PROLOG
"NAASHA kat mana? Kenapa tak dapat contact dia langsung?"
Muhammad Nadzhim menyentuh dahi kuat seolah-olah tekanan yang dihadapinya bukan
sedikit.
"Tak perlu cari dia, dia dah pergi
jauh!" Pak Cik Naufal memandang anak muda di hadapannya penuh minat.
"Saya datang ke sini sebab dengar dari orang
lain keluarga Naasha menumpang di sini buat sementara waktu. Pakcik langsung
tak tahu kat mana Naasha?"
Pak Cik Naufal menggeleng kepala. "Nadzhim...
Nadzhim kan nama kau tadi?"
"Ya saya Nadzhim." Getus Muhammad
Nadzhim perlahan. Rasa cuak dan cemas bergabung menjadi satu melihat ketegangan
yang terpamer dari raut wajah lelaki separuh abad itu.
"Kekasih Naasha?"
Muhammad Nadzhim mengangguk berkali-kali.
"Putuskan saja hubungan kau dengan Naasha,
pakcik sebagai penjaga dia tak benarkan Naasha menjalinkan hubungan cinta
dengan mana-mana lelaki." Ucap lelaki separuh abad itu dengan tegas. Namun
pandangan matanya masih memerhatikan anak muda di hadapannya dengan teliti.
Tinggi. Sedap mata memandang. Kemas dan nampak berkarisma.
Mungkin juga telah mempunyai kerjaya yang kukuh. Cemburu menguasai liang
hatinya kerana orang yang mendapat kekasih sebegini sempurna adalah Naasha. Nur
Naasha Fatah! Bukan anak gadisnya yang bercinta entah dengan siapa-siapa. Anak
imam masjid yang tidak bekerja pula jadi pilihan hati Lidya. Dari dulu sampai
sekarang biarpun Lidya dan Naasha sama usia tetapi Naasha mendapat tempat serta
pilihan yang lebih baik berbanding Lidya. Mana tidak terbakar rasa dia.
"Apa maksud pakcik?" Kening Muhammad
Nadzhim bertaut rapat. Hatinya juga mula rasa tidak sedap.
"Pulanglah. Naasha tak ada di sini."
Sombong saja gaya Pak Cik Naufal melemparkan kata.
"Naasha..." Kata-kata Muhammad Nadzhim
patah apabila Pak Cik Naufal menghentak kakinya kuat.
"Walau sampai malam kau tunggu Naasha, dia
takkan muncul di sini. Sebab aku takkan beri keizinan untuk dia bercinta dengan
orang lain!"
Muhammad Nadzhim mengertap bibir. Hairan dan
terluka menjadi satu. Seolah-olah jiwanya terhentak dengan kenyataan Pak Cik
Naufal itu. "Sekurang-kurangnya pakcik beritahulah saya di mana Naasha
sekarang supaya hati saya lega sedikit."
Pak Cik Naufal mendengus kuat. Tadi dia sekadar
meminta anak muda di hadapannya itu pergi tetapi melihat kesungguhan Nadzhim
hatinya tiba-tiba jadi berapi.
"Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?
Naasha tidak dibenarkan bercinta atau menghubungi lelaki lain! Dia aku nak
kahwinkan dengan orang kaya!"
Dada Nadzhim bergelombang. Tersentap jiwanya
mendengar kata-kata lelaki yang mengakui dia merupakan pakcik saudara Nur
Naasha Fatah.
"Dia tak pernah cerita pasal saya pada
pakcik, kah? Kami bercinta dah lama. Saya tahu dia perlu sokongan sekarang.
Ayah dia baru aje meninggal takkan dia nak kahwin pula." Sedaya upaya dia
cuba berlagak tenang namun nada suara Nadzhim sudah berubah keras.
"Terpulang apa kau nak cakap." Pak Cik
Naufal tersenyum sinis.
"Ke pakcik yang paksa dia kahwin? Dia baru kehilangan
ayah dia. Takkan pakcik nak kahwinkan dia pula?"
"Suka hati akulah, aku ni pengganti bapak
dia, tahu? Aku tahu arwah nak aku kahwinkan Naasha dengan orang baik-baik,
orang berharta!" Ujar Pak Cik Naufal yakin.
Air muka Muhammad Nadzhim sudah jauh berubah. Hati
kecil terluka tetapi separuh jiwanya tetap berkeras untuk bertemu dengan Naasha
kerana dia yakin Naasha sedang bersedih ketika ini. Sekurang-kurangnya dia
hendak memberikan sokongan kepada Naasha. Kalau ditolak pun biarlah keluar dari
bibir Naasha, bukan dari mulut orang lain.
"Kaya tak bawa ke mana, pakcik! Kalau pakcik
tak beritahu saya sekarang tak mengapa. Esok saya datang lagi."
"Hah, perangai tak semengah ada hati nak jadi
laki anak saudara aku!"
Muhammad Nadzhim mengertap gigi menahan kesabaran
yang hampir hilang. Sudahlah jiwanya diamuk rasa gara-gara gagal menghubungi
Naasha berminggu lamanya.
"Saya pergi dulu, assalamualaikum..."
Salam Nadzhim tidak berjawab. Pak Cik Naufal masih
membebel di depan pintu sambil bercekak pinggang.
"Siapa tu ayah?" Soal Lidya menjengah
keluar rumah selepas meletakkan teh ayahnya yang baru dibancuh ke atas meja
ruang tamu.
"Budak tu mencari Naasha, degil tak sudah!"
Lidya mengerutkan dahi memandang langkah lelaki
yang cukup segak itu beransur menuju ke Honda putih.
"Kenapa ayah tipu, kan Naasha ada kat dalam
tu."
"Kau diam ajelah, Dya. Tak usah masuk campur
hal orang tua."
Lidya menghela nafas dalam memandang ke daun pintu
bilik Naasha yang tertutup rapat. Naasha di dalam bilik menekup mulut menahan
esakan kecil dari bibir. Ingin dia menyeru dan memanggil nama Nadzhim tetapi
dia tidak mungkin berganjak dari keputusan yang telah dia buat sejak minggu
lepas. Dia takut berhadapan dengan Pak Cik Naufal. Biarpun berkali-kali Naasha
menyatakan tidak tetapi Pak Cik Naufal masih kekal mahu menjodohkan Naasha
dengan rakan perniagaannya. Kata Pak Cik Naufal nanti dia akan hidup senang
tetapi dia cukup faham motif sebenar Pak Cik Naufal yang hanya mahukan dia
sebagai kambing hitam dalam bidang perniagaan.
Kalau Nadzhim datang lagi esok, mungkin dia tiada
lagi di Johor ini. Atau mungkin di Malaysia ini...
Kalau rancangan melarikan dirinya berjaya, mungkin
dia takkan dapat berjumpa dengan Muhammad Nadzhim lagi. Alang-alang dia nak
pergi biar semua orang tak dapat menjejaki dirinya lagi. Dia mahu lari dari
semua kekusutan dan kesedihan yang terlampau berat ini.
Memandang wajah telus Naazneen yang sedang
tertidur di katil bujangnya membuat hati Naasha semakin parah. Bagaimana nasib
Naazneen selepas ini dia takkan peduli. Pandai-pandailah Naazneen mencari hala
tuju. Bukan dia tidak sayang adiknya itu tetapi Naazneen bukan sepertinya yang
sedang didesak dengan perkahwinan yang tidak logik. Naazneen budak baik. Pasti
ALLAH melindungi dari bala bencana.
Naasha mendekati Naazneen perlahan. Kepala
Naazneen diusap penuh kasih.
“Lepas ni kakak dah tak ada. Kakak pergi jauh.
Naaz kena survive.”
Tapi Naaz kecil lagi belum sampai 17 tahun pun!
Hati kecil Naasha menjawab. Naasha geleng kepala berkali-kali cuba
menghindarkan diri dari rasa bersalah terhadap Naazneen
“Naaz kena kuat tak boleh cengeng lagi. Mama kan
masih ada?”
Tapi mama dah gila!
Tak! Naasha menggeleng kepala beria-ia. Dia menggosok
dahinya berkali-kali cuba melarikan diri dari segala perasaan yang menyentap
hati.
“Maafkan kakak, Naaz.” Bisiknya perlahan. Kalaulah
arwah ayah tidak meninggal dalam kebakaran tu... Kalaulah... Air mata Naasha
jatuh satu persatu. Kenapa susah sangat ni nak hidup bahagia?
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment