CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, January 21, 2016

Paksi Cinta Mars 4

JAHID bangun dari tidur dan duduk di atas sofa sejenak. Badannya agak sakit kerana saiz sofa tidak mampu menampung tubuhnya yang agak tinggi dan sasa. Dipandang pintu biliknya sekilas sambil mengeluh kecil. Sudah bangunkah Fyarah?
    Malam tadi dia dikerah oleh ibu untuk meminjamkan bilik tidurnya kepada Fyarah memandangkan bilik tamu yang satu lagi sudah menjadi bilik stor ibu. Kalau tidak kerana Fyarah pasti Jahid tidur dengan selesa malam tadi. Hampir pukul 2 pagi dia masih belum dapat memejamkan mata kerana terganggu dengan bermacam-macam bunyi dari luar.
    "Dah bangun Hid?"
    "Hmm.." Sahut Jahid tanpa memandang ibunya.
    "Kalau penat lagi sambung tidur dalam bilik."
    "Fya?"
    "Fya.."
    "Dah balik?" Jahid mengangkat muka dengan wajah teruja. Namun keterujaannya mati serta-merta apabila terpandang Fyarah sedang berdiri di sisi ibu sambil memandang ke arahnya.
    "Subuh lagi, nak balik pun entah-entah tak ada flight." Balas Fyarah sengaja memulangkan paku keras. Hairan dia dengan perangai Jahid yang kurang menghormatinya malah langsung tidak memanggilnya 'kakak'.
    "Subuh dulu kat bilik, ibu dan Fya nak masak dulu."
    Jahid bangun perlahan menuju ke arah pintu biliknya. "Hangus nanti ibu." Sempat dia menyindir Fyarah sebelum menutup pintu biliknya.
    "Kenapa Jahid macam tak suka je dengan Fya, auntie?"
    Ibu terdiam sebentar. Wajah Fyarah dipandang dengan pelbagai perasaan.
    "Salah auntie juga."
    "Kenapa?" Soal Fyarah bersungguh-sungguh. Harapannya ibu Jahid bertindak jujur dan memberitahunya sendiri walaupun dia hampir mengetahui semua cerita itu dari Jahid sendiri semalam.
    "Auntie kata nak jadikan Fya menantu. Auntie nak dia kenal dengan Fya dulu. Tapi Hid tu lain macam pula. Auntie dah cakap dah eloklah anggap Fya sebagai kakak sepupu aje kalau dah tak nak sangat tapi perangai dia tak berubah. Auntie minta maaflah Fya kalau-kalau Fya rasa tak selesa duduk kat sini kerana Hid."
    "Tapikan auntie, Fya dah ada pilihan sendiri."
    "Iya? Orang mana?"
    "Sabah."
    "Ohh..." Ada nada kecewa terselit pada suara ibu Jahid.
    "Auntie nak Fya kenalkan dengan beberapa orang kenalan Fya? Sebab dia orang tu kebanyakannya bujang lagi dan elok orangnya."
    "Hmm.. Tak payahlah Fya, karang Jahid marah lagi kat auntie. Payah bila anak bujang merajuk, tak macam anak perempuan senang sikit nak pujuk."
    Fyarah mengangguk kecil. "Kalau auntie ada apa-apa nak cerita, Fya sedia mendengar. Fya lagi suka auntie luahkan perasaan pada Fya."
    Ibu Jahid tersenyum lebar sambil menepuk bahu Fyarah. Walaupun kata-kata itu dia sedar hanya sebagai penyedap perasaan, namun dia benar-benar menghargai Fyarah kerana bersungguh-sungguh menunjukkan keikhlasannya.
    "Semoga Jahid buka hati dia, nak juga auntie tengok dia kahwin dengan perempuan yang baik-baik."
    Fyarah mengangguk kecil. "Fya rasa Fya tersilap. Hid tak ada fobia perempuan pun. Maaf ya auntie sebab dulu bercakap tak berfikir panjang. Kan Hid dah besar sekarang, Fya tak terfikir orang boleh berubah dengan usia."
    "Mana Fya tahu."
    "Kita orang ada berbual semalam." Beritahu Fyarah perlahan. Lama dia terdiam dan berfikir.
    "Auntie.."
    "Apa dia?"
    Fyarah hela nafas dalam-dalam. "Cuma Fya rasa, Hid macam benci kat perempuan."
    "Ei?"
    



"HID temankan Fya ya, hantar Fya ke mart depan simpang sana. Fya tak konfiden lagi bawa jalan kat sini takut ada apa-apa jadi."
    "Hid yang hantar?" Kenapa tak ibu aje yang hantar, lagi senang nak pilih barang. Jawab Jahid di dalam hati.
    "Hmm... Pakai kereta ibu aje. Anggaplah Fya tu macam kakak sepupu Hid. Lagipun dia dah ada buah hati kat Borneo tu, melepaslah Hid nak jadikan dia isteri."
    "Banyak lagi perempuan..." Gumam Jahid tak senang hati. Cara ibunya bercakap macamlah dia langsung tak laku di mata wanita lain. Apa kurangnya Jahid Azali? Kulit dia pun bukan hitam ke apa, putih melepak juga macam orang Cina. Nak kata dia pendek pun tidak, buruk berjerawat batu pun jauh sekali. Takkan sebab Fyarah dia terus jadi loser, jadi rugi.
    "Pergilah bersiap sekarang, ibu tengah jaga kek yang dikukus tadi."
    "Bukan kelmarin banyak lagi barang ke ibu."
    "Wah, banyak songeh pula sekarang. Sebelum ni ibu minta tolong cepat aje." Ibu mula bercekak pinggang. Jahid tersengih kecil dengan rasa bersalah mencicip ulu hati.
    "Maaf ibu, tak sengaja. Kunci cereta ibu letak kat bilik ibu?"
    "Atas meja tu aje. Fyarah tengah bersiap dalam bilik ibu tu, nanti kalau dah dia keluar barulah Jahid masuk ya?"
    Jahid angguk kecil. Melihat ibunya beransur ke dapur, Jahid termangu keseorangan. Tiba-tiba mindanya terbetik perancangan nakal. Kakinya melangkah laju ke pintu bilik ibunya. Dengan senyuman separuh keji dia mengetuk pintu bilik ibunya dan membuka tanpa menunggu sesaat pun.
    "Wei!" Suara Fyarah bergema kuat.

0 Komen untuk Cik Rin: