BAB 12
HARI minggu rutin biasa belum lagi ditinggalkan.
Setiap sebulan akan ada pertemuan kami berempat bersama walaupun dua minggu
lepas sewaktu majlis pertunangan Rina, Nur dan Mun telah datang untuk
memeriahkan majlis. Kata Nur majlis tu lain, rutin tu lain. Jadi kena buat
dua-dua sekali baru lengkap persahabatan. Aku fikir persahabatan kami tidak
akan kunjung noktahnya. Dari zaman universiti sehingga sekarang kami masih lagi
berempat, aku bahagia dengan itu.
Melihat Rina yang tengah masak membuatkan
hatiku tertanya-tanya siapa yang ada di hati temanku yang seorang ni sekarang.
Antara kami berempat hanya dia yang agak pendiam dan perahsia sedikit orangnya.
“Rina,” tegur Mun sewaktu mengeluarkan dadih
yang berada di peti sejuk ke atas meja. Mun menghulur dadih untuk aku dan Nur
kemudian mengambilkan kami sudu kecil.
“Apa?” Rina menoleh ke arah kami bertiga yang
sedang duduk menikmati dadih yang dibuat oleh Nur.
“Kau bila lagi?” Soalan Mun membuahkan senyuman
di bibirku.
“Bila apa?”
Spontan aku menjawab persoalan Rina itu. “Bila
kau nak kahwin…”
Aku tersengih bila melihat mata Rina yang
membulat luas. Kami bertiga serentak ketawa.
“Tunggu Rian kahwin dulu…”
“Calon ada tak?” Tanyaku lagi. Rina menggeleng
kepala sambil tersenyum kecil.
“Sejak bila kau mula risau pasal aku dah ada
calon ke tak, Rian? Mentang-mentang dah bertunang…”
Aku tersengih menampakkan barisan gigi. Sungguh
tidak menyangka kata-kata itu yang bakal keluar dari bibir Rina.
“Tapi tunang kau handsome lah Rian. Serius
cakap ni! Ya Allah terkejut gila aku tengok muka dia hari tu.. Nasib baik aku
dah bersuami..” gurau Nur. Aku mencebik kecil. Punyalah makcik seorang ni duk
puji-puji Adif, nasib aje lelaki tu tak ada kat sini kalau tak memang aku malu
dapat kawan-kawan tak reti cover perasaan sendiri.
“Aku pun mengaku dia kacak. Aku dengar cerita
Nur hari tu ingatkan mata Adif tu betul-betul sepet macam Cina, rupa-rupanya
boleh tahan tajam juga..” kali ini Rina yang memuji Adif. Aku sekadar tersengih
kelat sebab tak tahu nak cakap apa. Kalau betullah Adif tu kacak di mata dia
orang, kira aku ni dengan Adif tu bagai handsome and the beast kut.
“Rina yang tak pernah puji pun puji Adif, Rian.
Baik hati-hati dengan perempuan-perempuan lain. Merana kahwin dengan orang
handsome, ramai peminat!” Nur gelak. Rina pun gelak. Mun aje yang tersengih
lebar sambil memandang wajahku lama.
“Bukan bahagia ke dapat bakal suami handsome,
Nur?” Tanya Mun tiba-tiba.
Nur cepat aje menggelengkan kepalanya.
“Perempuan yang kahwin dengan lelaki handsome memang kena banyak menangis. Satu
sakit kepala, satu lagi sakit hati.. Suami aku yang biasa-biasa tu pun banyak
juga yang mengayat buat aku sakit kepala aje…”
“Cemburu lah tu…” balas Mun ketawa. “Tapi tak
sangka aku yang kawan-kawan kita sorang demi sorang melangkah ke alam rumah
tangga,” ucap Mun lambat-lambat. Agaknya dia sedih kut sebab lepas ni mesti
semakin susah nak cari masa free yang sama untuk bersama.
“Lumrah alam Mun. Kalau tak kahwin tak ada
anak. Tak ada anak sunyi bila kita dah tua nanti,” ucap Nur lembut.
“Kau dah jumpa keluarga Adif ke Rian?”
Aku menggeleng kepala menjawab pertanyaan Rina.
“Serius?” Dahi Nur sudah berkerut seribu. Aku
tersengih kecil sambil tunjuk muka tak berdosa.
Nur mengeluh kecil sambil menyuapkan dadih ke
mulutnya. “Kena kenal-kenal dulu sebab tak lama lagi kau dengan dia menikah.”
Aku pun ikut menyuap dadih perisa jagung tu ke
mulut sambil mengangguk kecil. Tak lama lagi ke tarikh nikah kami? Tapi aku
rasa sehari tu seperti panjang sahaja tempohnya berlalu. Dua minggu ini terasa
bagaikan dua bulan. Nak tunggu 2 bulan tu tiba aku rasa seperti menunggu 4
bulan yang akan datang. Ke memang orang berkahwin akan rasa macam ni?
“I’M in front of your house, Adif.”
Aku menelefon. Sekadar memberitahu dia sekiranya dia terlupa dengan rancanganku
semalam yang ingin pergi ke rumah dia untuk mengenali dia dengan lebih dekat.
Maksud aku bukanlah untuk mengenali diri dia, tapi lebih kepada mengenali
keluarga dia. Adif kata dia ada empat orang keluarga, dia, adik dia dan mak
ayah dia. Kalau aku menunggu dia memperkenalkan aku kepada keluarga dia sampai
nikah pun aku tak akan tahu.
“Masuklah…”
Aku mengerutkan dahi. Tu aje ayat dia? Tak nak
jemput aku yang tengah berada di luar kondominium dia ni ke? Dahlah sekarang ni
aku tengah menggelabah cicak sampai hati betul dia tak concern kat aku.
Aku mengeluh kecil akhirnya. Padanlah muka kau Rian, siapa suruh beria-ia
datang ke rumah Adif tanpa jemputan…
“Awak tak bukakan pintu untuk saya ke Adif?”
Soalku membuang rasa malu yang bertamu. Kalau dia suruh aku buka pintu ni
sendiri memang lari dari kebiasaanlah Adif ni. Mana pernah orang pergi ke rumah
orang lain sebagai tetamu datang di suruh membuka pintu sendiri kecualilah Adif
dah jadi suami, itu lain cerita.
“Masuk je. Password rumah 220410.”
Aku telan air liur seolah-olah tidak percaya
dengan apa yang aku dengar. Kembang sedikit hati bila Adif seperti
mempercayaiku tanpa ada cagaran sehingga sudi memberitahu password rumah dia
tu. Tapi yang peliknya kenapa dia sesenang itu memperikan aku kata laluan
rumahnya?
“Saya masuk ni…”
“Hmm…”
Dia memutuskan talian. Aku terkedu di depan
rumahnya. Terkebil-kebil kerana tidak tahu hendak berbuat apa-apa.
Masuk rumah dia ni nanti terus je salam kat mak
dan ayah Adif, terus je cakap yang aku ni bakal isteri Adif dan datang ke sini
untuk berkenal-kenalan dengan keluarga mentua. Apa nak jadi-jadilah! Aku
menggumam di dalam hati sambil menekan satu persatu password yang disebutkan
oleh Adif tadi.
Apabila bunyi klik kedengaran perlahan-lahan
aku membuka pintu rumah dengan tangan yang agak terketar. Aku membuka pintu
dengan lebih luas lagi. Suasana rumah ini sunyi sahaja dan aku menapak masuk ke
dalam rumah sehingga tiba di tempat letak kasut. Sandalku buka lambat-lambat
dan bergegas aku memasukkan kakiku di selipar rumah yang tersedia diatas rak.
“Assalamualaikum…”
Salamku tidak berjawab. Aku datang ke sini ni
memang tak dialu-alukan agaknya. Masuk sahaja ke dalam rumah kulihat sebuah
ruang tamu yang agak luas walaupun tidak seluas rumah ayah dan ma serta dapur
yang boleh dilihat melalui kaca separuh yang dijadikan dinding pemisah antara
ruang tamu dan dapur. Di bahagian membelakangi sofa terdapat pintu-pintu
sebanyak tiga buah, kukira itu bilik air ataupun bilik tidur Adif. Bila
diperhati benar-benar, terasa rumahnya ini bukan untuk rumah keluarga kerana
hiasan dalamannya yang agak kosong. Ke Adif memang tinggal seorang diri dalam
rumah ni? Tiba-tiba sahaja aku rasa tidak selesa. Bagaimana kalau betul Adif
duduk rumah ni seorang diri? Sepatutnya dari awal aku bertanya mengenai
keluarga dia. Di mana mak dan ayah dia tinggal… Rasa sangsi mula menguasai
hatiku.
“Adif?” Suaraku tenggelam-timbul memanggil
namanya sudahnya tidak berjawab lagi. Aku menekan satu persatu mesej ringkas
untuk Adif dengan perasaan bercampur-baur.
Awak kat mana? Kalau awak tak ada di rumah saya balik dulu.
Mesejku juga tidak berbalas. Aku mengeluh nafas
panjang. Tak ada rezekilah ni…
Kuhalakan kakiku ke muka pintu semula. Sewaktu
aku ingin membuka pintu rumah, pintu lebih cepat terbuka dari luar. Kerana
terperanjat aku terus menjauhkan diri dari pintu tersebut. Dan tidak sampai
sesaat aku melihat wajah Adif yang sedang lengkap berpakaian kerja di muka
pintu. Dia merenung wajahku tajam sehingga pandanganku menjadi kabur kerana
cahaya dari luar pintu memerangkap dirinya dalam kesamaran.
“Awak dah sampai?” Soalan Adif aku jawab dengan
anggukan lemah.
“Masuklah..” ucapnya selamba sambil membuka
kasutnya yang tersarung di kaki. Briefcase dia letakkan di atas rak kasut
sebelum dia memakai selipar rumah sambil tersenyum ke arahku.
“A.. Adif.. Ka.. Kalau tak ada orang kat rumah
ni. Err.. Saya balik dulu…”
“Ada orang. Cepatlah masuk.”
“Maksud saya selain kita berdua…” Adif
mengambil briefcasenya lalu mendekati diriku.
“Awak takut berdua dengan saya?”
Cepat-cepat aku menggelengkan kepala risau
kalau-kalau dia silap faham. Aku bukan takutkan dia, tapi aku takutkan diriku
sendiri. Perasaan takut itu normal bagi seorang gadis seperti aku yang tidak
terbiasa berdua-duaan dengan seorang lelaki yang bukan mahram di sebuah rumah.
Perasaan itu datang kerana aku sudah terbayang di ruang minda kisah novel-novel
yang banyak mengetengahkan kehidupan gadis ditangkap basah walaupun teraniaya.
Tangkap basah sahaja jika tidak melibatkan maruah tidak mengapa namun apabila
terbayang wajah ma dan ayah tahap kerungsinganku memuncak. Elok-elok bertunang
dua minggu lagi hendak bernikah tiba-tiba kena tangkap basah. Kan rugi je kahwin
free-free?
“Awak takut kena tangkap basah dengan saya?”
Soalan Adif berbaur sinis. Kali ini tebakkannya mengena tepat ke mukaku. Aku
hanya mampu tersengih pahit.
“Ada housekeeper kat dalam tu.”
Dia semakin mendekatiku membuatkan aku berundur
beberapa langkah.
“Pembantu rumah?” Tanyaku pula. Tadi aku beri
salam tak ada pun orang jawab takkanlah pembantu rumah dia tidur kut?
“Ya..”
“Family awak?”
“Saya ada family ke?”
Aku terkedu mendengar jawapan Adif itu. Adif
berlalu masuk ke ruang tamu meninggalkan diriku yang terpinga-pinga.
“Adif, mak dan ayah awak?”
“Ayah dan ma awak tak beritahu ke yang saya
telah kehilangan ayah dan mak saya dua tahun lepas?” Adif membuka kot dan tali
lehernya selamba.
“Saya masuk ke bilik, awak duduklah dulu tunggu
di sini.”
“Saya tak nampakpun pembantu rumah awak?”
“Dia dalam bilik dialah kut.”
Belum sempat aku bertanya apa-apa Adif sudah
memasuki biliknya. Aku mengeluh kecil kerana pelbagai soalan yang bermain
dimindaku belum terjawab. Dia tinggal dengan pembantu rumah dia ke? Pembantu
rumah dia perempuan ke lelaki?
“Assalamualaikum…”
Aku menoleh segera. Kelihatan gadis dalam
lingkungan 20-an bergerak melangkah ke arahku.
“Waalaikumsalam…” jawabku lemah. Kukira
paling-palingpun housekeeper Adif agak berumur tapi yang berada di depan mataku
terasa dia sangat-sangat muda. Adif dengan dia.. ada apa-apa ke?
“Tunang abang Adif ya?” Tanya gadis muda itu
lagi. Aku mengangguk kecil. Entah riak apa yang tertera di wajahku tetapi aku
benar-benar rasa tidak selesa di ruangan ini. Tadinya terasa luas sekarang
terasa sempit sehingga membuat dadaku sesak untuk bernafas.
“Saya adik sepupu abang Adif. Merangkap
pembantu rumah dia…” gadis itu menghulurkan tangannya kepadaku. Walaupun dia
sudah menerangkan kedudukannya tetapi mengenangkan kata-kata Adif mungkin
pembantu rumahnya berada di dalam bilik dan membawa makna Adif memang
menyediakan bilik untuk gadis ini tidak mampu mengusir perasaan gusarku.
Usai menyambut tangannya untuk bersalaman,
gadis itu segera duduk di sebelah sofa tempat di mana aku duduk sekarang ni.
“Kakak stay sini sampai pukul berapa? Sebab
abang Adif tadi tak kasi saya balik rumah sebab nak suruh saya temankan dia
dengan kakak sekejap…”
Aku terkebil-kebil tanpa bicara. Terasa seperti
hendak tertawa apabila saja otakku mula dapat berfungsi normal semula. Sia-sia
aje aku rungsing sendiri jika gadis ini sebenarnya belum pulang semata-mata
hendak menemani aku dan Adif di rumah ini.
“Tak lama… Nama adik?”
“Sha… Panggil saja Sha.”
“Adik sepupu abang Adif?”
“Ya.”
“Dah lama kerja di sini?”
“Sementara menunggu keputusan SPM keluar. Abang
Adif kata boleh kerja di sini sementara waktu. Kakak tak perasan ke Sha ada
masa kakak dan abang Adif bertunang hari tu. Mak Sha yang sarungkan cincin di
jati kakak…”
Oh?
“Maaf kakak ni pelupa sedikit orangnya..” aku
gelak lambat-lambat menutup kelemahan sendiri. Kenapalah aku boleh tak ingat
orang-orang yang penting dalam hidup Adif? Wajah mak Sha ni pun aku dah lupa-lupa
ingat.
“Abang Adif ke mana, kak?”
“Dalam bilik dia…”
Sha tersengih lebar. “Untunglah kakak dapat
abang Adif. Dari dulu lagi Sha fikir siapalah yang bakal menjadi isteri abang
Adif ni. Kacak tu kacak tapi sibuk mengalahkan perdana menteri. Ingatkan memang
tak akan ada awek sampai bila-bila, tup-tup cakap kat mak nak masuk merisik dan
bertunang.” Komen Sha panjang lebar. Aku tersenyum kecil. Terasa diriku
benar-benar bertuah menjadi bakal isteri kepada Ahmad Adif ini.
“Kakak dah makan ke? Sha dah masak untuk abang
Adif dengan kakak tadi. Abang Adif suruh masak sedap-sedap…”
Tak elok rasanya aku menolak pelawaan gadis
muda ini.
“Nanti kita makan dengan abang Adif sekali,”
ucapku lembut. Sha mengangguk kecil.
“Sha ke belakang dulu ya, nak sediakan minum
petang.”
“Kakak tolong Sha..”
“Eh, tak payahlah. Sha boleh buat sendiri
senang aje pun. Kakak duduklah dulu.”
Aku termangu di ruang tamu keseorangan. Baru
aje nak tanya banyak-banyak pasal bakal suami tapi adik sepupu Adif pun sama
sahaja tahap kemisteriannya.
“Dah jumpa housekeeper saya ke?” Adif menyapa
setelah 10 minit aku seorang diri duduk di ruang tamu tu. Sha pun satu dia kata
nak sediakan minum petang tapi tengok-tengok dia dah lenyap ke bilik belakang.
Teringin juga hendak menjenguk tapi nanti apa yang dia orang akan kata bila aku
ni sebagai tetamu jadi seberani itu?
“Adik sepupu awak ke?” Aku tanya separuh
sinikal. Yelah orang lain pun ada housekeeper tapi setakat housekeeper tu
merangkap adik sepupu dia sendiri baik tak payah cakap kat orang yang Sha tu
housekeeper dia. Baik dia kata adik sepupu dia sahaja.
Adif tersengih kecil bila dah tahu yang aku ni
tau pasal adik sepupu dia yang cantik molek tu. Selamba dia duduk di hadapanku
sambil meletakkan satu plastik apa entah di tepi meja tamu dia. Baju dia pun
sudah bertukar kepada yang lebih ringkas dan santai dengan t-shirt berlengan
pendek dan seluar panjang.
“Awak ke sini nak kenal dengan family saya ke?”
Pandai pula dia meneka. Aku mengangguk kecil.
Dia terdiam tapi tak lama. Dia keluarkan satu set papan catur dalam plastik
dia.
“Keluarga saya yang terdekat dah tak ada…
Sia-sia aje awak datang…” gumam Adif. Aku mengangkat kening sebelah tak faham
dengan maksud kata-kata dia.
“Kalau keluarga awak tak ada pun tak apa. Adik
sepupu awak ada…” main belasah aje aku cakap dan tiba-tiba aje aku takut dia
kecik hati dengan apa yang telah keluar dari mulut aku tadi.
“Kalau keluarga saya ada awak bolehlah
berkenalan dengan dia orang…” Adif tersenyum nipis.
“Awak nak saya jumpa mereka?”
“Kalau dia orang masih ada.”
Aku termangu keseorangan. Betullah apa yang dia
cakapkan tu. Kan ke aku ni bakal isteri dia mesti dia nak tunjuk aku pada
keluarga dia tapi keluarga dia pula dah tak ada.
Aku perhati Adif yang tengah susun satu persatu
buah catur di papan catur dengan perasaan hairan. Dia nak main dengan Sha ke
benda alah ni?
“Hari tu kan awak kata awak ada seorang adik.
Adik awak kat mana?”
Adif membuang pandang ke wajahku sekilas
sebelum kembali menyusun caturnya.
“Dia tak tinggal dengan saya.”
“Jadi bila saya boleh bertemu dengan dia?”
Tangan Adif terhenti dari menyusun buah
berwarna putih selepas siap menyusun buah-buah catur berwarna hitam itu.
“Awak nak jumpa dia?”
Aku mengangkat bahu. “Kalau awak bagi… Saya
berbesar hati berkenalan dengan dia, Adif. I’m so sorry about your parent.
Tak tahu yang dia orang dah tak ada. Apalah saya ni, kan? Nak jadi isteri awak
tapi pasal awak satu pun saya tak tahu.” Aku mengeluh kesal. Sungguh! Aku
bercakap ni ikhlas dari hati.
Adif mengangkat wajahnya selepas meletakkan
buah yang paling tinggi warna putih di tepi yang kedua tertinggi tadi.
“Nanti lama-kelamaan bila kita kahwin awak akan
tahu tentang keluarga saya, Rian. Nanti bila dah selesai segalanya awak akan
ketemu dengan adik saya. Tapi bukan sekarang.”
Spontan keningku bertaut. Hairan dengan
kata-kata Adif. “Tak boleh jumpa sekarang?”
Adif tersenyum tipis. “Dia tak ada kat sini.”
“At least saya tahu nama dia…”
“Dia Siti Aisya.”
Siti Aisya… bergema nama itu di seluruh jiwaku.
Nama sempena isteri junjungan nabi Rasulullah S.A.W.
“Mesti cantik, kan?” Aku merenung redup wajah
Adif.
“Dia cantik, tapi dia tak seperti awak.”
“Maksud awak?” Tiba-tiba aku risau kalau-kalau
Adif akan kata adik dia lagi alim dari aku, lagi baik dan lagi cantik. Kalau
dia kata lagi cantik tak mengapalah sebab aku pun memang dah sedia maklum yang
banyak lagi wanita kat luar sana lebih cantik dariku tapi kalau dia kata adik
dia jauh lebih baik dari aku yang jahil segala segi bagaimana?
“Dia cantik tapi dia nakal. Tak macam awak…”
Aku terkebil-kebil menanti kata-kata Adif yang
seterusnya.
“Kalaulah dia macam awak senang sikit saya nak
jaga dia…”
Aku terdiam. Maknanya Adif menyatakan aku
berada di pihak yang punya kelebihan berbanding adiknya.
“Biasalah nakal tu. Saya pun nakal juga, cuma
awak je yang belum kenal sepenuhnya,” ucapku merendah diri. Adif tersenyum
cuma. Papan catur diunjukkan ke arahku. Aku cepat-cepat menggelengkan kepala.
Gila apa dia nak suruh aku main benda alah ni. Aku mana reti pun main catur.
Kalau setakat main dam tahulah tapi itu pun bila dipaksa Nur dan Rina baru aku
terlibat sama bermain kalau tak memang aku tak nak main benda-benda ni.
“Saya tak reti mainlah Adif..” ucapku lembut.
Cuba untuk meminta dia memahami diriku tapi nampak seperti dia bersungguh aje
hendak bermain dengan aku.
“Yang ni nama dia bidak. Tentera-tentera kecil
kerajaan kita.” Dia terangkan padaku walaupun aku terang-terangan menolak
daripada permainan ini.
“Yang ni castle, horse, queen…” dia terang satu
persatu membuatkan aku termangu. Sebenarnya aku tak faham kenapa dia perlu
menerangkan kepadaku permainan ni.
“Saya tak nak mainlah Adif.”
“Awak nak buat apa kat sini kalau tak main?”
Aku termangu sekali lagi mendengar soalan dia
yang agak sinikal itu.
“Berbual?”
“Main sambil berbualkan boleh aje.”
Aku diamkan kata-kata dia, tak pasal-pasal jadi
gaduh pula kalau aku berkeras tak mahu bermain catur.
“Awak yang warna putih, saya yang warna hitam.
Sekarang awak boleh mula gerakkan buah awak.”
“Saya gerakkan bidak ni?”
“Knight pun boleh gerakkan dulu.”
“Ha?” Dahi aku sudah berkerut hairan.
“Maksud saya horse. Benda ni boleh bergerak
bentuk L macam ni.” Dia angkat kuda dia tu dan diletakkan di tepi buah tentera
kecil yang dia namakan bidak tadi di sebelah kanan berbentuk L. Banyak betul
nama sebiji benda ni.
“Faham?”
Aku mengangguk dan dia meletakkan kembali
buahnya di tempat asal.
“Boleh gerak mana-mana buah ni?” Soalku
teragak-agak sambil menunjukkan bidak.
“Dua langkah ke depan atau selangkah saja.” Dia
terang dengan riak yang serius. Aku sudah mula tersengih. Rasa nak je cakap kat
dia yang tengah dia bermain sekarang ni bukan pemain profesional jadi tak
usahlah buat muka serius macam tu.
“Saya dah gerak.” Aku beritahu dia dengan muka
bersungguh-sungguh. Dia pun gerak bidak yang terletak di depan King dia dua
langkah ke hadapan.
Aku termangu-mangu seketika sebelum
menggerakkan bidak yang berada di tepi sekali ke hadapan dua langkah. Lepas tu
dia cepat saja menghantar bishops dia ke tepi. Aku ternganga pandang dia.
Berani betul dia serang kawasan aku macam tu sekali? Mentang-mentang aku tak
pernah main..
Bila aku gerak lagi buah dia terus gerak Queen
dia. Aku dah rasa tak mahu main lagi bila dia gerak dengan muka yakin macam tu.
Tak boleh ke dia kasi chance kat aku yang baru aje main ni?
“Yang ni apa?” Soalku menunjukkan buah paling
tinggi dan ada tanda operasi tambah tu.
“Yang ini King. Yang ini Queen. Tugas King
untuk memastikan game terus berjalan dan Queen bertanggungjawab untuk
melindungi King walau apa pun yang terjadi..”
Aku mengangguk kecil mendengar penjelasan
panjang lebar Adif. Punyalah minat dia kat chess baru aku tahu sekarang. 1
point untuk Rian Aulia sebab dah bertambah mengenali bakal suami sendiri.
“Kalau Queen mati, King hidup lagi, tapi kalau
King mati, Queen pun mati,” ucap Adif sambil merenung tajam ke wajahku.
“Agaknya kalau kita dah jadi suami isteri, awak
jadi king dan saya jadi queen kan?” Aku cuba berlawak untuk mengurangkan
perasaan kekok apabila dia memandang aku dengan mata tajam dia tu. Tapi Adif
tak gelak pun jadi terpaksalah aku hentikan ketawa yang keluar dari bibirku
baru saja tadi.
“Sebab kumpulan penyerang ni ada jadi kita akan
protect kawasan kita dengan sungguh-sungguh, nak menang awal matikan
Queen kumpulan lawan. Macam saya, saya akan serang Queen awak supaya saya cepat
menang dalam game ni.” Adif mengambil Queen dia yang sudah berada di petak
hadapan dan menolak bidak milikku sehingga jatuh tergolek di papan catur.
“Check mate!”
Aku ternganga tak percaya. Baru tiga
sahaja pergerakan dia aku dah kena check mate? Biar betul!
“Awak tak bagitahu pun Queen awak serang saya?”
Adif buat smirk smile dia tu lagi.
Sinis lagi. Membuat hatiku sedikit berbara
namun aku sabarkan juga hati kerana aku tahu ini hanya satu permainan, tidak
lebih daripada hanya sebuah permainan.
“Bila kita nak serang kumpulan lawan, kita tak
akan bagitahu dia tentang strategi kita, Rian.”
Aku pandang wajah dia tak puas hati. Aku baru
aje belajar main catur takkanlah dia terus buat King aku mati?
“Jadi saya kalahlah ni?” Aku tanya kat dia
lambat-lambat.
“Awak tak kalah selagi saya belum check mate
kan King awak. Tapi awak dah kena check mate, kan?”
“Tak boleh ke Queen dan King kita berdamai.”
Adif menyoroti wajah aku lama. Lambat-lambat
dia menggeleng kepala.
“Two kingdom will never work together. You
hurt me so I hurt you back, Rian...”
Apa pula yang tengah dia mengarut ni? Aku
tenung papan catur yang ada kat depanku. Banyak lagi pemain negara aku tapi
King tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja sampai hati betul Adif buli macam aku ni
lawan seteru dia pula dah.
“Tapi awak yang suruh saya mula gerakkan
tentera sebab tu saya gerak...”
“Kalau tak kita mesti tak bermain permainan ni,
kan Rian Aulia?”
Pertama kali dia sebut nama penuhku. Pertama
kali juga aku rasa hatiku melayang-layang terputus dari genggaman. Aku tidak
peduli lagi permainan bodoh ni sebab aku bermain benda ni pun kerana dia suka
catur.
Aku pandang wajah dia dengan pandangan redup.
“Kita makan nak?”
“Saya tak mahu kalah, Rian. We need to
finish this game first.” Cara dia cakap tu macam ada maksud tersirat aje.
Tapi Adif memang Adif, selagi tak misteri selagi tu lah bukan dia. Aku ni je
yang agak malang dapat bakal suami yang misterinya mengalahkan misteri
nusantara. Tak boleh ke kalau dia cakap terang-terang apa yang ada kat hati dia
tu? Sebab aku tak boleh nak baca hati dia sedikitpun..
“Awak dah check mate kan saya nak teruskan
permainan apa lagi? Saya dah kalah dah pun…”
“Gerakkan satu lagi buah awak.”
Aku pun gerak cincai aje. Semakin sebal pula
melayan Adif yang beria-ia sedangkan dia tahu aku ni tak reti main chess.
Dan dengan itu, dia pun tendang King aku dengan
Queen dia sampai terpelanting jatuh ke lantai. Dia tersenyum seakan-akan puas
dengan apa yang dia dah buat tapi lain pula halnya dengan aku. Kenapa hati aku
ni tiba-tiba jadi sakit bila dia buat macam tu?
“Awak bencikan saya ke?” Aku bertanya dengan
nafas yang tertahan-tahan. Dia memandang diriku seakan-akan terkejut. Wajiblah
dia terkejut sebab dia dah lupa yang aku ni memang langsung tak reti main tapi
dia langsung tak beri simpati kat aku sejak mula lagi. Macam tu ke cara orang
mengajar?
“Rian, I’m so sorry. Saya tak berniat
hendak kecilkan hati awak…”
“Saya tak kecil hati.” Aku ucap sedikit
lantang. Adif tersenyum kecil sambil mengutip Queen yang tergolek berdekatan
dengan hujung kakiku. Dia kemaskan catur tu masuk ke dalam kotak.
“Nak main kad poker tak?”
Keningku bertaut serta-merta.
“Saya tak tahu pun awak reti main judi?”
“Saja suka-suka. Tapi tak bertaruh. Permainan
otak dan strategi ni perlu untuk kita, Rian. Supaya kita tak kena trick
oleh orang lain.”
Aku mendengus kecil. “Baik saya main Sudoku aje
kalau macam tu..”
Tawa Adif meletus akhirnya.
“Jomlah makan, nanti lambat pula Sha balik.
Selalunya dia balik masa pukul 4 petang sebelum saya balik rumah lagi.” Adif
bercakap seolah-olah untuk diri dia sendiri tapi aku dengar jelas sangat.
Serta-merta senyuman di bibirku mekar semula. Jadi kes dia dan Sha dah clear. Aku
tak perlu sangsi apa-apa. Jahat sangatlah aku sampai terfikir yang bukan-bukan
tentang dia orang berdua ni.
9 Komen untuk Cik Rin:
Huhuhu...rasa berdebar aje ni..jahat ke si adiff tu aireen? X sabar nak baca next n3..tq sooooo much aireen
Best..geram betul dgn adif..eee..mase saya baca kan, rasa mcm saya ni rian je.. Terasa sakitnya hati dgn layanan adif ni. Sampai menangis dbuatnya. Eee!!sambung2 lagi. Best2
Omg best giler cita ni... nk lagi..... citer ni akan dibukukan ke??
mendalam ayat adif tu. misteri sungguh laa..! nak lagi boleh.hihi :)
Mmg la adif ni misteri...
saya rase saya phm ape kate si adif 2 ....
nmpak novel ni kat FB geng giler novel . baca sinopsis best, terus sy cari cerita ni n jumpa blog cik writer :D :D x sbr nk beli novel ni, nk tgk camna adif kejar rian blk.hihi <3
nmpak novel ni kat page FB Geng Giler Novel, baca sinopsis best.. terus sy cari crita n jumpa :D
x sabar nak beli novel ni, nk tgk mcm mna adif kejar rian blk..hihi <3 :D
Mesti ade something ni...
Post a Comment