CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, June 16, 2017

JODOH on Raya *PART 2*




“Mun, ada orang nak jumpa!”
“Siapa?” Aku dongakkan kepala dengan gigihnya. Maklumlah tak pernah lagi dalam beberapa tahun ni ada orang nak jumpa aku kat tempat kerja. Selalu kalau nak ajak lepak pun mesej dulu.

Siapa ek? Normah ke? Atau Sarah? Geng-geng tak makan saman sejak zaman kanak-kanak riang lagi... Tapi buat apa dia orang turun ke hospital semata-mata nak jumpa aku. Rumah kami bukannya jauh sangat. 10 minit boleh sampai kut.

“Entah, kawan kau katanya," sebut Wahida ikhlas tak ikhlas aje.
“Kat mana?”
“Kat kafetaria.”

“Lelaki ke perempuan.”
“Eh, banyak pula tanya. Pergilah jumpa sendiri.” Wahida tunjuk muka tak puas hati. Aku tanya baik-baik kut yang dia macam orang baru kena gempa bumi apahal? Dengkilah tu ada orang nak jumpa aku.

Hari tu ada je orang kasi dia bunga, satu hospital kecoh. Bangga sebulan-bulan. Tak lama lepas tu aku dengar pakwe tu dah kahwin dengan orang lain. Perghh.. tu tak pula dia kecohkan.

“Lelaki lah tu.” Aku menggumam kecil. Wahida dah jeling tajam waktu aku bangun dari kerusi dengan senyuman lebar.

Walhal dalam kepala ni langsung tak boleh nak fikir siapalah lelaki bertuah yang nak jumpa aku?

Paling-paling yang rapat pun, Haikal ke? Yalah hari tu dia sepupu aku tu berhutang dekat RM 500. Dekat empat bulan juga dia tak bayar. Hesy…

Kalau betul Haikal, baiklah aku sedia jarum dalam poket untuk suntik hormon kesedaran kat dia. Ingat dah berubah baik tapi masih lagi tetap jadi pondan. Tak faham sungguh la aku. Elok ALLAH kurniakan dia badan yang sasa, hidung yang mancung, muka yang sado, tiba-tiba pakai rambut panjang dan duduk terkepit sana-sini.

Lepas turun dari tangga, mengharungi beberapa orang rakan sekerja yang sangat ramah menegur dan menahan aku untuk bercerita, akhirnya tiba juga kat kafetaria.

Aku pandang je kiri kanan tapi tak dapat detect sesiapa yang aku kenal kat situ. Wahida saja kenakan aku ke? Mana tahu dia menipu sebab nak balas dendam.

Kan dua hari lepas aku tipu dia kata Doktor Hisyam nak jumpa dan dua hari juga dia tunjuk muka ketat walaupun aku dah seikhlas hati meminta ampun dan maaf sempena bulan Syawal ni.

Tapi aku trick dia tu pun sebab tak tahan tengok perangai dia yang menggedik sana-sini sebar gossip yang dia adalah bakal isteri Doktor Hisyam. Mak aih, tahulah doktor tu doktor baru, doktor praktikal. Tu pun Wahida sibuk nak cup-cup.

Sebagai kaum wanita, aku tumpang malu sebenarnya.. kah kah.

Bila dah bosan tengok semua orang tapi seorang pun tak muncul-muncul, aku terus ke kaunter kafetaria.

“Kak, milo ais satu. Tapau.” Aku cakap sambil belek-belek keropok kat atas meja kaunter ni.

Alah, tak payahlah nak marah sangat dengan Wahida. Dia main-main pun sekurang-kurangnya dia hantar aku ke kafetaria. Tengah lagi perut lapar ni….

“Assalamualaikum!!"

Terkejut cekadak bila suara tu betul-betul kat tepi telinga. Oleh sebab tindakan refleks yang sangat kuat, tangan ni dah naik atas dan menampar orang tu dengan kuatnya.

“Adeh!” Dia menyeringai kuat.

Aku terkedu beberapa saat sambil pandang mamat tu dari atas ke bawah lepas tu ke atas balik. Weh, setara dengan ketidakberabannya, begitulah juga dengan muka dia yang selekeh dan bau badan macam 7 hari tak mandi.

“Siapa?” tanyaku laju-laju menjauhkan diri.

“Akulah. Kuat pula kau tampar dagu. Tak ada tempat lain ke nak tampar?” Suara lelaki itu buat aku teringatkan cekadak yang pernah aku jumpa dalam minggu lepas.

Ha’ah.
Cekadak bernama Syafiqi.

Aku jegilkan mata luas-luas macam hairan, macam pelik, macam tak percaya. Kenapa dia dekat sini dan apa hajat dia datang jumpa aku kat sini?

Baiklah buat-buat tak kenal aje kat mamat ni sebab Kak Nor, cashier kafetaria tu dah mula tunjuk minat dengan cekadak yang tengah tersengih-sengih kat depan aku ni.

Tuesday, June 13, 2017

Cerpen: JODOH



TELEFON bimbit ku masukkan ke dalam beg galas. Malas benar aku nak turun petang ni ikut ibu ke tempat kawan dia. Kata ada orang nak berkenalan dengan anak perempuan dia yang umur 29 tahun ni. Mata tak boleh pejam dari semalam. Ni kira lamaran kea pa? Tapi Mun, sila jangan perasan awal. Kut-kutlah memang ikhlas berkenalan setakat anak kepada ibu, kecewa juga tak berlagu. Iyalah, dah 29 tahun juga aku tunggu jodoh tak kunjung tiba. Nak mengharap dah malas sangat.
“Nanti jaga perangai tu kat rumah orang, jangan duk gangster macam selalu.”
Aku sengih kecil. Aduh ibu, anakmu ni dah sedia ganas. Takkan nak tiba-tiba jadi pemalu dan sopan santun, Nampak benarlah kehipokritannya di situ.
“Kenapa dia orang yang tak pergi sini, bu? Kenapa kita yang pergi sana?” Aku tanya seraya mengenakan sneaker di kaki.
“Ibu dah kata pakailah sandal elok sikit. Aduhai, kerja bukan main lagi jururawat.” Ibu membebel buat kali yang 11 ribunya. Aku tak nampak pun cacat cela kasut ni tapi sebab ibu dah Tarik muka masam, nak tak nak masuk juga sandal dua inci kat kaki. Ibu tolonglah terima anakmu ini seadanya. Takkan aku nak jadi Kak Rinah yang melawa 24 jam sampai tidur pun pakai make up juga?






“NI lah, Munisyairah, anak kami, Naila.”
“Oh, cantik orangnya.”
Okey nak tercekik dah. Aku macamlah buta tak Nampak Mak Cik Naila pandang aku seperti tak pernah tengok orang.
Aku tunduk-tunduk kecil aje sebab tak tahu nak buat apa dah. Nak salam dia tadi sudah, nak sengih pun sudah.
“Kecil dulu gemuk budaknya. Sekarang dah kurus melidi.” Komen Mak Cik Naila sambal terkebil-kebil tengok aku. Sempat lagi aku berfikir, kecil dulu aku pernah jumpa dengan mak cik ni ke?
Ibu dah menyiku suruh aku berucap sepatah dua.
“Hii… Dulu tu kuat makan mak cik.” Entah apa merepek keluar dari mulut.
“Tu ha, si Syafiqi baru balik. Kawan  Mun masa kecil-kecil dulu. Ingat  tak?” tanya Mak Cik Naila sebaik mendengar bunyi kereta memasuki perkarangan rumahnya.
Aku jujur aje geleng kepala tak ingat.
“Bergaduh aje dengan Mun masa kecil dulu. Balik ni pun mak cik paksa dia, katanya sibuk kerja. Apalah salahnya balik rumah raya-raya ni.” Mak Cik Naila geleng-geleng kepala dan matanya beralih ke arah ibu pula. “Dua hari aje dia balik rumah ni, kak masa hari raya pertama kedua. Lepas tu elok dia balik ke Putrajaya, beraya dengan kawan-kawan katanya. Pening saya!” Sambung Mak Cik Naila kepada ibu.
Aku terus pandang ke arah pintu rumah sebaik saja terdengar suara lelaki mengucap salam. Seorang lelaki boleh tahan kacak berkulit putih dan bermata bundar masuk ke rumah dengan senyuman. Wow!
Aku dah buka mata luas-luas. Inikah dia Syafiqi? Untunglah aku setuju ikut ibu menjejak kaki ke sini hari ni!
Tiba-tiba seorang lagi lelaki masuk ke rumah. Muka dia macam penagih dadah pun ada. Aku malas nak pandang lama sebab takut mata ni tercemar dengan muka sampah masyarakat.
“Tetamu ke?” tanya mamat berkulit putih melepak dengan senyuman menawan. Mak aihhhh berdebar pula jantungku ni. Oh tolonglah Tuhan, jadikan dia jodohku di bulan Syawal yang penuh berkat ni…
Mata dah jeling-jeling. Tapi tak cun sebab terjeling kat mamat yang tak berapa senonoh tepi dia tu. Mata tajam pula pandang aku dari atas ke bawah, alamak seram!
“Ha’ah. Ni la mak cik yang umi cerita hari tu. Mak Cik Sofiya dan anak dia, Munisyairah. Amin dan Syafiq berdua aje datang?”
Dua-dua pun angguk kepala.
“Ni anak saya, Syafiqi. Yang ni kawan Syafiq, Amin. Amin ni selalu ke rumah juga bila cuti pendek sebab rumah dia di Sabah. Orang Sabah.”
Aku pandang jari telunjuk Mak Cik Naila dengan mata terbeliak. Terbeliak sikitlah, mana boleh nak terbeliak banyak kat depan ibu. Nanti kena sepak oleh ibu pula.
Aku macam nak ajak ibu balik aje bila tahu si Syafiqi tu adalah mamat yang pakai seluar jeans koyak rabak dengan baju t-shirt longgar gila dan rambut kalah penyapu lidi. Oh, tolonglah!
“Munisyairah?”
Aku muncung bila Syafiqi sebut nama aku dengan bibir dia tu. Husy, minta jauh-jauhkan dia jodoh aku. Tak bolehlah nak match orang gangster macam aku berganding dengan orang rock macam dia. Paling cun, gangster macam aku, ganding dengan si handsome guy sebelah Syafiqi tu. Apa nama dia? Amin?
“Wah, dah putih pula sekarang  ni! Kau makan apa? Qu Puteh? Aura white?”
Aku hampir tersembur air liur.
“Dulu kau gemuk pendek aje. Macam mana kau boleh kurus gini?” Dia gelak bagai nak jatuh langit kat atas.
Aku pandang ibu dan Mak Cik Naila silih berganti. Kenapa dengan budak Syafiqi ni, dia gila ke? Gitulah agak-agak bicara hati aku yang paling dalam. Tak faham bila lelaki itu sibuk nak mengumpat masa silam aku. Mujur kat dalam rumah, kalau kat luar rumah dah awal budak ni kena pelempang dara Munisyairah!
“Eh, paling best dah bertudung. Dulu rambut macam sabut kelapa!”
Ya ALLAH ya Rabbi sabarkan hati aku di hari yang mulia ni.. Baru tujuh hari raya, Mun. Mohon mengelak dari berbuat dosa semasa hari orang tengah bermaaf-maafan ni…
“Syafiqi, janganlah buat perangai macam tu,” tegur Mak Cik Naila serba salah. Nak biru dah muka orang tua tu.
Ibu pun Nampak tak senang duduk.
“Ni ke yang mak cik kata hari tu? Calon bakal isteri Syafiq?” tanya Amin memandangku.
Telan air liur pahit dah aku.
“Tapi nampaknya encik ni tak suka saya pula.” Aku bedal terus-terang. Malas nak berselindung.
“Eh, siapa cakap tak suka? Sukaaaa sangat.”

Kaki dah hampir nak tegak berdiri bila Syafiqi cakap dengan nada yang kuat. Aku pandang ibu dengan muka yang sedih sangat. 


Monday, April 3, 2017

LELAKI DI BAWAH TEMPURUNG BAB 3



BAB 3

HARI yang aku tunggu-tunggu dah tiba. Walaupun banyak mata yang memandang tetapi jiwaku kosong saja. Kenapa? Kenapa? Persoalan itu aku dengar sejak mak keluar cincin dan meletakkannya di atas meja di depan ibu bapa Azri. Masa berlalu sangat pantas sampai aku tak sedar pertunangan ni akhirnya perlu juga diputuskan.
“Saya pun tak tahu masalah orang muda-muda ni. Tapi kalau dua-dua pun hati tak rela tak boleh dipaksa Kak Gee.” Ujar mak berhati-hati.
“Azli ada buat hal ke Riah? Makcik boleh nasihatkan Azli kalau ada yang tak kena, sayang tinggal berapa minggu menghitung hari nak nikah ni.”
Aku diam saja tidak menjawab. Cuma bergantung dengan mak dan Kak Mia saja untuk berpihak kepadaku. Untuk bercakap sesuatu, aku takut nanti keluar pula cerita yang bukan-bukan dari diriku.
“Anggap aje tak ada jodoh, makcik.” Kak Mia bersuara.
“Eh tak boleh, Mia. Persiapan pun dah dibuat sikit-sikit ni, kecewa kami kalau majlis tak jadi.” Kata-kata ibu Azri membuat hatiku bertambah berat. Mak dan Kak Mia tentu merasakan beban yang sama.
“Riah pertimbangkan dulu betul-betul, nanti makcik cakaplah dekat Azli untuk betulkan balik hubungan kamu berdua.”
“Saya dan dia tak ada hubungan pun.” Balasku kurang sabar.
Azri yang bercekak pinggang di sisi ibunya menggaru kepala.
“Mungkin Riah dah tengoklah tu.” Ujar Azri tiba-tiba. Semua mata tertumpu kepada Azri dengan penuh tanda tanya termasuk diriku juga.
“Apa yang Azri merepek ni?” Soal ibu Azri menekan suara. Mak dan kak Mia berpandangan seketika sebelum kedua-dua mereka memegang tanganku.
“Minggu lepas Riah kata dia nak datang ke pejabat kita orang, ma. Tapi tak muncul-muncul, abang satu hari mood kelam serupa black out.”
Aku jeling Azri tajam. Seperti puzzle aku rasa ada sebab kenapa Azri beritahu pada aku tempoh hari kat mana Azli berada masa tu. Azri dah tahu segala-galanya dan dia sengaja tunjukkan kepadaku sikap abangnya yang sebenar. Tapi perlukah dia canang kat semua orang pasal benda ni?
“Ada salah faham kut Azli dan Qariah ni, Ida.” Ibu Azri bercakap dengan nada memujuk kepada mak.
“Salah faham tu saya tak kisah sangat, dah keputusan Riah pun tetap kita tak boleh paksa-paksa Kak Gee.” Mak aku bertegas. Aku genggam tangan mak erat tanda terima kasihku kepada mak.
“Riah tolong makcik, ya. Kita dah tak boleh putuskan atau batalkan nikah Riah dan Azli begini aje. Makcik dah beritahu orang yang Azli nak menikah tak lama lagi dengan Riah.”
Entah mengapa aku rasa alasan ibu Azri itu kuno sangat. Langsung tak dapat diterima pakai sebab aku putuskan hubungan kami sebelum hari perkahwinan nak dekat.
“Saya tak boleh Abang Azli. Betul-betul tak boleh.” Aku pandang Azri sekilas. Lagi sanggup aku kahwin dengan dia ni daripada dengan si abang.
“Kali ni aje. Nanti makcik basuh betul-betul si Azli tu, jangan risau.”
Aku rasa nak menangis pun ada. Apa yang susah sangat putuskan pertunangan ni. Lainlah ceritanya kalau dah betul-betul menikah. Memang rasa kasihan dan bersalah itu ada tetapi untuk menerima Azli dalam hidupku adalah sangat mustahil.
“Azri, telefonkan Azli dulu suruh dia balik.”
“Untuk apa, ma? Diakan keluar dengan Shamila tadi?”
Berkerut dahi ibu Azri. “Shamila mana?”
“Girlfriend baru dialah, hari tu kan dia bawa ke Langkawi sekali out station dengan dia.” Ujar Azri bersahaja. Wajah Mak Cik Gee berubah 100%. Aku tak faham kenapa Azri cuba memburuk-burukkan abang dia begitu tapi biarlah. Aku tak nak fikir banyak sangat.
Aku pandang mak lama, cuba menyatakan sesuatu dari hati dan mak seolah-olah faham dengan perkara yang bermain dimindaku.
“Begini ajelah, Kak Gee, dah kami tahu dia ada kekasih ni maknanya dah terang lagi bersuluhlah, hubungan anak-anak kita takkan sampai ke mana. Kami dah beri cincin, esok atau lusa barang-barang yang kami dapat dulu masa bertunang tu saya hantar balik.”
“Azri!” Marah Mak Cik Gee. Wajah manis wanita itu bertukar kemerahan tanda geram dan panas hati.
“Kita cakap benda yang betul, Riah sendiri tengok benda tu. Ma tak boleh halang abang selagi dia sendiri yang tak berubah. Ma tak boleh kata abang akan jadi lebih bertanggungjawab bila kahwin dengan kawan Ri. Kesian la dekat Riah, dia tak tahu apa-apa pun.” Ujar Azri seraya mengeluh kecil.
“Apa kena dengan Azri ni, merepek yang bukan-bukan. Azli tu abang Ri tahu?”
“Makcik, saya tak nak dekat Abang Azli. Dia boleh cari kebahagiaannya, saya tak yakin nak ubah dia untuk jadi apa yang makcik mahu. Itu tanggungjawab makcik dan pakcik sebagai orang tua Abang Azli, saya tak ada kuasa pun ke atas anak makcik. Izinkan saya dan keluarga meminta diri. Hubungan saya dan Abang Azli memang tak boleh nak selamat lagi, dah. Dia sendiri yang cakap dia tak nak saya.” Ujarku panjang lebar.
“Tapi, Riah.” Mak Cik Gee serba-salah untuk bersuara. Sebelum dia berkata apa-apa cepat-cepat aku memintas kata-katanya.
“Saya dan keluarga minta maaf banyak-banyak sebab dah kecewakan harapan makcik sekeluarga.”
Kak Mia bangun dan menarik tanganku. “Mia harap makcik sekeluarga boleh terima keputusan kami ni. Bila dah tahu perangai Azli begitu, baru saya faham perasaan adik saya. Sebelum ni saya dan mak pun tak tahu kenapa Riah tergesa-gesa sangat putuskan pertunangan dia.” Kak Mia memeluk bahuku dan tersenyum kecil.
“Jom dik kita pergi. Mak, jom.” Kak Mia menolak tubuhku dan menarik tangan mak untuk turut serta bangun.
Sempat aku mengerling ke wajah Mak Cik Gee yang mendung kerana sedih. Biarpun ada terdetik rasa simpati, aku harap Mak Cik Gee tidak lagi mencari seseorang untuk anaknya dengan cara begini lagi. Tak baik mempermainkan perasaan orang lain dan memperjudikan kehidupan orang lain di tangan anaknya sedangkan dia sebagai orang tua turut tidak mampu membentuk Abang Azli. Mujur aku terlepas. Mujur sangat.
Di dalam kereta, aku menghantar mesej kepada Azri menyatakan rasa terima kasihku kerana dia menyatakan perkara yang sebenarnya kerana aku tahu tentu susah bagi Azri tersepit dengan kehendak ibu dan sikap abangnya sendiri. Ada ke orang dalam dunia ni yang cuba memburukkan adik-beradik di depan orang lain kalau betul sikap dia baik?
‘Aku pun salah juga, Riah. Kalau aku tak cakap dengan ma aku pasal kau, taklah kau jadi mangsa.’
Aku kerut dahi dalam diam. ‘Kau cakap apa?’
‘Kau baik, kalau adalah orang yang aku nak jadikan isteri, orang tu adalah kau. Tapi bila dia pinang kau untuk abang aku, aku tak boleh nak cakap apa dah. Sorry ya.’
“Seronoklah Riah dah lepas satu beban.” Tegur Kak Mia. Aku termangu seketika.
“Mujurlah Azri cakap pasal perangai Azli tu. Teruk betul Mak Cik Gee, senyap-senyap dia sembunyikan perangai tak betul anak dia. Riah pun bukannya nak cerita dengan mak dan akak.” Rungut Kak Mia. Mak diam seribu bahasa. Aku turut sama enggan mengulas dengan lebih lanjut.
Fikiranku masih lagi terganggu dengan mesej dari Azri tadi.
‘Kenapa kau bagitahu mak kau pasal aku?’
‘Aku suka je kat kau, Riah. Tapi kita memang tak mungkin.’
Aku terkesima. Biar betul Azri ni?
“Apa Riah ni, buat muka pelik-pelik. Salah ke yang mak cakap dari tadi?”
Aku menggeleng kepala. ”Orang lega kak...” Komenku pendek.
“Memang patut pun Riah lega. Mujur belum kahwin lagi dengan budak tu, Riah. Benda ni jadi pengajaran buat kita. Nanti bila nak kahwin, Riah kena kenal sendiri bakal suami takut dapat yang dah ada girlfriend lagi.”
“Hmm..”
Kak Mia memandangku sekilas sebelum meneruskan pemanduannya. Mak di belakang senyap tanpa kata.
“Dah jangan sedih-sedih. Nanti akak carikan hero lain yang lebih kacak, kaya, baik dan beriman. Don’t worry worry.” Usik Kak Mia dengan ketawa kecil.
Aku angguk kecil.
Mata ni tetap membaca mesej Azri berkali-kali cuba mentafsir sejauh mana perasaanku ketika ini.
Kata Azri kami berdua mustahil. Aku tak patut fikir lebih-lebih. Walau hati ni merangka benda yang bukan-bukan kerana sakit hati dengan penipuan keluarga mereka, tapi aku sepatutnya berfikir dengan lebih waras. Aku perlu noktahkan apa-apa saja yang boleh mengaitkan aku dan Abang Azli, waima nak balas dendam sekalipun, Azri bukan kambing hitamnya.

TUJUH jam berlalu dengan cepat. Aku bangun dan menarik tangan ke atas untuk menghilangkan rasa keras di badan. Selepas menyimpan hasil editing sebentar tadi, penat yang melanda bukan main-main rasanya.
“Zaid, ada orang guna printer tak?”
“Tak,”
“Tolong sekejap letak kertas kat dalam tu, ingat nak printer tiga empat bab nak review kat rumah malam ni. Esok tinggal tukar aje.”
“Dah nak siap ke apa?” Soal Zaid seraya bangun dari kerusinya. Dia tahu bila aku dah sampai bawa kerja ke rumah bermakna tak lama lagi manuskrip yang aku tengah edit hampir siap.
“Baru 12 bab.”
“Aik, jauh lagi perjalanan tu.” Komen Zaid hairan.
“Tak lah, aku aim 50% siap dua minggu lagi.”
“Bos nak bila ni terbit?” Soal Zaid. Bila Zaid dah masukkan kertas ke dalam mesin itu, aku tekan printing untuk lima bab.
Kalau malam ni boleh siap lima bab sekaligus pun okey. Aku kena sibukkan diri daripada asyik berfikir pasal tunang tak jadi tu. Walaupun benda nampak kecil tapi sungguh fikiranku terganggu untuk tiga empat hari ini. Adakalanya rasa nak tumbuk-tumbuk saja muka lelaki itu. Untuk apalah dia terima aku sebab ibu dia. Kalau sebab ibu dia sekalipun, dia kena berikan keikhlasan dalam perhubungan yang dibina. Arg, kenapalah aku suka buang masa fikir pasal benda-benda remeh ni.
“Terbitan bulan Jun, yang bulan depan dah hantar dekat Encik Fuad.”
“Patutlah dia orang sayang kat kau, Riah. Rajin buat kerja.” Puji Zaid dengan nada mengusik.
“Aku bukan rajin, Zaid. Aku nak cepat siap, lepas tu cepat rehat.”
“Ada rehat ya kerja kita ni? Lepas siap, mesti ada manuskrip baru yang Encik Fuad minta editkan.” Ucap Zaid separuh bergurau.
“Dah tu lagi sakit kepala kalau lambak sekaligus. Kerja pun jadi tergesa-gesa. Cuba kau bayangkan kalau publisher ni naik nama, kita juga yang dapat faedah. Gaji pun naik, Zaid. Lainlah kau fikir nak kerja sementara aje kat sini.” Ucapku panjang lebar. Telefonku berbunyi sebaik sahaja aku menghabiskan kata-kata. Nama Abang Azli terpampan di kaca skrin. Darahku laju saja meraup ke seluruh wajah.
“Aku cadang nak buat publisher sendiri. Kau nanti kerja under aku ajelah. Jimat duit aku nak beri gaji kat pekerja.”
Aku berdeham kecil. Tangan terus memutuskan talian Abang Azli itu. Tak ada apa lagi yang tertinggal antara kami jadi untuk apa dia telefon sedangkan dulu bukan main payah lagi dia angkat panggilanku.
“Tak ada maknanya.” Balasku kepada Zaid.
“Kau tahu kenapa jimat?”
Aku pandang Zaid yang tengah mengambil dan mengemaskan kertas siap cetakku itu. Dia menyerahkan kepadaku setelah diklipkan.
“Sebab aku buat kerja seperti dua orang?”
“Exactly!” Zaid gelak. Aku ikut senyum.
“Thanks.” Ucapku sebaik sahaja kertas-kertas itu sampai ke tangan. “Nak balik. Dah pukul 5.30.”
“Aku pun nak balik juga.”
“Kau yang tutup semua ni ya.” Pintaku sebelum Zaid lesap dari situ.
“Okey mem.” Balas Zaid bersahaja.
Aku mengambil beg tangan dan beberapa fail nipis di atas meja.
“Bye Zaid.”
“Okey, jalan elok-elok.”
Aku melangkah menuju ke arah pintu kaca bahagian jabatan editor untuk keluar tetapi langkahku jadi kaku sesaat bila terpandang wajah orang yang paling aku tak nak tengok saat ni.
Lambat-lambat aku melangkah keluar.
Bila aku keluar dari pintu kaca, Abang Azli memeluk tubuh dengan senyuman yang langsung tak ikhlas. Pelik kenapa dia senyum sedangkan dia yang curang dengan perhubungan kami ni.
“You ada lelaki lain?” Soal Abang Azli tiba-tiba. Aku toleh kebelakang melihat kelibatan Zaid. Baru aku faham kenapa dia senyum sebaik sahaja kami berhadapan.
“Apa maksud Abang Azli?”
“Ketawa, senyum dengan lelaki lain... Tapi cakap kat mama I yang I ada perempuan lain. Tak betul?”
Aku bengang sebentar mendengar kata-kata tajam Abang Azli.
“Kalau nak cari gaduh tak payahlah kat sini. Abang Azli terpelajar. Takkan benda macam ni pun nak ungkit lagi?” Soalku meluahkan rasa geram.
“Sebab mama I kecewa dengan I, sedangkan yang putuskan semua ni you. You langsung tak rasa bersalah ke hah?”
“Bersalah?” Soalku sinis. Bukankah sepatutnya dia yang rasa bersalah?
Abang Azli memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seraya memandang wajahku lama. Entah apa yang dia hendak baca pada mukaku ini.
“I nak you betulkan keadaan. Jumpa balik dengan mama I, cakap aje yang you memang dah ada buah hati.” Ucap Abang Azli tegas.
Pintu kaca dibuka dan wajah Zaid terjenggul memandang kami hairan.
“Tak balik lagi kau Riah? Siapa?” Soal Zaid memandang aku dan Abang Azli silih berganti. Aku menggeleng tiga kali dan mengisyaratkan supaya dia pergi dahulu.
“Okey ke ni?” Tanya Zaid lagi. Mungkin dia sudah mula merasakan ketegangan antara aku dan lelaki di hadapanku itu.
“10 minit, aku tak keluar kau boleh report polis.” Ucapku separuh bergurau.
Zaid angkat kening dengan riak cuaknya. Tidak lama selepas itu Zaid menghadiahkan aku senyuman sebelum melangkah pergi.
Abang Azli sinis memandang wajahku.
“Bodyguard you ke?”
Abang Azli mendekatiku setapak. Dia seperti marah padaku.
“Macam yang Abang Azli dengar, saya ada beberapa minit aje lagi sebelum dia telefon polis. Ada apa-apa yang Abang Azli nak saya tahu lagi?” Aku menilik jam di pergelangan tangan bersahaja. Lelaki itu nampak bengang dan terus merentap tanganku kasar.
Aku terjerit kecil kerana terkejut dengan tingkahnya yang di luar dugaan. Selepas bergelut sedikit untuk melepaskan tangan akhirnya dia lepaskan juga. Mujurlah Abang Azli cepat melepaskan sebab aku dah mula merangka rancangan nak tumbuk muka dia tadi.
“I nak beritahu you, rancangan kahwin kita akan tetap diteruskan sama ada you suka atau tidak.”
Aku tercebik sesaat. Dia siapa untuk mengarah-arah seperti itu.
“Yang saya tahu hubungan kita dah tamat. Tak ada harapan untuk disambung-sambung lagi dah. Saya, Nur Qariah tak ada rancangan untuk menyambung lagi hubungan tak bermakna ni. Make it clear for  you and your family.”
“You fikir sesenang itu?” Abang Azli mengecilkan matanya dan mendekatiku lagi. Cepat-cepat aku undur langkah kebelakang. Risau ada lagi tingkah tidak terduganya, aku pun bukan kuat sangat untuk menghalang sesuatu dari berlaku. Dibuatnya dia memukul atau membunuh ke sebab bila tengok rupa pun dah tahu dia jenis yang panas baran.
“Tahu takut.” Ucapnya sinikal.
“Bukan takut, tapi benci. Dulu beria tak nak sekarang kenapa sampai ke sini menagih janji. Saya ni, buat pengetahuan Abang Azli, bukannya anak patung atau barang abang. Saya ni ada life sendiri, ada pendirian dan pendapat. Saya bukan girlfriend girlfriend Abang Azli. Langsung tak teringin pun nak jadi koleksi.”
“You are my fiance.”
“Ex-fiance. Daripada dah kahwin terus kena cerai, baik saya yang putuskan sementara saya masih berhak memutuskan.” Aku balas kata-katanya pantas.
Aku nampak dia kertap bibir menahan rasa geram tetapi syukurlah dia masih berfikiran rasional.
“Abang boleh je kahwin dengan girlfriend abang yang banyak-banyak tu.” Sambungku seraya menilik jam di pergelangan tangan.
“5 minutes more.” Ucapku tegas.
“Did you told my parents about it?” Soal Abang Azli kasar.
Aku geleng kepala. “Kalau saya boleh bagi tahu, tentu saya bagitahu. Tapi saya pendam aje sampailah Azri yang buka mulut.”
Abang Azli kepal tangan, aku nampak.
“Abang tak payahlah marah dengan Azri, patutnya abang sendiri sedar dengan kesilapan abang. Jangan salahkan orang lain! ”
“Biar I selesaikan perkara ni dulu, you just prepare yourself because I will be your husband in two months. Definitly.” Ucap Abang Azli dengan suara mengendur.
Aku garu dahi tak faham dengan kata-katanya. “Terpulang pada Abang Azli tapi saya tetap dengan pendirian saya. Takkan terjadi akad bila perempuan tak redha dinikahi.”
“I bukannya jahat sangat, Riah.”
Aku membuat muka. Kalau dah jadi baiklah pun aku memang tak teringin nak jadi isteri dia. Cukuplah kemarahan tu sampai hari ni masih membara. Sebaik sahaja hilang rasa hormatku kepada lelaki itu, apa lagi yang tinggal buat kami. Umurku masih muda, masih banyak peluang untuk ketemu lelaki yang benar-benar berjaya menundukkan walaupun tidak perasaan, tetapi sekurang-kurangnya egoku sebagai perempuan. Lelaki yang akan ku hormati seumur hidup ini.
“Saya pun bukannya baik sangat.” Cepat-cepat aku melangkah pergi selepas melontarkan kata-kata yang terpendam di hati.