara mereka berdua. Dunia juga seakan-akan berhenti berputar dan cuma degupan jantung mereka saja bergetar seperti biasa.
Kenangan hampir menyentuh bibir Awina tadi masih begitu segar di dalam otaknya. Hid rasa bersalah melihat keceriaan di wajah Awina.
“Bahagia?” Hid bertanya sepatah. Sekadar mengusik.  
Awina terkebil-kebil sendirian apabila jantungnya seperti terkena renjatan elektrik lebih-lebih lagi menerima lirikan sekilas dari lelaki itu. Layakkah dia merasa apa yang dia tengah rasakan sekarang? Dia bukan lagi muda. Dia pernah bersuami. Tapi kenapa jantungnya berdebar tidak sekata ketika melihat lelaki itu khusyuk memandu?
Jari Hid yang leka mengetuk stereng kereta ditenung kosong. Azri dulu... Ya, Azri dulu... dia suka ketuk stereng macam Hid Johar. Azri belum lama pergi dan Awina cukup pasti perasaannya pada Azri satu ketika dulu. Biarpun benci mengetuk jiwa, tapi dia tidak menafikan rasa cinta turut berumah di hatinya. Dulu, fikirnya, hidup tanpa Azri seperti langsung tidak bermakna. Tapi kenapa hari ini, cepat saja perasaannya terusik dengan kehadiran lelaki lain? Lelaki yang baru saja dikenali tidak sampai dua bulan ini.
“Win, nanti bila awak selesai solat, mesej aje ya. Di depan sana ada kedai seafood. Seafood.”
Suara Hid Johar hampir tidak kedengaran. Awina tersentak kecil. “A’ah.. ya...”
“Fikir apa?” tanya Hid ingin tahu.
“Macam-macam..” Awina mengangkat bahu dan membuka tali pinggang keselamatan.
“Fasal kerja?”

Awina melemparkan senyuman kepada Hid Johar. Dia mengangguk kecil. Menipu sekali lagi. 

0 Komen untuk Cik Rin: