Monday, April 3, 2017

LELAKI DINGIN BAB 3



"RIAH," panggil Kak Mia sebaik sahaja aku tiba di depan pintu rumah. Abang Hafni kulihat duduk di atas sofa dengan meriba Leana.
"Assalamualaikum." Aku membuka pintu lebih luas dan meletakkan beg di atas lantai sambil membuka kasut yang tersarung di kaki..
"Waalaikumsalam," balas Abang Hafni.
Cepat-cepat aku masuk ke dalam rumah selepas mengunci pintu semula.
"Leana, lama tak ke rumah opah dah, kakak rindu sangat." Aku mengusik Leana dengan mencuit pipi si kecil Kak Mia.
Kak Mia mencebik. "Kakak la sangat. Patutnya gelar makcik aje," komen Kak Mia sambil meletakkan dulang berisi ulam di atas lantai.
"Cepat tolong mak kat dapur tu. Banyak lagi benda nak diangkat."
"Dah masak ke? Kenapa tiba-tiba dinner kat sini pula?" Aku meletakkan beg di atas sofa dan mencuit pipi Leana yang sedang bermain diriba ayahnya lembut.
"Makin tembam pipi Leana."
"Tengok badan bapa dia la Riah," ujar Abang Hafni.
"Abang tu la sejak ada Leana tak reti jaga badan lagi. Habis boroi. Harap jangan bertambah boroi ek," adu Kak Mia bercekak pinggang.
"Ini tandanya bahagia, Mia," sakat Abang Hafni. Aku ketawa melihat telatah mereka sekeluarga. Kak Mia jenis yang serius, bertemu dengan Abang Hafni yang rileks sentiasa membuat mereka sekeluarga tampak harmoni. Tapi aku membayangkan juga kalau-kalau Leana tu dah besar nanti mesti Kak Mia bising 24 jam. Jangan Leana nak kahwin pun Kak Mia halang sebab standart Kak Mia kan tinggi berbanding orang lain.
"Orang nak sembahyang dulu, kak."
"Lah, belum sembahyang lagi?"
Aku senyum mengeleng kepala.
"Cepatlah, dah nak habis waktu ni cik adik, oi." Kak Mia menggeleng kepala tanda dia tidak menggemari sikapku hari ini.
"Sorry," ucapku pantas dan bergegas masuk ke bilik tidur.
Selesai sembahyang, aku keluar dengan perasaan yang lebih tenang dan lega. Sepanjang perjalanan ke rumah aku jadi kalut memikirkan peristiwa didatangi oleh lelaki yang tidak pernah terlintas di kotak fikiran sejak tali pertunangan kami terputus. Hendak kuceritakan kepada mereka namun akalku menghalang. Untuk apa diceritakan benda remeh begitu?
"Ambil pinggan tepi abang tu," pinta Kak Mia menghulurkan tangan kepada suaminya. Abang Hafni mengambil dan memberikan kepada Kak Mia.
"Duduk sini." Kak Mia kepadaku. Pinggan tadi diletakkan di sisinya. Aku kerut dahi sedikit.
"Kenapa kak?"
Kak Mia berdeham beberapa kali sambil mengangkat keningnya. "Nak cerita pasal something lah ni," ujarnya sambil menyuapkan sesudu bubur bayi kepada Leana.
"Oh, okey." Angguk kecil sambil mengaut nasi ke dalam pinggang. Kak Mia memandangku sekilas. Leana yang merengek kecil cepat-cepat diberikan sesudu air.
"Akak ada kenalan lecturer, dia tanya kalau-kalau Riah nak berkenalan..."
"Hah? Macam mana dia kenal orang?" Aku menyampuk sedikit terkejut.
"Akak tercerita pasal adik putus tunang dengan seorang lelaki yang tidak berguna, tiba-tiba aje dia tanya kalau-kalau Riah sudi dengan anak lelaki dia."
Aku terkebil beberapa sangat. Fikirku ada pensyarah tua nakkan aku, rupanya untuk si anak pula. Alah tak dapat kahwin dalam masa terdekat dengan Abang Azli pun tak apa, berlambak lagi lelaki kat dunia ni. Buktinya belum sampai sebulan putus tunang dah ada yang bertanyakan ku. Fikiranku menjadi lapang serta-merta. Hilang tekanan yang Abang Azli berikan sewaktu di pejabat tadi.
"Kenapalah akak kongsi cerita kat kenalan akak. Malulah orang." Aku cakap tanpa nada, tidak benar-benar memaksudkannya. Kalaupun semua orang dalam dunia ni tahu, aku tak kisah apa pun.
"Anak lelaki dia baru accident 4 bulan lepas. Teruk juga sebab khabarnya dah tak ada harapan. Bahagian kepala yang teruk. Tak jadi kahwin dengan girlfriend dia tapi tak lama girlfriend anak dia ni tinggalkan begitu aje. Mungkin dia tak boleh terima boyfriend dia berkemungkinan cacat seumur hidup. Dia tak salahkan girlfriend anak dia tapi tu la... Kesian kat anak dia sampai sekarang kononnya patah hati."
"Isy, kesiannya. Sekarang ni dah okey ke dia, Mia?" tanya mak serius. Aku turut menunggu jawapan Kak Mia dengan perasaan bercampur gaul.
Kak Mia angkat bahu. "Anak dia murung katanya. Keluar rumah pun tak nak. Mungkin trauma accident tu juga. Tengah usaha refer kat doktor psikologi. Itu yang dia tanya kalau-kalau Riah berminat. Akak rasa apa salahnya, kan? Keluarga dia orang pun orang baik-baik. Tapi bukan akak minta Riah kahwin terus ni. Jadi kawan ke apa, bantu dia sebab dia perlukan sokokngan sekarang ni."
"Tak faham. Bukannya Riah ada ilmu pakar trauma cinta atau kemalangan." Aku membalas hairan.
"Kan?" Kak Mia angguk kecil. "Akak pun tahu tu. Tapi tiba-tiba aje terfikir mana tahu kut-kut jumpa Riah boleh jadi healing." Kak Mia gelak.
"Abaikan lah Riah, akak ni mengarut aje," sambung Kak Mia lagi.
"Macam manalah akak boleh fikir sampai ke situ." Aku geleng kepala.
"Kalau Riah tak nak tak apalah. Tak paksa pun." Suara Kak Mia mengendur. Abang Hafni menghulur tangan untuk mengambil giliran memegang Leana.
"Makan dulu." Suruh Abang Hafni sambil cuba mendudukkan Leana agar anaknya selesa.
"Orang, tak adalah nak sangat kahwin. Muda lagi. Belum 30 pun kak," nyataku sambil tersengih.
"Memanglah tapi kan elok kalau dipercepatkan sementara Riah muda lagi. Dah jadi umur akak ni susah Riah. Ada Leana pun umur dah 35, penat lebih sikit. Nanti dia puberty akak dah tua pula."
"Tak ada penatnya, kalau Mia penat abang boleh tolong jaga," ucap Abang Hafni lembut. Mak turut memandang Abang Hafni tanda terima kasih kerana ikhlas menjaga Kak Mia dan Leana.
"Mak kalau boleh nak Riah jumpa orang yang baik, macam Hafni juga." Tiba-tiba mak cakap.
"Adik saya pun tengah bujang juga kalau Riah nak. Tapi Hazlan baru aje masuk kolej." Abang Hafni tergelak dengan gurauannya sendiri. Aku mencebik bibir.
"Hazlan tu baby lagi. Orang kalau boleh nak cari yang lebih tua 5 ke 6 tahun, bukannya muda 6 tahun."
Mak ikut senyum mendengar usikan Abang Hafni.
Makan malam kami selepas itu dipenuhi dengan senyuman dan gelak tawa kerana Abang Hafni bijak membangkitkan suasana. Kak Mia juga cukup makan sebab Abang Hafni jaga Leana. Hari lain kalau Abang Hafni tak ikut sama ke sini, sampai kadang-kadang skip makan. 
Sampai waktu Kak Mia dan Abang Hafni nak balik, sempat dia pegang tangan aku sambil berbisik kecil.
"Riah fikir dulu fasal cadangan akak tu. Tak salah kita baik kat orang lain, mana tahu nanti-nanti ALLAH tolong kita pula. Kan bang? Bukan akak nak paksa tapi tak tahu kenapa hati ni kuat nak kenalkan orang tu pada Riah." Kak Mia menepuk bahuku lembut. Abang Hafni turut mengangguk kecil setuju dengan kata-kata isterinya.
Nantilah aku pertimbangkan. Aku bukannya jabatan kebajikan masyarakat nak tolong-tolong orang yang langsung aku tak kenal terutamanya dari segi mental psikologi dan emosi. Lainlah kalau dari segi kewangan. Tapi nak cakap aku ada duit tolong orang tu, macam dia lagi kaya. Mak pensyarah lah katanya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sebab sudi komen... =)