HID Johar meraup wajahnya lambat-lambat, cuba
mengatur nafas yang tidak menentu dari tadi. Rambut yang terpacak ditarik ke
dahi. Perlakuan spontan yang tidak dirancang. Setelah merapikan rambut, dia
kembali melangkah keluar perkarangan rumah pengantin. Di luar sana masih sibuk
kereta bersimpang siur walaupun hari sudah menjelang tengah malam. Hid
mengambil telefon dari poketnya dan segera menghubungi operator teksi. Matanya
juga sempat meliar ke sisi jalan raya mencari tempat yang sesuai untuk menunggu
teksi.
Langkah Hid Johar
terhenti apabila terdengar esakan halus seseorang di tepi kereta yang terparkir
di bahu jalan raya. Awina? Bisik hati Hid Johar tanpa sedar.
Dia berjalan
mendekati suara itu dan sedikit terkejut melihat Awina sedang duduk menangis di
hadapan Nissan Juke nya.
"Awak
okey?" soal Hid Johar sebaik sahaja dia berdepan dengan wanita itu.
Awina mengangkat
wajahnya lambat-lambat dengan tangisan yang belum lagi berhenti.
"Awak..."
Kata-kata Hid Johar terputus apabila melihat air mata Awina jatuh berderai
sehingga wajahnya habis lecun. Hid Johar termangu beberapa saat melihat
panorama di depan mata. Dia bukannya tidak pernah melihat perempuan menangis
semahu-mahunya seperti Awina. Lebih teruk dari itu pun dia pernah saksikan.
Tetapi melihat Awina menangis, ada perasaan yang sukar digambarkan. Hid Johar
menggenggam tangan kuat agar dirinya tidak terus hanyut dengan perasaan.
"Marah
siapa?" soal Hid Johar merendahkan tubuh sambil memandang mata Awina.
Awina menggeleng
kepala mengesat air mata beria-ia namun air mata wanita itu tetap mengalir
lebat seperti tadi.
"Kenapa tak
balik lagi?"
"Awak tengok
tadi, kan?" soal Awina berselang-seli dengan esakan. Awina memegang
dadanya untuk lebih bertenang dan menghilangkan esakan kuatnya.
"Tengok
apa?" Hid bersahaja. Berpura-pura tidak tahu dengan apa yang dimaksudkan
oleh Awina.
"Saya
bergaduh dengan perempuan tu. Bergaduh sebab suami saya cintakan orang lain
berbanding saya, isteri yang sah."
Hid tertunduk
sebentar. Seperti ada yang berbisik menidakkan kata-kata Awina yang membuatkan
dadanya jadi sesak.
"Marah?"
Hid tanya sepatah.
"Saya tak
marah, saya sakit hati." Esakan Awina bersambung lagi. Tangan Hid
hampir-hampir mengusap bahu Awina saat wanita itu meraup dan menyembunyikan
wajahnya. Mata merah, pipi merah, hidung merah, bibir dah kembang, tentu lama
Awina menangis keseorangan di situ.
"Saya
menyesal sebab cakap yang bukan-bukan. Rasa berdosa kat arwah Azri. Bukan saya
tak sayangkan dia tapi saya sakit hati sangat dekat perempuan tu." Awina
kembali menatap wajah Hid Johar. Keningnya sudah bertaut akibat rasa yang
menghambat dada. "Kalau.. Kalau arwah dengar apa yang saya cakap, mesti
dia kecewa. Mesti dia tak suka kat saya balik."
Hid menghela
nafas dalam-dalam. Suasana kembali sepi diiringi esakan dan tangisan Awina yang
mula surut. "Dia pernah sukakan awak?"
Awina menggeleng
kepala. "Tapi saya isteri dia. Saya tak patut cakap yang saya tak hadap
dia sedangkan hati dan fikiran saya tak pernah fikir lelaki lain selain
dia."
"Kalau saya
jadi dia," kata-kata Hid terhenti sejenak. Mata Awina jatuh ke bibir Hid.
"Saya dah lama jatuh sayang pada awak, sejak lafaz akad lagi."
Awina menekup
wajahnya semula. Semakin bertambah kesal dia dibuatnya kerana bersikap
kebudak-budakan sebentar tadi. Lebih-lebih lagi apabila teringat riak wajah
Azamri yang bukannya calang-calang berat menanggung beban sebentar tadi.
"Tapi dia
tak pernah sayangkan saya."
Hid Johar diam
saja mendengar Awina menggumam. "Sepanjang kami kahwin, dia jarang pernah
senyum kat saya, jauh sekali ikhlas melayan saya sebagai isteri."
"Awak tak
merasakan kasih-sayang tu tak bermakna orang tu tak sayang."
Awina memejam
mata rapat-rapat dan menepis pipinya berkali-kali. "Dia dah tak ada, saya
tak sepatutnya ungkit balik apa yang saya kesalkan selama ni. Saya tak patut
cakap macam tu, kalau dia dengar..."
"Dia dah tak
ada, dia dah tak dengar apa-apa yang awak cakap." Hid memotong kata-kata
Awina.
"Tapi kalau
dia dengar, dia akan lebih bencikan saya."
Hid memandang ke
atas tar jalan raya sebelum menatap terus ke mata Awina sambil menggeleng
kepala. Simpatinya tercurah melihat Awina beria-ia menangis tapi untuk membantu
Hid tahu dia tidak berhak. Bagaimana dia mahu melegakan hati wanita itu?
Memeluknya? Mengesat air mata Awina? Dia hanya boleh menanti sehingga emosi
Awina stabil seperti sedia kala.
10 minit Hid
menunggu Awina menangis bersandarkan badan kereta. Setelah tangisan Awina reda
barulah dia berdiri mencapai beg tangan Awina.
"Ada bawa
kereta?"
"Kereta?"
"Hmm.."
"Ini?"
Awina menepuk badan kereta yang menjadi tempat dia bersandar.
"Kunci
kereta kat mana?"
"Dalam
beg." Jawab Awina perlahan.
"Saya hantar
awak balik. Risau awak tak boleh drive."
"Awak dah
banyak tolong saya."
"Tak apa.
Kalau kakak saya menangis macam awak tadi pun, saya berharap akan ada orang
yang boleh tolong dia untuk sampai ke rumah." Hid membalas dengan senyuman
di bibir. Awina mengangkat tubuh tetapi terduduk semula sambil memandang Hid
Johar.
"Kaki saya
tak boleh gerak... Kebas," ucap Awina dengan wajah yang berkerut-kerut.
Hid Johar menelan air liur kebingungan.
"Nak saya
tolong?" soal Hid Johar serba tak kena. Awina mengangguk sambil menghulurkan
tangan kirinya. Cepat-cepat Hid Johar menyambut dan membantu Awina berdiri.
"Kita jumpa
aje, mesti masa saya tengah macam ni," ucap Awina menekan dahi.
"Ini
kuncinya?" Hid Johar menarik kunci keluar dari beg tangan Awina.
"Awak buka
beg saya?" Awina tercengang hairan.
"Sorry, tak sengaja," ucap Hid turut
terkejut dengan tingkahnya. "Terbiasa dengan kakak..."
Awina kembali
mengesat air mata yang bersisa ke pipi. "Tak apa, awak tolong saya pun dah
cukup baik." Awina berjalan perlahan ke tempat duduk penumpang seperti
seluruh semangatnya telah hilang. Dia juga tidak tahu kenapa dia boleh
percayakan Hid Johar sampai ke tahap ini.
Hid diam sebentar
memandang kunci kereta di tangan. Hairan kerana langsung tidak kekok membuka
beg Awina dan menyelongkar ikut suka hati aje. Selama ni dia bukan lelaki yang
suka main redah terhadap barang-barang orang yang tidak atau kurang dikenali.
"Kita tak
jalan lagi?" Suara Awina memecahkan lamunan Hid Johar.
"Oh,
sekejap." Hid segera menekan alarm
kereta dan turut memasuki kereta Awina di tempat duduk pemandu. Enjin kereta
dihidupkan dan Hid mula memusingkan stereng dengan tenang.
"Sayakan,
tadi masa awak tiba-tiba datang..." Awina menatap wajah Hid dengan wajah
yang sayu. "Saya ingat arwah Azri datang." Awina bersuara lemah seraya
menyandarkan kepala sambil tetap menatap Hid Johar.
"Kenapa?"
tanya Hid acuh tak acuh.
Awina menarik
senyuman di bibir. "Sebab rambut dia selalu macam awak sekarang ni."
"HANTAR Awina? Bila jumpa dia?" Jihana
memusing tubuh ke arah Hid Johar. Hid sekadar mengangkat bahu menjawab soalan
Jihana.
"Semalam? Lepas Hid keluar tu?"
"Hmm.."
"Why?"
Tekan Jihana
Hid memandang Jihana dengan wajah pelik.
"Why?" Ulang Hid mengangkat
kening. "Tak boleh ya kak?"
"Baru jumpa dan kenal baru dua kali
dah siap hantar dia balik ke rumah. Apa ni Hid? Ada apa-apa yang akak tak tahu
ke?"
"Biasa aje. Macamlah Hid tak pernah
tolong orang selama ni."
"Dia ni akak pelik sikit sebab Hid
terlebih caring. Hari tu Hid sibuk
tanya kat akak tangan dia elok tak. Hari ni tup-tup cakap hantar Awina balik ke
rumah."
"Hantar je bukan ada apa-apa. Dia
tengah sibuk menangis terduduk depan kereta kak. Kalau tak tolong rasa kejam
pula."
"Betul ni, tak ada apa-apa?"
Jihana mempamerkan wajah sangsi.
"Kalau ada apa-apa pun akak kisah
sangat ke?"
Jihana mengangguk kecil. "Dia dah
pernah kahwin, Hid bujang lagi."
"Hmm... Hid tak pernah kisah dengan
status orang melainkan orang tu sah milik lelaki lain."
Jihana termangu kecil. "Hid tak nak
gadis perawan?"
"Dua orang dalam rumah kita ni pun dah
tak ada suami. Hid tak ada masalah hidup dengan janda." Hid ketawa geli
hati. Jihana bangun dan menepuk pipi Hid agak kuat.
"Akak jangan risau sangat dengan adik
akak ni. Baik akak cari calon cepat-cepat, cerai pun dah dekat empat
tahun."
"Pandailah akak, kau kisah apa?"
Jihana merungut membuntangkan mata.
Hid Johar mengambil botol mineral kecil di
atas meja dan membuka penutupnya.
"Tapi kak, Awina tu lain sikit."
"Apa yang lainnya?"
Hid meneguk air mineral perlahan sambil
matanya menengadah ke langit. "Pelik..."
"Apa yang peliknya?"
"Setiap kali jumpa dia, macam ada
sesuatu yang tak kena."
Jihana menghela nafas dalam. Sabar ajelah
ada adik seperti dia ni. Jihana mengetap bibir dan menampar bahu Hid Johar.
"Setiap kali akak jumpa dia memang
ada sesuatu yang tak kena. Satu dia pecahkan meja kedai akak. Satu lagi dia
pergi buat kacau kat majlis kawan dia sendiri."
Hid memandang telus ke mata kakaknya.
"Akak tak suka dia?"
"Bukanlah tak suka, tapi kalau dah
setiap kali jumpa Awina tu asyik accident,
memanglah ada yang tak kena, Hid. Apa yang peliknya?"
Hid Johar menggeleng kepala.
"Bukan tak kena pasal tu..."
Jihana mengerut dahi.
"Otak Hid, badan Hid, macam ada yang
tak kena."
"Otak dan badan?"
"Hmm... Naluri Hid tiba-tiba jadi
pelik. Tak reti nak cakap tapi betul ni, sekejap rasa benci, kasihan, simpati,
sedih, geram."
"Hid suka dia la tu. Hid jatuh sayang
kat dia.."
"Kak, cinta pandang pertama tu tak
wujud dalam hidup Hid. Lagi pun Hid memang pasti apa yang Hid rasa bukan
cinta."
"Habis tu?"
"Entah. Keliru dibuatnya."
Jihana mengeluh sedikit. Wajah adiknya
diamati lama-lama. "Mungkin kalau Hid tak rasa tu cinta, tapi Hid asyik
fikir tentang dia, cuba tilik hati tu betul-betul. Akak rasa Hid rindu kat
Awina."
Hid Johar terpempan. Lama dia berfikir apa
yang bermain di dalam minda dan perasaannya dan ketika mendengar Jihana
mengucapkan perkataan rindu membuat dia meremang satu badan.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment