CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, September 6, 2016

HEARTBEAT BAB 1 & 2






BAB 1

Hidup kita tak pernah ke belakang, dan di depan tak pernah menunggu.


2015....



KELUAR sahaja dari bangunan KLIA 2 terus mataku mula meliar keluar sana. Hilang sudah kesejukan penghawa dingin yang menguasai diri sejak memasuki bangunan KLIA tadi digantikan haba panas 35 darjah celcius Kuala Lumpur yang lama tidak dijejaki. Kereta di luar bertali arus tidak pernah akan terhenti banyaknya dan kalbuku terus tersentuh dalam. Ada lagu merdu dan syahdu bersatu menyisipi gelora yang menyentak hati.
Ini Malaysia...
Helo Malaysia?
Aku tersenyum kecil. 
Masih kau terima aku menjejak kaki di sini? Atau kau membuang diriku seperti sahaja aku membuang dirimu satu ketika dulu, satu ketika saat aku jahil membenci sesuatu yang menjadi darah daging dan kebiasaanku. Bibir ku gigit kuat. Sebak bertandang datang, mataku juga mula berair. Kabur!
"Naasha, jomlah."
Aku kalih mata ke arah pemilik suara itu, suara yang selalu mengasakku untuk pulang kembali ke tanah yang pernah aku haramkan kaki ini memijaknya lagi. Tetapi sumpah serta janji itu ditelan kabus sebaik sahaja aku melangkah kaki ke Kuala Lumpur International Airport 2.
"Jangan buat muka macam tu. Jomlah kita balik." Tegur Ryana menarik tanganku lembut.
"Balik?" Sepatah kata terluah dari hujung bibir. Balik ke mana?
"Baliklah kecuali kalau kau nak duduk kat hotel lepas ni."
Aku memejam mata rapat enggan membayangkan rumah yang ku tinggalkan bertahun-tahun lamanya. Rumahkah itu sedangkan kali terakhir aku melihat hanya tinggal sisa abu.
"Kau tak boleh jadi macam ni, Naasha. Family kau dah lama tunggu." Pujuk dia lagi seraya menggenggam bahuku.
"Kau tak faham," ucapku dengan nada bergetar. Dada terasa berat dihempap batu. Ryana mengeluh kecil merenung wajahku dengan pandangan kecewa.
"Apa salah dia orang kau buat macam ni? Dia orang kan keluarga kau Naasha.."
Aku membuang pandang jauh. "Ada lagi ke tempat untuk aku berada di sini, Ryana?" Air mata menitik ke pipi. Dua pupuku itu terus menarik bahuku dan menepuk belakang dadaku lembut.
"Takkanlah tak ada. Dia orang tengah ternanti-nantikan kau, Sha. Bertahun kau tak balik, kalau ada pun hati yang marah atau terluka tapi semua orang mengharapkan kau kembali ke pangkuan kami.."
"Tapi aku dah banyak buat khilaf," bisikku hampir tidak kedengaran. Terbayang-bayang wajah mama, wajah arwah ayah, dan wajah si kecil Naazneen di ruang kepala. Wajah-wajah yang dulunya menyapa mesra ruang hatiku dan mengisi setiap gelak ketawa tetapi menjadi mimpi gelapku setelah aku melarikan diri dari Malaysia.
"Semua orang dah maafkan kau. Naaz dah cukup besar untuk faham, mama kau pun dah normal balik. Dah tak sakit macam dulu. Kau patut bersyukur keluarga kau dah bersatu."
Aku menahan getar di dagu. Jiwaku tertekan besar seolah-olah ada tangisan yang belum terluah di bibir. "Aku belum cukup kuat, Ryana. Bila ayah tak ada buat aku jadi sakit. Sakit kat sini." Ucapku seraya menepuk dada berkali-kali. 
"Semua orang pun sakit waktu tu tapi tak adil kau tinggalkan mereka."
"Sebab aku tak sanggup..."
"Semua orang pun tak sanggup. Tapi dulu dan sekarang berbeza."
Aku termangu menggigit bibir menahan rasa panas yang hampir mengalir keluar dari kolam mata. "Apa yang bezanya?"
"Kau pun dah jauh berubah. Dulu kau tak nak balik ke sini tapi sekarang kau balik sebab rindu tu masih ada, kan?"
Ya, aku akui dari sudut hati yang terdalam aku pulang kerana rinduku. Manakan sama keluarga sendiri dengan orang yang baru aku temui di sekeliling!
"Kau ingat tak Sha, kau pernah tinggalkan seorang lelaki?"
Aku terkedu. Nadzhim. Muhammad Nadzhim?
"Dia dah kahwin pun."
Aku terkesima. Tapi cepat-cepat aku buang segala perasaan yang hampir menjentik jiwa. Dia orang pertama yang aku putuskan untuk tidak peduli sewaktu membuat keputusan untuk pergi dari sini. Dan aku telah berjanji untuk tidak mengambil tahu tentang dia lagi, sampai bila-bila.
"Sebab dia fikir kau tak balik lagi. Tapi sekarang mungkin dia antara orang yang tidak sabar untuk menemui kau."
Aku tertunduk menekur lantai marmar. Untuk apa bertemu seandainya tiada yang tersisa di hati kami berdua saat ini?
Dia dah jadi sejarah dalam hidupku. Sebaik sahaja kaki ini melangkah pergi dari Malaysia 11 tahun yang lepas, sejak itu aku kuburkan kenangan lama. Biarlah dia. Biarlah dia supaya dia punya kehidupan yang lebih baik. Kalau pun terluka tentu lelaki itu mampu membina semula perasaannya. 11 tahun yang lalu Naasha hanyalah si pengecut yang tidak mampu menerima dugaan besar yang menimpa keluarganya. Dan orang yang paling kasihan waktu itu ialah Naazneen Fatah dan mama. Bukan Nur Naasha Fatah. Tapi kenapa baru sekarang aku sedar hakikat pahit ini?
"Dia nak balas dendam sebab aku tinggalkan dia dulu, kah?"
Ryana menghela nafas panjang, menatap wajahku lama seolah-olah mencari pengertian.
"Sha dia bukan orang jahat, dia tunggu kau bagai orang gila."
Aku tersenyum kecil. Hati ini tidak dapat percaya dengan kata-kata Ryana.
“Kalaulah dulu kau ada...” Ya, kalau Ryana ada sebelum aku pergi mungkin keadaan tidak jadi seperti ini. Mungkin aku dan Naazneen masih bersama-sama dan kami menjaga mama penuh kasih sayang. Mungkin aku tidak terperangkap dengan kejahatan Pak Cik Naufal!
“Dulu tu biarlah dulu. Sekarang kau tengoklah ke depan. Jangan undur balik. Kalau hari ni kau gagal menghadapi, bila lagi Sha? Hidup kita tak pernah ke belakang, dan di depan tak pernah menunggu.”
Aku ketap bibir. Sampai bila-bila pun Ryana takkan faham jiwaku.






BAB 2

Diampunkan dosa-dosa kita, pahala yang dicatat seperti kita buat kebaikan masa dia hidup.



CUAK juga tatkala terpandang wajah kelat Ryana ketika aku yang baru memasuki pintu rumah. Hendak bertanya risau perasaannya pula yang terganggu. Kiranya aku tidak pernah melihat dia berubah mood begini kerana kebiasaannya Ryana selalu ceria dan bersikap positif terhadap apa juga yang berlaku. Sebaik sahaja aku meletakkan beg tanganku di atas sofa serta mengambil tempat duduk di sisinya, aku kembali memandang ke arahnya semula.
"Kenapa dengan kau?" Aku menyoal berhati-hati. Kedengaran keluhan kecil dari bibirnya sebelum dia bertindak memeluk bantal erat ke dada.
"Naasha kau tak rindu family?"
Oh, itu.
Aku pandang wajah Ryana lama.
"Kenapa kau tiba-tiba ungkit benda ni?" tanyaku setelah lama mendiam diri daripada pertanyaan Ryana yang serba sedikit menyentuh perasaanku.
"Berapa hari lagi nak raya, aku kalau boleh nak jumpa dengan Aunty Aisyah, Naaz dan family kita yang lain. Sebab kau, aku masih lagi tak inform keluarga aku yang kita ni dah sampai ke Malaysia."
Aku termangu mendengar luahan Ryana. Benar aku tidak membenarkan Ryana memberitahu keluarganya yang kami telah pulang ke Malaysia selama berbulan lamanya.
Aku faham kalau dia merindui keluarganya apatah lagi kerana dia satu-satunya anak tunggal keluarga. Tetapi jika aku membenarkan Ryana menghubungi keluarganya bererti aku juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Mimpi buruk yang selalu mampir di tidur malamku menyatakan aku perlu menghadapi kemarahan mama dan Naazneen sehingga untuk bangun dari tidur pun aku jadi takut.
Tetapi jika difikirkan, dulu keluarga Ryana langsung tidak rapat dengan kami. Masing-masing membawa haluan sendiri dan akhirnya pertemuanku dengan Ryana sewaktu dia belajar di luar negara mengeratkan semula perhubungan yang telah lama terputus. Ryana kembali menjejaki Naazneen dan mama untuk mengkhabarkan tentang mereka kepadaku dan aku pula masih tetap bersembunyi takut untuk dibenci.
"Kalau kau jumpa dia orang nanti aku janji aku back up kau. Serius ni." Ryana menarik tanganku, beria-ia memujuk diriku untuk bersetuju dengan cadangannya. "Lagipun sampai bila kau terus begini? Kau kena beranikan diri untuk mengakui kesalahan dan bertanggungjawab atas segala yang telah kau lakukan. Daripada macam ni kan kau sendiri yang tak tenang dibayangi dan dihantui sejarah silam. Kau selalu mengigau dan mimpi buruk malam-malam tu kau ingat aku tak tahu?"
Aku menundukkan kepala. Jiwaku jadi hangat. Sakit. Benar sakit sehingga aku ingin berlari jauh. Walaupun 10 ribu kali aku mendengar pujukan Ryana sebelum ini tetapi hentakannya kali ini amat berbeza kerana aku berada hanya setapak jauhnya untuk membuat keputusan bertemu mereka.
"Apa kata hari raya ni kita jumpa dia orang? Jom. Kau mesti nak lawat kubur arwah papa kau, kan? Sedekahkan dia Yassin, doakan ketenangan dia kat sana.. Marilah Naasha. Aku yakin mama dan adik kau tak salahkan kau, dia orang mesti seronok kau dah balik. Kau tak teringin ke Sha?"
Sedaya upaya aku ukir senyuman di hujung bibir. Benar, sampai bila aku terus dihantui dengan ketakutan tiada berpenghujung yang aku cipta sendiri? 11 tahun bukan satu masa yang singkat. 11 tahun aku bazirkan melepaskan tanggungjawab dan cinta hatiku di sini. 11 tahun aku berada di dalam kesedihan yang berpanjangan. Sebab aku Naasha yang pengecut. Naasha yang penakut. Naasha yang tidak mampu menerima realiti.
"Naasha?" Ryana menepuk bahuku lembut untuk mendapatkan jawapan dari diriku. "Kau tak usah fikir benda bukan-bukan, redah aje. Aku tak suka tengok kau asyik termenung sana-sini setiap hari tau. Jomlah, hadapi ketakutan kau. Aku kat belakang selalu sokong kau."
Fikiranku kembali sedar mendengar seruan Ryana. Pandanganku berbalam-balam dengan jiwa yang berkocak kencang.
“Lagipun tahu tak pahalanya bila kita lawat kubur orang tua kita yang dah tak ada pada hari Khamis lepas Asar sampai hari Sabtu sebelum Zohor? Diampunkan dosa-dosa kita, pahala yang dicatat seperti kita buat kebaikan masa dia hidup Sha. Datang dan panggil dengan nama panggilan masa kau hidup, beri salam dan doakan. Arwah dengar dan jawab insyaALLAH.”
Kata-kata Ryana membuahkan senyuman di bibirku. Benarkah begitu?
“Kau tak nak lawat kubur arwah ayah kau ke? Apa yang kau bingung sangat ni? Muhammad Nadzhim?”
Aku tersentak.
“Kau takut dia datang kat kubur tu atau kau takut nanti bila kau muncul dia akan datang dengan status dah kahwin untuk tunjukkan kau yang dia dah move on? Tapi memang dia dah kahwin pun.” Sengihan Ryana seolah-olah menampar pipiku tanpa amaran walaupun nadanya setakat bergurau dan mengusik.
Aku tertunduk beberapa ketika sebelum mengangkat muka. 
“Aku pun dah move on.”
“Biar betul?” Bulat mata Ryana memandangku.
“Tak kisahlah dia dah kahwin ke apa. Aku tak fikir hidup dia boleh mempengaruhi hidup aku lagi.”
Ryana angguk kepala beberapa kali. “Bila dengar kau dah berani sebut dan cerita tentang dia, tiba-tiba aje aku jadi percaya.” Ryana sengih kecil. Aku balas dengan senyuman tipis. 
"Nanti, hari raya aku ikut kau..."
"Allah! Betul ke ni? Alhamdulillah! Alhamdulillah..."
Wajah ceria Ryana kupandang sepi. Seronoknya dia tidak mampu untuk ku kongsi buat masa ini. Kaki ku bawa melangkah menuju ke ruang bilik sepi. Otak ini mula mengira beberapa hari lagi yang tertinggal untuk aku menghadapi wajah mama dan Naazneen Fatah. Ryana kata mama keluar dari hospital sakit jiwa dan mula pulih dengan bantuan Naazneen.
Naaz si kecil itu lebih bertanggungjawab dari kakaknya ini. Senyuman kecil terseret di bibir. Apa khabar si comel itu sekarang agaknya? Ryana kata dia dah kahwin dan hidup bahagia. Suaminya juga kaya raya.
Apakah pandangan sanak saudara kami nanti melihat aku kembali muncul setelah sekian lama?



LANGKAHKU agak sumbang berhadapan dengan beberapa sanak saudara ketika aku duduk di pusara arwah papa menghadiahkan bacaan Surah Yassin buat kali yang pertama. Jiwa ini merintih dalam diam kemudian rasa menyesal datang bertimpa-timpa. Air mata yang ku halang keluar mengalir perlahan di hujung pipi.
Lebih dari itu, beberapa kenalan dahulu memandang ke arahku tanpa datang menyapa. Hairan mungkin. Kebanyakannya masih lagi mengenali diriku walaupun tiada hubungan rapat yang pernah terjalin antara kami.
Termasuklah juga Pak Cik Naufal yang dulu pernah mengaturkan rancangan agar mama dimasukkan ke hospital sakit jiwa, mengaturkan perkahwinan paksa untuk diriku dan Naazneen di hantar ke rumah anak yatim. Dia datang ketika aku menggulung tikar kecil yang digunakan tadi semasa bacaan Yassin. Kedut di wajahnya kian nampak dan kulihat aura liciknya sudah tiada. Dia nampak lebih tenang dan tidak lagi tegang. Bertemu empat mata denganku, dia ku lihat teragak-agak buat seketika. Sudah sedarkah dia kesilapannya dahulu? Air muka biarpun berubah tetapi hati budi masih tersirat siapa yang tahu.
"Naasha?" Namaku meniti di hujung bibirnya.
Aku memejam mata rapat cuba mengusir rasa benci yang bercambah di dalam diri. Fikir ku masa silam itu cuma muncul sebagai mimpi tetapi melihat wajah itu semula membuat hati kembali berdarah. Jangan sesekali dia menyebut namaku lagi!
Semasa kami susah lelaki itu begitu senang membuang kami anak-beranak sedangkan ketika itu kami benar-benar memerlukan sokongan keluarga terdekat. Tapi apa bezanya aku dengan Pak Cik Naufal? Sekurang-kurangnya dia tidak melarikan diri seperti aku mungkin. Dia berani menghadapi kemarahan serta kebencian yang sekian lama bercambah di hati kami sekeluarga!
"Bila pulang ke sini?"
Aku telan air liur yang menyekat di kerongkong. "Dah lama.."
"Kenapa tak beritahu kami?"
Aku memandang wajah Pak Cik Naufal lama. Kenapa tak beritahu dia? Aku hampir menumbuk dadaku sendiri untuk cuba berfikiran rasional ketika ini. Ikutkan hati berbakul-bakul kemarahanku ingin kuluahkan kepada lelaki separuh abad yang semakin dimamah usia.
"Tak penting pun," jawabku pelan. Sedaya upaya mempamerkan rasa hormatku padanya walaupun jauh di sudut hati ingin sekali aku menjauhi lelaki tua ini. Lelaki itu bukan biasa-biasa, dia yang telah memisahkan kami adik beradik dengan mama ketika arwah papa baru sahaja pergi. Dia adalah penyebab utama aku melarikan diri ke luar negara tanpa memikirkan Naazneen dan mama yang masih memerlukan diriku!
"Pakcik minta maaf atas apa yang pakcik dah buat pada keluarga Naasha, pakcik tahu Naasha masih marah. Pakcik tahu kerana pakcik, Naasha ambil keputusan untuk pergi jauh."
Aku menundukkan wajah. Hati sedikit meruntun kerana lelaki itu baru sedar kesilapannya kini. Kenapa baru sekarang Pak Cik Naufal sedar, kenapa bukan dari dulu lagi? Kejinya dia mampu memamah seluruh jiwaku. Malah sehingga saat ini aku takut untuk mengenang semula peristiwa 11 tahun yang lepas.
"Saya balik dulu.."
"Naasha buat pakcik rasa semakin bersalah."
Senyuman sinis terukir di bibir. Apalah gunanya rasa bersalah itu setelah segala-galanya menjadi bubur. Aku telah jauh dari kasih-sayang keluarga yang selama ini mewarnai hidupku selama 19 tahun lamanya. Sangat jauh!
"Pakcik tak perlu rasa bersalah. Saya sendiri yang pilih jalan ini."
"Tapi kalau bukan sebab pakcik, Naasha, Naazneen dan Kak Aisyah takkan berpecah. Kalau Naasha nak, pakcik bersedia untuk menebus kembali semua kesilapan pakcik yang lepas." Keluh Pak Cik Naufal. Aku hela nafas panjang. Perlu berteriakkah di sini? Atau memakinya kerana menjadi penyebab menambahkan duka di hati kami sekeluarga..
"Saya tak perlu semua tu. Selagi saya boleh hidup di dunia ni, selagi itu saya terus berdiri di kaki sendiri. Tak perlu orang lain untuk campur tangan kehidupan kami."
Pak Cik Naufal tertunduk menekur tanah. Entah mungkin dia rasa dirinya tersindir atau berkecil hati atas apa yang aku katakan.
"Naasha?"
Aku menoleh mencari suara yang memanggilku dari belakang.
"Naasha... Nur Naasha? Anak mama?"
Mataku pedih tiba-tiba. Jiwaku merusuh kuat. Wajah wanita yang sekian lama kubiarkan jauh dari hidupku muncul di depan mata. Wajah yang telah lama kuabaikan dari lubuk jiwaku merenung diriku tanpa sempat terganggu walau sedetikpun.
"Naasha, kan? Naaz, dia Naasha.."
Air mata jatuh ke pipi mengalir seolah-olah tidak sempat berhenti. Wajah mama yang lembut walaupun sudah separuh melecur tetap masih seperti dulu, masih penuh kasih-sayang yang tidak terucap oleh kata-kata. Naazneen di sisinya semakin dewasa dan matang memandang diriku tenang tanpa berkata-kata. Duniaku seolah-olah berhenti berputar. Kakiku kian longgar menahan berat beban. Hari ini aku perlu menghadapi semuanya. Hakikat yang pernah aku cuba nafikan, yang aku masih punya mereka di sisi.
Pak Cik Naufal di bawah pokok tadi masih terus-terusan memerhati pertemuan kami beranak tanpa berganjak.

1 Komen untuk Cik Rin:

Sarjen Pencerita

Salam kawan penulisku,Teruskan usaha menghasilkan karya..semoga terus maju...jangan lupa juga lawat blog sya ya kat https://ceritaberemosi.blogspot.my/