"Ha'ah... Elok," balas Lisa
membalas senyuman Nadia dengan senyuman dibuat-buat. Entah bila masa pula dia
menjemput bekas kekasih suami Awina ni datang ke majlis kenduri kahwin dia dan
Azamri. Azamri ke yang jemput? Maklumlah arwah Azri tu kan adiknya Azamri.
Mestilah Azamri ni pun kenal-kenal juga dengan Nadia.
"I sebenarnya sibuk dan tengah out station ke Johor tapi sebab you dan
Azamri hari ni juga I fly."
"Oh.." Lisa jadi kekok. Matanya
meliar mencari kelibatan Awina, risau-risau Awani muncul pula karang jadi
perang berdarah di majlis dia.
"You cari siapa? Suami you rasanya
kat situ aje." Nadia menunjuk lelaki yang sedang berbual dengan tetamu di
tengah-tengah ruang tamu.
"I?" Lisa angkat kening. Nadia
mengangguk kecil. "Cari isteri arwah Azri." Ambik kau. Lisa
membulatkan mata
"Awina datang? You jemput?" soal
Nadia seperti terkejut.
"Yalah, dia kan kakak ipar I."
"Bekas kakak ipar. Lagipun hubungan
dia dan arwah Azri dulu tak berapa elok sangat."
Tak elok sebab wujudnya engkau. Apahal
buat-buat muka innocent pula depan
aku. Rentung sekejap hati Lisa dibuatnya.
"Mana tahu tak elok? Elok aje I
tengok. Lovey dovey lagi. Hari-hari
bersayang-sayang." Sibuk Lisa mengipas. Entah kenapa dia tiba-tiba rajin
berbalas kata dengan Nadia.
Kelibatan Awani yang menghampiri mereka
berdua membuatkan Lisa sedikit berpeluh. Mujur arwah Azri tak jadi kahwin
dengan Nadia tempoh hari. Tak mampu Lisa membayangkan betapa dilemmanya
berhadapan Nadia dan Awina pada masa yang sama.
"Dear
Lisa, aku dah siap makan, dah nak balik,” ujar Awina sebaik sahaja menghentikan
langkahnya.
"Tunggu la sekejap. Kau kawan aku
takkan nak cepat balik."
"Banyak lagi kawan kau kan."
Awina melirik ke arah wanita anggun di sisi Lisa. Dia masih lagi kenal wanita
itu biarpun arwah Azri sudah lama tiada. Wanita yang merenggut kebahagiaannya
sebagai seorang isteri. Kalaulah wanita itu tidak wujud, kalaulah wanita itu
tidak pernah menjadi bekas kekasih Azri...
Awina masih ingat jelas cara angkuh Nadia
bercerita tentang Azri selepas dua bulan perkahwinan mereka. Perkara itu
menjadikan hati Awina berdarah dan bermusuhan dengan suami sendiri.
"Hai, Awani. Lama I tak jumpa you. Last time masa hari nikah you dengan
arwah Abang Azri."
Terkebil-kebil Lisa bila Nadia membahaskan
arwah Azri dengan panggilan semanja itu.
"Dia dah tak ada, you tak payah nak
lebih-lebih." Awina menjeling tajam. Hilang ingatan agaknya perempuan tu
yang mereka pernah ketemu selepas majlis nikah Awina dan arwah demi menabur
garam dalam rumah tangga orang. Sudahlah nama Awina pun dia boleh salah sebut.
Entah siapa Awani tu.
"Asal you tahu siapa di hati arwah,"
ucap Nadia keras.
"Excuse
me?" Awina bercekak pinggang tidak berpuas hati. Bunyi Lisa macam
sengaja mencari gaduh aje? Kening Awina bertaut rapat menahan rasa sabar yang
semakin menipis.
Cepat saja Lisa memeluk lengan Awani agar
temannya itu tidak mengamuk.
"Bukan I yang merampas. You yang
rampas dia dari I."
"I tak tahu pun kewujudan you masa
tu, kalau you halang perkahwinan kami lebih awal you memang berhak untuk
bercakap tapi you pengecut. You datang aje tapi tak cakap apa-apa. Bila dah sah
baru you serang I, baru you cakap nak ambil arwah balik, you ingat you
siapa?"
"Oh, you berlagak jadi mangsa
keadaanlah ni?"
"Could you please stop,
Nadia?" Lisa menjegil mata. Risau pula dia melihat suasana tegang antara
mereka berdua.
Awina menghampiri Nadia, benar-benar
berdiri berhadapan dengan wanita itu. "I memang mangsa keadaan, Nadia! I
bukan pentingkan diri kalau you beritahu awal-awal tentang hubungan you dengan
dia. Tapi cara you mengganggu hubungan sah kami sangat keji, Nadia!"
"You jangan nak tuduh I bukan-bukan
ya! I tak ganggu dia, tapi perasaan dia masih ada pada I. You tak pernah
berjaya memiliki arwah abang Azri, tak pernah!" Nadia hilang kawalan.
Antara dia dan Awina, Nadia tahu dia yang lebih berhak pada perasaan lelaki
itu.
Awina menjeling tajam ke wajah kecil
Nadia. Wajah yang kononnya langsung tidak berdosa! "I baca setiap mesej
you, setiap malam!" Jerit Awina tidak mampu mengawal amarah. Nadia
mengangkat tangan dan menghayunkan tangannya kuat ke pipi Awina sehingga wanita
itu terteleng ke kanan.
"You nak salahkan I ke bila you
sendiri tahu hati arwah untuk siapa?"
Awina kemam bibir kuat. Bodohlah dia jika
bermurah hati menerima tamparan pertama dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi
tamparan itu dari wanita yang tak sedar diri seperti Nadia.
"Cinta suci konon. Pergi matilah
cinta suci tu! I tak hadaplah dengan Azri!" Awina menolak kuat bahu Nadia.
Cuba membalas tamparan yang baru saja singgah di pipinya sebentar tadi.
"What?!" Nadia
membutangkan mata. Kali ini dia mendekati Awina pantas dan merempuh Awina kuat
sebelum wanita itu jatuh terduduk di lantai.
"Wina, Nadia!" Lisa menjerit
agak kuat. Terkejut dan malu menjadi satu apabila majlis yang sepatutnya
dipenuhi dengan kegembiraan telah bertukar rentak. "This is my wedding!"
Awina meraup wajah geram. Dia cuba bangun
dan membetulkan bajunya.
Nadia memandang Lisa garang. “You jangan
ingat laki you tu bagus sangat, Lisa! I tahu baik buruknya!”
“Apa?” Lisa hampir menempelak. Sudah habis
menyerang Awina, dirinya pula dijadikan mangsa oleh Nadia. Kalau boleh dia nak
halau aje si Nadia dari majlisnya.
"Aku balik, Lisa," ujar Awina
dengan mata yang berkaca. Dia memusingkan tubuh tetapi langkahnya menjadi kaki
saat terpandang wajah keruh Azamri. Dia benar-benar lupa yang Azamri dan
keluarganya ada di situ. Tiba-tiba Awina rasa menyesal yang amat sangat.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata boleh memutuskan ukhuwah dan
ikatan yang sedia utuh.
Dia melangkah menghampiri Azamri dengan
perasaan malu. Matanya menangkap kelibatan Jihana dan Hid Johar berdekatan
dengan Azamri. Entah di mana dia hendak meletakkan mukanya selepas ini dengan
kejadian yang amat memalukan dalam hidupnya.
"I'm
so sorry Zamri, I tak berniat. You tahu I sayangkan Azri. I cintakan dia,"
ucapnya lirih. Air mata jatuh berderai ke pipi. "I cintakan Azri..."
Bisik Awina lagi.
Hid Johar yang memerhati menggenggam
tangan kuat. Dia tak tahu apa perasaan yang menyelit dan menumbuk dadanya.
Antara terluka dan sedih menjadi satu.
"Hid kenapa?" soal Jihana
melihat dada Hid Johar bergelombang.
Azamri melemparkan mata ke arah lain,
malas untuk melihat air mata yang menitis di pipi Awina. "You baliklah. I
faham," balas Azamri perlahan.
Bukan Azamri tidak terasa dengan kata-kata
Awina mengenai arwah abangnya tadi namun untuk menyalahkan Awina secara total
terasa tidak adil pula. Memang Nadia bekas kekasih yang Azri paling sayang.
Cinta pertama yang tak mungkin arwah abangnya itu lupakan. Tapi dia tidak suka
dengan tingkah Awina yang tidak memikirkan orang sekeliling mereka. Terlalu
beremosi. Menyalahkan arwah bila semua yang berlaku sudah pun berlalu.
Biarlah wanita itu balik untuk menenangkan
perasaannya. Bagi Azamri, apa yang telah berlaku biarlah berlaku. Memang dia
sakit mengenangkan arwah abangnya menjadi permainan dua orang wanita, di majlis
perkahwinannya pula tu!
Awina mengangguk kecil. Kakinya melangkah
lemah menuju ke arah pintu dengan diiringi berpuluh biji mata yang memerhati
penuh minat termasuklah Hid Johar.
"Hid?" Jihana menyentuh bahu Hid
Johar lembut. Hid menoleh ke arahnya. Jihana terpempan melihat anak mata Hid
yang berkaca-kaca seolah-olah mengalami kesakitan yang amat sangat.
"Hid sakit? Nak akak bawa ke
hospital?" Jihana jadi panik. Hid Johar mengerut kening dan mengetap
bibir. Cuba mengawal perasaannya yang diburu emosi entah apa-apa.
"Hid tak sakit."
"Habis kenapa muka macam ni?"
tanya Jihana masih bimbang.
"Tak tahu.." Hid Johar berdeham
beberapa kali, cuba mengawal perasaan yang seperti berantakan. Dia juga tak
faham dengan perasaan yang baru menimpa hatinya.
"Sedih?"
Hid Johar mengangguk. Jihana menarik nafas
lega. Fikirnya sesuatu yang buruk berlaku ke atas adiknya tadi.
"Hid balik dulu, kak." Hid Johar
memandang Jihana.
"Tapi majlis tak siap lagi ni."
"Hid balik seorang."
"Risau pula akak."
"Teksi banyak," ucap Hid Johar
melangkah pergi. Jihana tidak mampu menghalang langkah adiknya walaupun dia
sangat bimbang dengan keadaan Hid Johar.
"Hid call bila dah sampai."
Hid mengangguk tanpa menoleh. Jihana
kembali memandang ke arah Lisa yang kelihatan kecewa serta terkilan. Dia tidak
tahu sebab musabab pergaduhan itu tadi tapi telinganya sempat menangkap
pengakuan Awina mengenai arwah suaminya. Pasti Awina benar-benar marah sehingga
sanggup meluahkan perkara sensitif seperti itu. Tapi kenapa Awina meminta maaf
kepada suami Lisa pula. Dia jadi keliru. Orang di sekeliling mula
berbisik-bisik antara satu sama lain cuma Jihana tidak berminat mengetahui
cerita beralaskan gosip. Apa yang terjadi itu atas urusan pengantin dan mereka
yang berkaitan, dia tidak seharusnya masuk campur.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment