CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, August 24, 2017

Curi-Curi Hatinya! Bab 11 & BAB 12

BAB 11

DUA minggu aku hidup dalam kebosanan. Aku elak Adami, dan Adami langsung tak kisahkan aku elak dia. Dia tak tanya pun pasal aku. Dah sah-sah aku merajuk sorang diri sebab tak akan ada sesiapa yang peduli apa yang aku rasa saban hari. Aku sendiri dah rasa diri ini bodoh sebab merajuk pada orang yang tak sudi. Tak tahu sampai bila nak adakan perang dingin bodoh macam ni. Aku marah, aku terluka. Tapi aku juga sedar rasa marah ini tiada guna menetap di hati.

Adami kerap balik pukul 10 malam walaupun sepatutnya hujung minggu dia bercuti. Aku tahu dia balik tetapi aku tidak pernah keluar dari bilik. Dan aku tahu juga dia mana nak jumpa dengan muka aku ni. Dia benci kan?

Walhal waktu mula baru kahwin dulu aku dah janji nak tunggu dia kat depan pintu rumah setiap kali dia balik dari kerja. Alam perkahwinan bagiku seorang isteri akan menunggu suaminya pulang ke rumah dengan senyuman mesra. Tapi nak ke Adami hargai senyuman aku? Nak ke? Aku terpaksa pujuk diri sendiri untuk berlagak kuat dan berpegang teguh untuk hidup bersama Adami walau hakikatnya untuk hidup bersama seorang Adami Hafizi, aku perlu telan segala kepahitan yang dia hadiahkan. Jadi tak berhak ke untuk aku marah bila dia layan aku bagai seorang manusia yang tiada perasaan?

Kadang-kadang aku rasa nak lari dari realiti tapi rasa cinta itu kuat bertaut di hati. Adami pula tak akan dapat menghulurkan rasa cintanya kepadaku. Mungkinkah sebab dia dah ada orang lain di luar sana? Siapa tahu kan? Lagipun Adami sendiri mengaku dia dah ada girlfriend.

Aku tidak pasti sama ada aku mampu menambat hatinya atau tidak sekarang. Hati Adami Hafizi bagaikan keras untuk diriku. Betul kata Adeera, kalau orang yang kita sayang itu menyayangi orang lain, dia tidak akan nampak kasih sayang yang kita ada untuk dia. Aku sedar bukan salah Adami buta menilai cinta aku kalau dia sudah menyayangi orang lain tapi aku takkan berhenti mengharap kasihnya. Susah mana pun aku tetap akan hidup di sisi Adami Hafizi, itu aku janji.

Aku ambil keputusan untuk tunggu dia malam itu, berbincang dari mata ke mata, dari hati ke hati. Tak nak dia anggap aku macam tak ada kat rumah ni sedangkan aku selalu ada kat sini. Menunggu dia yang memulakan langkah mendekatiku kerana aku masih merajuk tapi nampaknya kerja aku ni sia-sia aje sebab dia tak pernah nak pandang aku. Apa-apa hal pun, aku mesti minta maaf pada dia sebab kalau tak sampai bila-bila pun kami akan kekal bermasam muka begini. Dia dengan hidupnya dan aku dengan hidupku sampai bila-bila. Mengenangkan kemungkinan yang bakal berlaku aku jadi nanar dalam diam. Tak dapat kubayangkan hidup aku akhirnya bila perang ini berlarutan sampai bila-bila sedangkan masih banyak impian yang ingin kubina bersama Adami Hafizi.

Aku tunggu dia sambil menonton televisyen  sampai pukul 11 malam dan akhirnya aku kecewa kerana penantianku hanya sia-sia. Aku masuk bilik walaupun mata tak dapat tidur. Tak sanggup nak tunggu dia sampai pagi sebab tiba-tiba aje aku jadi risau dia semakin menyampah bila aku bersungguh-sungguh tunggu dia balik rumah. Karang dia fikir aku ni cuba mengongkong hidup dia pulak. Dia kan tak suka aku...

Ya tuhan, andai dia tercipta untukku, lembutkan hati dia untuk terima diriku ini...


*Tukar tajuk ye.. Curi-Curi Cinta jadi Curi-Curi Hatinya!  


BAB 12

PETANG itu selepas aje solat Asar aku keluar dari bilik untuk memasak. Dia kulihat masih tidur di atas sofa panjang ruang tamu dengan televisyen terpasang. Aku ingat dia tak demam, hanya kepenatan kut... Padan muka, siapa suruh balik tengah malam setiap hari, sempat aku kutuk dia di dalam hati. Aku masak dan selepas itu seperti biasa aku akan ke halaman rumah untuk bersembang dengan Kak Lina. Kak Lina duduk di beranda rumah dengan sengihan. Mengenali dia buat aku rasa tak keseorangan, aku ada kawan, aku ada teman berbual.

“Kak Lina...” tegurku lembut. Kak Lina mendekati aku di tepi pagar.
“Encik Adam tak kerja ke, Risya?” Kak Lina menyoal sambil menarik bibir muncung ke kereta Adami. Aku geleng kepala.

“Dia tidur aje dari tadi. Demam kut. Orang pun tak tahu...” aku balas sambil angkat bahu. Kak Lina senyum sambil garu kepala..
“Jarang dia duduk kat rumah, kan?”
Aku angguk menjawab pertanyaan Kak Lina.

“Menjahit lagi petang ni?” aku cuba ubah topik. Kak Lina geleng kepala.
“Akak nak pergi ke pasar dengan mak long. Tak dapatlah kita teruskan misi.” Kak Lina tersengih.

“Lah... Ya ke?” Aku rasa sedikit kecewa. Baru je ingat nak buang masa dengan Kak Lina tapi dia pergi pasar pula.
“Esok kita sambunglah. Lagi pun kalau Encik Adam sakit Ica pula pergi menjahit, siapa yang nak jaga dia?” Ada nada usikan pada suara Kak Lina. Wajah aku merona merah.

“Ada-ada aje Kak Lina. Dia jagalah diri sendiri, takkan orang pula yang jagakan... Encik Adam tengah tidur tu. Orang pun dah habis masak. Tak ada kerja.” Aku memuncung bibir. Tidak senang hati sebenarnya mendengar usikan Kak Lina. Risau kalau-kalau  Kak Lina mampu menghidu perasaan aku terhadap Adami.

“Okey, akak nak siap dulu. Awak tu jaga diri. Jangan lepas ni awak pulak yang sakit.” Kak Lina lambai dan bagi aku flying kiss. Aku hanya dapat geleng kepala melihat keletah kebudak-budakan Kak Lina.
Langkah kuhayun masuk ke rumah dengan nyanyian kecil bersenandung di bibir.

“Lesbian.”
Aku terkejut melihat Adami berdiri tegak berpeluk tubuh bersandar di pintu rumah. Aku terkebil-kebil tengok muka dia yang tidak terurus dan serabai. Rambutnya ada yang berdiri, ada yang jatuh ke bawah. Dan yang paling aku tak boleh terima dia cap aku cap lesbian.

“Lesbian?”
Aku kerut kening terasa nak campak pasu ke muka Adami. Dia buat lawak dunia ke apa?
“Ye lah, betul, kan? Kalau tak, tak de hari-hari kau nak menempel kat rumah sebelah tu.” nada dia cakap tu betul-betul membuat aku rasa bengang.

Aku ketap bibir tahan geram.
“Abang jealous kan?” soalku menekan. Adami nampak terkesima dengan soalan aku. Wajahnya sedikit merah kutatap lama.

What? " Dia masih mempamerkan riak terkejut. "Buat apa nak jealous kalau kau ada perasaan sesama perempuan? Buat jijik je ada.”
Aku tahan nafas dan tahan sabar. Cakap dengan Adami saat ini seperti menyimbah minyak di hati yang tengah berbara api.

“Abang sedar tak apa yang abang cakap ni?”
Sabar Ica... Sabar... aku pujuk diri sendiri bila teringat Adami tu masih lagi tak berapa sihat. Entah-entah dia bercakap main lepas sebab emosi dia masih belum stabil lagi.

Aku masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan kata-katanya tetapi langkahku terhenti saat tangan Adami mencengkam kepalaku. Tak kuat tetapi mampu membuat langkahku tergam di situ.
“Ica, Ica tak cintakan abang, kan? Ica hanya mahu memiliki abang, kan? Abang dah tau sejak mula tapi abang diamkan aje. Ica nak miliki abang sebab Ica nak lari daripada mak Ica kan? Ica gunakan abang untuk kepentingan diri Ica sendiri.”

“Apa dia?” Aku toleh dan renung wajah dia tajam. Pura-pura tak mendengar kata-katanya walhal dada aku ni sudah bagai dihempas ombak kuat. Suara dia yang hampir-hampir tidak kedengaran tapi aku dapat dengar membuat jiwaku terasa remuk. Menggunakan dia itu apa maksudnya?

Never mind.” Adami jatuhkan tangannya dan berjalan semula menuju ke sofa.
“Abang tak adil nak persoalkan perasaan Ica pada abang. Kalau betul yang abang kata ini, lebih baik Ica larikan diri sekarang sebab Ica sudah memiliki abang sebab...”
Aku tak sengaja mengeluarkan perasaan yang tersimpan jauh dari lubuk hatiku.

“Sebab?” Dia ulang perkataan terakhir aku kerana aku terdiam sepi.
‘Sebab abang layan Ica buruk-buruk.’ Getus aku di dalam hati. Dia pandang aku macam hendak tahu tentang isi hati aku tapi aku tak boleh cakap kalau tak dia mesti lagi marah. Aku larikan pandangan kerana tidak mahu dia membaca apa yang bermain dalam fikiran aku.
“Sebab Ica dah memiliki abang habis sahaja akad nikah itu.”

“Alasan Ica aje kan? Ica memiliki abang, tetapi Ica tak puas selagi tidak memiliki hati abang. You know what? Aku tidak akan jatuh cinta pada orang yang obses dan jatuh gila kalau keinginannya tidak dipenuhi. Menakutkan! Macam kau.” Awal ayatnya dia luahkan penuh emosi namun di akhir ayatnya sinis menyentap urat nadi aku.

“Ica tak obses! Ica hanya sayangkan abang seperti mana yang abang nampak sebelum-sebelum ni. Ica ikhlas pada abang tapi kenapa abang tak habis-habis nak cari gaduh dengan Ica? Apa yang abang nak sebenarnya? Dan apa yang abang cuba nak Ica buat untuk puaskan hati abang!!” Hampir-hampir aku terjerit meluahkan rasa hati yang terpendam lama di setiap nafasku. Kali ini nada suaraku turut diiringi rasa sebal dan rasa benci. Bencikah aku padanya? Sudah terbitkah perasaan benci ku untuknya? Tak... Aku tak mungkin membenci lelaki yang paling aku sayang sehayat ini!
Then, prove it! Buktikan kau dapat hidup tanpa aku!” tempelak Adami sinis.

Bibir digigit kuat. Aku pejamkan mata rapat-rapat, berdoa supaya dikurniakan kesabaran dikala hati sudah menyala-nyala api kemarahan. Buktikan? Perlu ke bukti? Perkahwinan bukan satu permainan yang perlukan bukti dan ternyata aku telah memperjudikan hidupku di tangan lelaki ini, lelaki yang meminta segala bukti yang tak mungkin untuk aku buktikan selagi dia tidak membuka hatinya.

“Tunjukkan aku kau dapat hidup tanpa aku. Tunjukkan aku yang kau tak perlukan aku!” Adami cengkam kedua-dua lenganku sehingga aku terasa sakit.

“Kalau Ica tunjuk yang Ica tak perlukan abang dalam hidup tandanya Ica menipu. Ica tak mahu menipu abang...” suaraku tak bernada, wajahku tak beriak. Beku. Dia ketawa sinis. Gelak dia menyindir dalam diam.

“You really want me right? Hendak memiliki hati aku lebih susah daripada memiliki jasad aku, Ica. Kau tak akan bahagia...”

“Ica tak faham!” aku tekan lagi. Aku keraskan tubuh saat dia menolak tubuhku agak kuat menandakan dia sedang diulit rasa geram.

“Praktikallah cakap dengan orang bodoh, memang dia tak akan faham.” Terbakar rasa hati mendengar cemuhan dia.

“Ica tak bodoh,” balas aku tertahan-tahan. Tawa Adami membingit telinga. Aku tidak faham kenapa dia enggan menerima aku dan aku seratus kali tak faham kenapa dia buat aku macam ni! Aku tolak tubuh dia membalas tolakan dia yang tadi sehingga dia berundur beberapa langkah ke belakang.
“Oh, dah pandai nak melawan ya? Sekarang kau dah berlagak hebat?”

Aku terkelu mendengar sinikal kata-katanya.
“Dari dulu abang tahu Ica siapa... abang kenal Ica bagaimana... Abang faham apa yang ada kat hati Ica tapi kenapa abang buat Ica macam ni?”

Ica fikir abang masih kenal Ica bila Ica dah hancurkan hidup abang sejak akad nikah terlafaz antara kita.

Aku tak mampu menahan rasa sebak yang ada di dada. Pedih, sakit, terasa sangat tidak dihargai... “Kalau perpisahan yang abang nak, beri masa sedikit aje untuk Ica berada di sisi abang sebab lambat-laun kita akan berpisah juga. Ica janji pada abang...”

Entah kenapa ayat yang keluar dari bibir ini seperti membunuh jiwa aku sendiri. Ada air mata yang hendak mengalir namun aku gagal mengalirkan air mata.

“Jadi Ica memang dah rancang perpisahan sebelum ni?” soal Adami tersenyum sinis. Aku rasa cukup sedih saat ini. Dia mungkin merasakan kemenangan dipihaknya dan aku akhirnya kalah bermain dengan api yang kucipta.

Apakah ini pengakhir kisah kami? Tiadakah sedikitpun di hati Adami rasa simpati? Saban hari aku berdoa agar dibukakan hatinya tetapi akhirnya aku kalah dalam perjuangan.  Kolam air mata sudah mula bertakung, bila-bila boleh jatuh sendiri ke pipi.

“Baguslah, aku tunggu saat-saat itu, Ica. You promise me and I will mark your word..”

Aku berteleku menilik lantai marmar di bawah kaki. Ada marah, ada benci, ada sayang, ada sedih, semua bercampur jadi satu
Sehingga hampir tertidur pun aku tidak sudah-sudah mengutuk kebodohanku sendiri. 

Sunday, August 13, 2017

LELAKI DINGIN BAB 6


LELAKI itu menghentikan langkahnya ketika di pintu dapur. Dia menoleh ke arah kami lagi. Mata dia terpancar cahaya dingin. Aku kaku tak berani nak keluar suara sebab takut kena halau. Mana tahu, kan?
"Sorry." Satu ayat terkeluar dari bibirnya.
Dia tersenyum kecil dan senyuman itu membuat hatiku jadi cair.
Sungguhlah kacak sangat senyuman dia. Sweet manis bagaikan madu ditambah gula tebu. Mujur tak ada orang tahu apa yang berlaku dalam hatiku kalau tak mahu gali kubur sendiri malam ni.
"Eh, kenapa minta maaf pula? Ainal Aalif kan?" Kak Mia bertanya buat kali yang kedua. Lelaki itu terus berlalu tanpa sebarang jawapan menuju ke dapur.
Aku pandang Kak Mia hairan. "Agaknya dia dengar akak cakap dia sombong."
Kak Mia pukul bibir dia tiga kali. Menyesallah kut.
"Dia kecik hati ke ek?"
"Entah... Tapi kak kenapa dengan dia?" soalku separuh berbisik. "Pelik!" Aku menyambung dengan muka serius.
"Manalah akak tahu, akak pun tak kenal dia. Rasanya dia lah tu anak Prof Azria. Satu-satunya anak Prof Dr Azria," balas Kak Mia turut berbisik.
"Kesianlah kak."
"Itulah, akak tengok dia pun kasihan. Hidup dia macam tak ada arah je," komen Kak Mia. Pertama kali aku setuju dengan kata-kata Kak Mia sejak kami menjejak kaki ke rumah ni.
Rupanya Kak Mia ikut rasa apa yang aku rasa.
"Mana Kak Mia tahu dia hidup tak berarah?"
"Riah, kalau orang lain tak adanya bereaksi dingin seperti ais. Paling-paling pun menegur kita juga buat apa kat rumah dia atau tanya nama ke.. Tujuan ke. Satu ayat aje keluar dari mulut. Sorry. Apa yang dia sorry tu sebenarnya. Tak faham."
"Jadi akak rasa dia gilalah?" Aku tanya tanpa berfikir panjang. Kak Mia tolak bahuku agak kuat sehingga aku hampir rebah ke sisi sebelah sofa.
"Riah ni suka benar dengan perkataan gila."
Aku kertap bibir memikirkan keadaan diriku di sini. Nak bercakap tak reti, perasaan pun pelik-pelik aje yang menghasut akal. Aku pun tak ada tujuan hidup agaknya sampai sanggup duduk kat rumah ni tanpa apa-apa matlamat. Baik balik saja.
"Tapi handsome kan, Riah. Isy, nasib baik akak dah kahwin."
Aku jeling Kak Mia tanpa sedar.
Lelaki itu muncul lagi sambil memandang ke arah kami dan kali ini dengan senyuman yang agak mesra. Di belakangnya Datin Azria berjalan tenang dengan menatang air di dalam teko dengan kuih-muih.
"Ni anak lelaki saya, Ainal Aalif. Panggil aje Nal. Pendiam sikit orangnya tapi lama-lama nanti kalau dah kenal okey aje," ujar Datin Azria menyedapkan perasaan kami.
Aku pandang lagi Ainal Aalif dan kali ini lebih cermat. Kepala dia tak ada rambut sangat, dipotong sangat pendek menampakkan kulit kepala. Wajahnya agak sugul walaupun ada senyuman tersungging lemah di hujung bibir.
"Nal, ini kawan-kawan ummi. Sarmiah dan Qariah... Adik beradik." Datin Azria memperkenalkan kami kepada anaknya, lembut.
Aku dapat rasakan kasih-sayang yang terpancar pada seraut wajah ibu milik Datin Azria untuk lelaki itu.
Rasa syahdu pula sebab aku tahu serba sedikit cerita mengenai lelaki itu. Kasihan Ainal Aalif. Lagi kasihan dekat Datin Azria yang menanggung perasaan melihat anaknya sedang berada dalam keadaan yang tak stabil begini. Dulu pasti lelaki ini bukan begini. Pasti dia seorang yang ceria dan positif. 
"Panggil aje Kak Mia. Ini adik akak panggil aje Riah. Single lagi," ujar Kak Mia tanpa segan silu. Aku memicingkan mata terkejut dengan pernyataan Kak Mia. Takut kalau-kalau kewujudan aku di sini disalahertikan oleh Ainal Aalif dan Datin Azria. Aku tak bawa maksud apa-apa dan aku tak suka dengan gurauan Kak Mia yang agak tak bertempat. Malulah kat Datin Azria dan si Ainal!
Datin Azria ketawa seraya melangkah mendekati kami.
"Minumlah Sarmiah... Riah."
Cepat-cepat aku membantu Datin Azria meletakkan pinggan dengan kuih-muih di atas meja ruang tamu.
"Tak apa, prof. Saya tuangkan airnya." Kak Mia menghalang Datin Azria dari menuangkan air ke dalam gelas.
Ainal Aalif pula masih berdiri di sisi ibunya seolah-olah menunggu arahan dari Datin Azria. Aku mencuri pandang sebentar dan sedikit terkedu apabila mata kami bertentangan buat beberapa detik.
"Nal nak duduk?"
Lelaki itu menggeleng membalas pertanyaan ibunya.
"Kalau tak nak duduk di sini, duduk dalam bilik bacaan. Jangan naik atas lagi, ya?"
Ainal mengangguk kecil menurut kata-kata ibunya. Alah, sayang nampak gagah perkasa tapi anak mak. Dia menurut aje cakap mak dia tanpa banyak soal. Lelaki itu menghilang diri di bilik bersebelahan dengan tangga yang pastinya bilik bacaan milik keluarga itu. Amboi, bilik bacaan! Rumah papan kami tu, aku bekerja dalam bilik tidur aje kut.
"Dia memang macam tu, tak mesra sangat dengan orang yang baru dia jumpa. Tapi dia bagus hari ni."
"Lama dia macam tu prof?" soal Kak Mia prihatin dan ingin tahu.
Air muka Datin Azria sedikit keruh. "Dah okey sikit tu Sarmiah. Dulu dia jumpa orang pun dah terjerit-jerit. Entah kenapa dia tiba-tiba diam saja hari ni."
Aku pandang muka Datin Azria dengan tanda tanya. Boleh menjerit ke mamat tu? Rileks saja aku tengok.
"Elok sikit mood dia," komen Datin Azria dengan senyuman manis. Nak tanya sebenarnya apa jadi dekat Ainal tapi memandangkan soalan sebegitu boleh menimbulkan perasaan tidak enak, aku telan aje dalam hati sendiri. Nanti-nanti tahulah.
"Minumlah Riah. Air tak seberapa ni aje yang aunty sediakan."
Aik? Aku tunduk sebentar. Dia bahasakan dirinya aunty. Aku jadi keliru untuk memanggil wanita itu sama ada aunty, prof, doktor, atau datin. Banyak sangat pangkat dia.
"Sedap aunty." Aku puji selepas memakan kuih yang dihidangkan. Wanita itu tersenyum senang. 
"Nasib baik sedap, first time juga buat kuih ni, Riah."
"Prof, saya ada bawa bahan saya untuk prof semak..."
"Ke sini pun bawa bahan juga Sarmiah. Kerja keras betul awak ni ya." Ketawa. Aku pun ikut gelak juga biarpun benda tak lawak mana.
Memang niat Kak Mia ke sini untuk konsultasi pun kan.
"Maaf prof mengganggu hujung minggu ni."
"Tak apa, saya tengah free juga."
Bila mana Kak Mia buka laptop dia, aku terus jammed tak tahu nak buat apa. Selama 10 minit tercegat mendengar perbualan ilmiah Kak Mia dan Datin Azria mengenai analisis data, nak guna SPSS untuk analisis dengan anova dan korelasi entah apa benda.
"Qariah boleh tolong sekejap tengok-tengokkan Ainal tengah buat apa?"
"Hmm?" Aku terkebil-kebil tanpa perasaan. Boleh ke aku pergi tengok lelaki itu? Kang mengamuk menjerit, aku juga yang kalut nanti.
"Risau pula aunty dia seorang saja kat dalam bilik tu."
"Oh... Okey." Aku setuju aje. Hendak menolak tetapi kata-kata Datin Azria berbunyi seperti arahan. Tapi nak pergi ke bilik itu seolah-olah kakiku dirantai dengan berat batu 10 kg.
Nak pergi ke tak Riah?
Pergi ke tak?
Tapi kalau tak pergi rugilah. Bila dapat jumpa lelaki kacak macam artis lagi, kan? Kacak dari Fattah Amin kut.

Lambat-lambat aku memasuki bilik bacaan keluarga mewah ini dengan hati yang berbelah bahagi. Riah biar betul ni? Getus hatiku sebaik sahaja aku mengetuk pintu bilik bacaan yang sedikit terbuka. Bila aku tolak pintu bilik bacaan, mata Ainal Aalif memandang ke arahku dengan penuh minat.
"Maaf mengganggu," ucapku perlahan. Dia masih diam tanpa bicara.
"Boleh masuk ke ni?" tanyaku sedikit canggung.
Bila dia langsung tidak bereaksi, aku berkira-kira untuk membatalkan niatku memasuki bilik itu. Mana tahu dia tidak selesa dengan kehadiranku. Lama aku memandang ke arahnya yang sedang membaca buku tebal duduk santai di kerusi sofa. Dia langsung tak angkat muka menghayati buku setebal novel Siti Rosmizah. Ulat buku pula dia ni kan? Untunglah siapa dapat pakwe kacak lagi suka membaca begini. Classy pula cara dia membaca ditemani dengan kopi panas di atas meja dan lukisan besar tergantung kat dinding belakang dia. Macam pernah aje aku tengok scene di dalam cerita Korea.
Bila dia diam macam tu, aku dengan tak tahu malunya menapak masuk ke bilik bacaan tu. Ala tegur-tegur ringan aje kut tak kan dia nak marah pula kan...
"Awak baca apa tu?" Aku mengambil tempat duduk di hadapannya.
Dia memandang ke arahku dengan senyuman. Terasa hangat darah mengalir ke seluruh badan.
Dia senyum Riah. Dia senyum lagi!
Aku dah mula kecoh dalam hati.
"Saya Riah." Aku memperkenalkan diri mana tahu dia dah lupa dengan namaku walaupun ibunya telah memperkenalkan ku tadi.
"Riah?" sebutnya tiba-tiba. Dan tiba-tiba rasa seronok menyelinap dalam hatiku.
"Hmm... Nama awak Ainal?"
Dia angguk kepala lambat-lambat. Aku fikir mungkin dia kurang selesa atau rasa tidak selamat sebab anak mata dia dah mula bergerak-gerak.
"Jangan risau, saya tak jahat," ucapku cuba menenangkan dirinya. Aku tak faham kenapa aku pujuk dia cara memujuk budak kecil. Ainal ni tua. Badan dia kalau dibandingkan denganku dua kali lebih besar dan tinggi.
Dia kembali rileks dan bahunya nampak lebih bidang. Aku senyum menahan lucu dalam hati.
"Hmmm, boleh kita jadi kawan?"
Dia seolah-olah tak nak. Aku hela nafas dalam.
"It's okay, take your time. Saya duduk diam-diam kat sini." Aku cakap dengan nada yang rendah.
Lebih baik aku duduk di sini dengan lelaki yang pasif daripada duduk di ruang tamu mendengar celoteh ilmiah Kak Mia dengan pensyarahnya. Aku seluk poket mencari telefon bimbit dan membuka aplikasi candy crush. Jarang-jarang layan game begini kecuali masa betul-betul dah bosan tahap gaban.
"Riah.."
Aku angkat muka bila dia panggil. Matanya masih setia menatap ke arahku seakan-akan menunggu kata-kata dari bibirku. Aku mengangkat kening bertanya mengapa kemudian kembali bermain dengan aplikasi game dalam telefon pintar.
Diam kembali.
Lebih 30 minit bermain aku jadi naik geram kerana tidak berjaya melepasi tahap permainan itu. Aku mengeluh sambil meletakkan telefon ke sisi. Tanpa rasa malu aku mula bangun dan mengeliat kecil.
"Boleh ke saya baca buku-buku di sini?" tanyaku kepadanya.
Ainal Aalif memandang kembali ke arahku. "Hmmm.." Dia menggumam tanda memberi kebenaran.
Nak kata tak ada mulut, ada je tu. Tapi malas sungguh dia nak balas kata-kataku dengan ayat penuh.
Tidak membuang masa, aku membelek satu persatu buku di rak buku. Kebanyakan tentang kehidupan sebagai usahawan berjaya, buku agama, penjagaan dan perkembangan kanak-kanak dan lain-lain lagi.
Rasanya buku mak dia kut sebab banyak yang ilmiah ni. Buku-buku jurnal dan prosiding pun berlambak.
Dia memandangku dengan penuh minat, begitupun aku buat-buat tak tahu aje. Lama aku di sisi rak buku tanpa mempedulikan kewujudan lelaki itu. Buku bertajuk Pengolahan Manuskrip Bijak yang kutemui di rak tersebut membuatkan aku jadi teruja membacanya sampai tak sedar hampir sejam lebih berada dalam bilik tu. Maklumlah, terjumpa buku dalam bidang...
Mendengar ketukan di pintu barulah aku tersedar ke alam realiti semula.
"Apa Riah buat berdiri kat situ?" soal Kak Mia memandang aku dan Ainal Aalif silih berganti.
"Hmm? Baca buku ni?" Aku menunjuk buku di tangan.
Sekilas aku memandang ke arah Ainal Aalif yang baru aje mengubah tempat duduknya. Di tangan dia ada surat khabar.
"Nak lepak lagi kat sini ke nak balik?"
Cepat-cepat aku meletakkan semula buku itu di tempatnya. Tak perlulah aku menjawab pertanyaan Kak Mia. Memang dah tak sabar nak balik dah ni. Rindu kat rumah sendiri. Kalau kat rumah ni dah sedap tergolek atas tilam sambil baca emel.
"Ainal.." Datin Azria muncul di belakang Kak Mia dan Kak Mia pula segera bergerak ke tepi.
"Nak makan?" sambung Datin Azria lembut.

"Belum nak lagi," balas Ainal Aalif tenang. Wajah Datin Azria berubah serta-merta. Tak dapat dibaca sama ada dia gembira atau sedih. Aku mengambil telefon bimbit di sisi Ainal Aalif dan mendekati Kak Mia.
"Dia selesa tu dengan Riah," ujar Datin Azria kepadaku samil tersenyum kecil.
"Oh?" Aku mengangkat kening seraya memandang ke arah lelaki itu. Dia tetap juga begitu tidak mengendahkan kami semua dan khusyuk dengan bacaannya. Aku menghadiahkan senyuman kepada Datin Azria. "Baguslah kalau macam tu.." balasku. Sebenarnya aku tak faham dengan kata-kata Datin Azria langsung. Di mataku lelaki itu tampak normal cuma mungkin suka menyendiri. Tetapi reaksi Datin Azria pula seolah-olah perkara itu besar di matanya. Aku tersengih kecil tanpa sedar. 
"Lain kali Riah datanglah lagi. Aunty betul-betul mengharap Riah datang lagi," ujar Datin Azria memegang kedua-dua tanganku.
"InsyaAllah aunty," balasku serba-salah. Tidak mahu memberikan wanita separuh abad itu harapan tetapi tidak juga berani mengecewakan kehendaknya. Macam datin ni anggap aku dah berkawan dengan Ainal aje gayanya.
"Balik dulu prof. Terima kasih banyak-banyak membantu saya dalam proposal ni. Kalau tak entah macam mana saya nak buat laporan."
"Awak student terbaik saya, Sarmiah. Saya seronok dapat membantu awak. Dan terima kasih juga membawa Riah ke sini. Untuk Nal."
Untuk Nal?
Apa pula? Aku pandang wajah Kak Mia lurus. Kak Mia tersengih sahaja menarik tanganku untuk keluar dari bilik bacaan tapi aku tetap berdiri tegak di tepi Datin Azria.
"Maksud aunty apa? Untuk Nal..." Aku memandang ke arah Datin Azria meminta penjelasan.
"Terima kasih kerana membuat anak aunty tenang dan berkawan. Aunty cukup menghargai Riah, tak ada orang yang buat Nal nampak rileks dalam tempoh dan jangka masa yang lama, Riah," puji Datin Azria. Setiap kerdipan matanya menandakan dia sangat bersyukur dengan kehadiranku ke sini dan aku pula mula merasakan tidak selesa dengan harapan Datin Azria yang hampir berbunga.
"Tapi saya tak buat apa-apa pun. Duduk baca buku saja."
Datin Azria menghulurkan senyuman sambil menggenggam tanganku dengan lebih rapat.
"Nanti datanglah lagi... Temankan Nal. Mana tahu Riah boleh buat Ainal jadi normal balik."
Kata-kata terakhir Datin Azria untukku membuat mindaku berfikir panjang. Adakah dia benar-benar mencari teman untuk anaknya atau mencari penjaga buat lelaki itu kerana dia selalu tak tenang dan suka menjerit? Tapi Ainal Aalif tak nampak seperti yang digambarkan oleh Kak Mia dan Datin Azria pun. Dia rileks, normal dan lagaknya tidak jauh berbeza dengan kebanyakan lelaki. Ya mungkin dia lebih serius dan tidak suka bergaul tapi perlu ke aku jadi pakar psikologi dia? 

LELAKI DINGIN BAB 5


KAK Mia seperti yang dijanjikan datang dengan Proton Saga berwarna merahnya di depan rumah dengan senyuman lebar. Dengan blaus berbunga putih berlatarkan warna maroon membuatnya tampak lebih anggun. Tudungnya lebih bergaya dari biasa juga menaikkan seri Kak Mia. Sebaik sahaja dia masuk ke rumah, matanya menyoroti diriku dari atas ke bawah. 
"Ini aje?" tegur Kak Mia tanpa berfikir panjang. Aku terkebil-kebil beberapa ketika dan memandang penampilanku sendiri. 
"Akak ke Riah ni yang nak jumpa bakal mentua? Takkanlah slack dengan t-shirt aje, Riah?" Bising mulut Kak Mia memberi komen dengan penampilanku ini. 
Aku mencemik. "Orang tak naklah lebih-lebih. Pembetulan bukan jumpa bakal mentua betul tapi nak temankan akak jumpa pensyarah kesayangan."
"Amboi, menjawab... Menjawab!" Kak Mia merungut sambil bercekak pinggang. Masih tidak berpus hati dengan pembawaanku pada hari ini yang lebih lemau dari hari biasa. 
"Itulah Mia, macam orang nak pergi jogging aje mak tengok. Dia kerja hari-hari tu tak adalah mak tengok dia pakai baju gini." Mak ikut memberi komen negatif tetapi aku kisah apa kerana lebih selesa dengan pakaian seperti ini.
"Mak tak suruh dia tukar baju ka?" Kak Mia tepuk dahi. 
Mak buat muka sambil mengangkat bahu. Nampak comel pula mak buat begitu. 
"Degil mana dengar cakap. Segan sangatlah tu berjumpa keluarga mentua sampaikan tak boleh melawa sikit." 
"Mak! Mana ada mentua. Kan orang dah cakap..." Aku leretkan suara. 
"Dah jom gerak. Karang mak mentua Riah tertunggu-tunggu pula kat rumah dengan bakal suami," ucap Kak Mia pamer muka 10 sen. Aku kerutkan dahi. 
"Kang betul kang jadi, janganlah doa macam tu..." 
"Amin!" jawab Kak Mia dan mak serentak. 
Aku menahan rasa sebu di hati. Ini yang tak sedap bila mak dan Kak Mia mula bersatu. Dah habis aje kisah seorang tu, mak dan Kak Mia kembali rajin menggiat aku dengan mana-mana lelaki di dunia ni seperti dahulu sewaktu aku masih belum bertunang dengan orang tu. Kalau dah begini hari-hari mahu aku kahwin juga tahun ini. Tak larat dah sebenarnya! 
"Jodoh tu Riah kadang-kadang datang tanpa kita sedar. Jalan ceritanya ibarat yang kita tak jangka-jangka. Di masa yang kita tak duga. Macam Kak Mia dengan Abang Hafni, kan mak?" 
Mak hanya ketawa membalas kata-kata Kak Mia. 
"Jalan dulu mak." Aku mendekati mak dan menyalami tangan mak dengan penuh kasih. Mak tepuk bahuku lembut. 
"Mia pun mak. Jalan dulu..." Kak Mia bercakap dari jauh, agaknya malas nak buka kasut tingginya tu. 
"Elok-elok memandu tu Mia. Jangan lewat sangat bawa Riah balik."
"InsyaALLAH mak, nak bawa Riah pergi shopping sekejap hari ni," balas Kak Mia sambil menghantar flying kiss kepada mak. Mak hanya mampu menggeleng kepala dengan tindakan kurang matang Kak Mia. 
"Riah.." tegur Kak Mia tiba-tiba sewaktu aku mengenakan kasut di kaki kiri. Aku mengangkat muka sedikit. 
"Jangan pakai sneaker la. Pakai kasut akak dalam kereta tu."
Aku pandang Kak Mia tanpa beriak. 
"Tak lawa Riah pakai sneaker tu tau. Ingat budak umur 17 tahun ke?" 
"Akak ni, semua yang orang pakai tak pernah betul," ucapku agak kecewa. 
"Kalau Riah pakai cun tak apa juga. Riah pakai sneaker yang dah lama tak cuci ke apa? Cuba Riah tengok dari atas sampai bawah, sesuai tak untuk melawat ke rumah orang? Lagi baiklah Riah pakai baju kurung aje. Takkan akak nak tunjuk Riah selekeh kat rumah pensyarah akak?" 
Aku mengeluh kecil. 
"Pakai kasut akak dalam kereta tu." 
"Okey.. Okey..." balasku mengalah walaupun berat. Aku tak faham apa salah sneaker aku ni terpaksa kena tukar kasut tinggi Kak Mia untuk melawa. Tak lawa ke pakai sneaker?
Aku pandang kasut kat kaki empat lima kali. 
Lawa aje...
❄❄❄❄❄❄❄❄❄

"BESAR juga rumah dia orang.."
"Tak hairanlah, Riah. Seorang profesor, seorang lagi tentera berpencen. Bekas mejar jeneral TUDM dengar ceritanya tapi akak tak pastilah." terang Kak Mia kepadaku. 
"Apa benda tu mejar jeneral?" soalku penuh tanda tanya. 
"Manalah akak tahu, suami akak kerja buat buku dan akak pula penganggur. Mana ada ilmu pasal askar pun Riah oi." Kak Mia keluar dari kereta setelah memastikan parkir nya tepat. 
Tiba-tiba saja aku diburu debaran. Hairan. Sepatutnya aku buat bersahaja kerana aku hanya menemankan Kak Mia ke sini. 
"Jomlah buat apa Riah tercenguk kat situ." Kak Mia buka pintu kereta untuk aku dan menarik tanganku keluar dari keretanya. 
"Kak Mia..." Aku mengeluh tidak sedap hati. 
"Apa lagi?"
"Riah tunggu dalam kereta sajalah ya?" 
Kak Mia tolak dahiku dengan jari telunjuknya. "Geramlah Riah ni. Tadi setuju sekarang dah lain pula. Kalau setakat duduk dalam kereta baik akak pergi seorang saja tadi. Tak payah ambil Riah." 
Aku bersungut kecil. Mahu tak mahu terpaksa juga aku melawan rasa gementarku memasuki rumah besar milik pakcik tentera ini. 
"Jom!" Kak Mia tarik tanganku tanpa belas kasihan. 
Di hadapan rumah pensyarah Kak Mia terdapat kerusi panjang kayu jati dengan kolam ikan kecil di hadapannya. Nampak tenang sahaja dan berkemungkinan orang rumah ini lebih suka hiasan yang mudah dan kemas. 
Tidak lama selepas Kak Mia membunyikan lonceng rumah, pintu terbuka luas untuk kami. Seorang wanita separuh abad muncul dengan senyuman lebarnya. 
"Datang pun Sarmiah.." tegur wanita itu ramah. 
"Prof, assalamualaikum. Maaf lambat sikit, saya keliru dengan kawasan perumahan prof ni."
"Waalaikumsalam warahmatullah... Alah lambat sikit tak apa. Saya pun baru habis memasak tadi. Ini siapa?"
Keningku spontan bertaut. Kak Mia tak beritahu ke dia bawa teman untuk melawat bersama?
"Adik saya prof." Kak Mia tersengih tak kurang tak lebih dengan kerang busuk. 
Sahlah Kak Mia tak maklumkan lebih awal kat profesor dia yang Kak Mia bawa aku sekali datang ke rumah mereka. 
Tak tahu apa yang patut aku rasa sebenarnya. Sakit hati atau geram atau kekok. Semua sekali bercatu dalam fikiran dan jiwaku. Kak Mia sepatutnya kasi tahu awal pasal aku kat profesor dia. Taklah aku jadi orang lidi kat sini mengganggu privasi.
Pensyarah Kak Mia pandang aku dengan renungan senang. Mujurlah. Ke aku tersilap tafsir sebenarnya. 
"Cantik adik Sarmiah. Marilah masuk dulu, seronok pula ada tetamu yang datang," ujar pensyarah Kak Mia mesra. Dia memegang tanganku tanpa ragu membuat diriku dijentik rasa pelik.
Tapi mujurlah pensyarah Kak Mia ni nampak sporting. Lega sikit aku. 
"Siapa nama awak?" soal pensyarah Kak Mia memandang wajahku.
Aku terkaku sebentar dengan pandangan dan soalan yang terkeluar dari bibir wanita anggun itu. 
"Riah.. Nur Qariah."
"Oh... Sedapnya nama! Umur berapa ni?"
Wah aunty ni dari tadi duk bodek-bodek aku. Nak balas senyuman dia pun bagaikan plastik. 
"28... Aunty?"
Kak Mia pandang aku spontan. Aku blurr tak tahu nak kata apa menyedari bibirku agak tidak bertanggungjawab dengan keadaan tuannya. Pensyarah Kak Mia pula ketawa kecil melihat telatah kami berdua. 
"Jemput duduk dululah ya."
Aku serba salah duduk. Kak Mia pula sibuk nak menyenggol lenganku dengan sikunya. 
"Nama saya Azria. Boleh je panggil aunty, tak ada masalah. Umur pula baru 50 tahun."
Wajahku jadi pucat tidak berdarah. Malu ada, segan ya juga. Entah kenapalah aku boleh terfikir nak panggil makcik ni aunty walhal dia pensyarah Kak Mia. 
"Lebih kurang aje nama kita ya, Riah?" Aunty Azria mesra. Aunty Azria? Aku nak senyum pun tak boleh. Sangat pelik kut sebab nama aku pun Ria Ria juga ni
"Rasa lebih dekat pula. Sekejap ya... Saya nak ke dapur sekejap, hidangkan air untuk kamu berdua."
Cara Aunty Azria bercakap memang berwibawa. Tak hairanlah dia berpangkat profesor dan tidak hairanlah dia isteri kepada orang yang berpangkat tentera.
"Tak perlu susah-susah, prof. Kami tak nak menyusahkan pula..."
"Tak adalah menyusahkan. Buat biasa aje ya, Sarmiah dan Riah. Anggap rumah sendiri, jangan segan-segan pula."
Aku dan Kak Mia mengangguk serentak membalas senyuman Aunty Azria mesra. 
Hilang sahaja kelibatan Aunty Azria, Kak Mia mencubit belakang tapak tanganku laju. 
"Aunty? Banyak cantik Riah? Dia tu pangkat datin la makcik oi. Riah tu yang pangkat makcik, adakah patut panggil Prof Dr Azria aunty. Sikit lagi akak sakit jantung tahu!" Sergah Kak Mia menepuk dahi dengan memejam matanya rapat. Aku sengih saja kerana turut merasakan ketidakwajaran sikapku tadi.
"Jadi nak panggil apa? Datin ke kak?"
"Panggil aje prof." Kak Mia membentak dalam diam.
"Prof apa benda? Bukannya orang study under dia." Aku julingkan sedikit mata tanda tidak bersetuju dengan kata-kata Kak Mia. 
"Panggil ajelah datin kalau dah tak nak panggil prof. Aku ketuk juga kepala nanti," rungut Kak Mia bersungguh-sungguh.
"Sorry kak.." ucapku ikhlas. Dibuatnya aku memberi kesan ke atas hubungan Kak Mia dengan profesornya nanti aku juga yang dikejar bersalah akhirnya. 
"Hmmm."
Aku dan Kak Mia berpandangan sebentar mendengar bunyi ganjil dari atas. Serentak itu pandangan mata kami bertebar ke atas rumah mencari punca bunyi yang tidak dikenali. Apabila saja terpandang sepasang kaki melangkah lambat-lambat ke bawah, cepat-cepat aku tegakkan badan menanti penuh debaran. Tentera berpencenkah itu? Aku tak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan orang lain yang ada di rumah ini setelah gagal menambat hati datin pensyarah Kak Mia tadi. Entah apa yang patut aku gelarkan pensyarah Kak Mia, rumit! Dengan sifat semula jadiku yang kurang mesra dan tidak tahu bergaul dengan orang yang lebih tua menyebabkan perasaanku bertambah berat setiap kali kaki itu melangkah setapak demi setapak menuju ke bawah. 
Kak Mia menyiku diriku dan mengisyaratkan agar aku tidak nampak terlalu tension.
"Riah rileks la," bisik Kak Mia sambil menarikku untuk bersandar. 
Jauh dari jangkaanku, seorang lelaki muda memandang ke arah kami berdua setelah dia menampakkan seluruh tubuhnya. Penampilan lelaki itu ringkas bersahaja dengan renungan redup seolah-olah menceritakan satu kesakitan dan kesedihan yang tak mampu untuk aku ketahui. Kenapa lelaki itu nampak begitu gerhana? Langsung tiada aura bersemangat kecuali air mukanya yang tampak tenang dan senyap. 
Aku dan Kak Mia sama-sama memakukan diri.
Tidak mengendahkan kami, lelaki itu tetap berjalan ke menuju ruang tamu ini. 
"Ainal Aalif ke ni?" tegur Kak Mia. Dia pandang Kak Mia beberapa detik dan aku merasakan seolah-olah masa terhenti buat sementara. Redup dan misteri memancar di matanya. Nafas ku tahan buat seketika bila matanya beralih ke arahku. Gentar terasa dicelah jiwa. 
Hairan. 
Kenapa dengan aku? Tak pernah-pernah pula ada perasaan misteri macam ni. Pelik sangat rasanya bila pandang kat dia ni. Macam ada sesuatu yang mengganggu hati tapi tak tahu apa.
Mataku terus-terusan memandang ke arah lelaki itu. Dia macam kosong aje. 
Dup dap... Aku dapat mendengar degupan jantung sendiri. Mataku masih lagi ke arah lelaki itu walaupun dia kembali meneruskan langkahnya tanpa menjawab soalan Kak Mia. 
"Wah, sombongnya.." getus Kak Mia menggaru dahi.
"Sombong?"
"Ha'ah. Tegur kita pun berat mulut," bisik Kak Mia tak puas hati.
Kenapa dengan dia? 
Persoalan demi persoalan singgah di kepala.
Dadaku terus berdegup halus. Aku terkebil-kebil lama di situ dalam keadaan kalut dan keliru.

Apa yang aku rasa sebenarnya?
Wah, tolong jangan cakap jatuh cinta pandang pertama pada si botak tu, Qariah!
Pantang nampak pakwe handsome lah kau nak jatuh cinta segala... Rasa nak tampar-tampar pipi sendiri untuk kembali ke alam realiti. 

🤗 TKASIH SUDI MEMBACA.. 😍