BAB 1
KAWASAN rumah dua tingkat itu penuh warna-warni.
Agaknya kalau aku kahwin nanti rumah aku pun nak jadi macam tu jugak.
Wajah pengantin perempuan kuperhati lama dengan penuh minat. Nampak tenang aje
senyum memanjang di samping solekan yang ringan. Bahagia kut dapat kahwin
dengan lelaki impian dia… Agaknya aku pun senyum begitu juga masa hari
perkahwinan nanti tapi aku tak tahulah muka aku dapat tenang macam pengantin
perempuan tu ke tak sebab aku ni darah gemuruh orangnya.
Ma dan ayah tak tahu pergi mana dah. Sibuk
berbual dengan sanak saudara dan rakan-rakan dia orang yang lain lagipun majlis
kahwin ni bukan majlis orang lain pun, majlis dua pupu aku kahwin.
“Baju nikah pengantin perempuan superb.
Memang cantik habis!” suara-suara berbisik buat aku tersengih tak cukup gusi.
Aku pandang ke arah tempat mempelai berdua yang
tengah bersantap dengan penuh beradat di ruang tamu. Baju nikah tu sesuai
dengan wajah pengantin perempuan yang sangat-sangat cantik, sopan dan menutup
aurat. Baju tu jugak dia orang tempah dari butik ma, tempat aku bekerja
sekarang ni. Bangga la jugak sebab aku yang bertanggungjawab pilih baju
tu untuk pengantin perempuan..
Pengantin lelaki tu pulak dua pupu aku.
Sangat-sangat tampan dan aku dengar dia bakal mewarisi aset ayah dia. Tapi
kalau aku kahwin nanti aku tak lah nak mimpi orang kaya meminang tapi kalau
boleh nak handsome lagi daripada Syakirul Hafiz tu.
“Sengih-sengih sorang apesal?” soalan tu buat
aku hampir terbatuk. Aku toleh spontan dan nampak cik gadis manis tengah
tersenyum lebar terus mengambil tempat duduk di sebelah aku.
“Mesti kau menyesal gila tak ngayat abang aku
dulu, kan? Kalau tak dah selamat kau orang kahwin sekarang ni!” ucap Tija tak
teragak-agak. Pecah tawaku mendengar usikan Tija. Tidak pernah terlintas di
kepala yang aku bakal menyesal kerana terlepas seorang lagi pemuda yang cukup
serba-serbi yang bergelar abang sepupu. Ada-ada aje Tija ni.
“Agaklah… Aku mana sesuai dengan abang kau tu.
Kakak ipar kau pun okey apa. Ayu aje aku tengok. Pakai tudung dan sopan
santun.” Aku puji pengantin perempuan tu bukan takat nak bodek Tija tapi
betul-betul ikhlas dari hati.
“Kau bila nak kahwin? Umur dah naik 25 dah…”
Tija bertanya. Akupun terus angkat bahu sebab rasanya soalan dia tu soalan yang
maha susah nak jawab. Siapalah yang nakkan aku ni…
“Kau pun dah naik 25 takkan dah lupa? Bila kau
nak kahwin dengan Wan Adree?”
Tija sengih aje bila aku ungkit nama pakwe dia
tu. “Tak lama lagi. Sekurang-kurangnya aku ada calon, tapi kau ni risau la
pulak menyingle dari dulu.”
Aku gelak sebab tak pernah dengar perkataan
menyingle tu. Entah dari mana budak ni tiba-tiba aje buat perkataan tak de
masuk kamus dewan, aci redah aje dia.
“Kau punya calon the best bachelor of asia,
aku terpaksa cari yang antarabangsa punya…” aku jawab selamba sambil pandang
lagi ke depan. Susah sangat mata ni dari tak curi pandang ke wajah pengantin
perempuan tu. Manis aje…
Tija tolak bahu aku pelan sambil tarik muka.
“Kau ni seriuslah. Risau aku tau pasal kau tak reti nak cari boyfriend.”
Aku tercengang dengar apa yang Tija cakap. Tak
sangka dia pun fikir benda yang sama dengan aku sebab selama ni pun aku risau
benda yang sama, kenapalah aku tak reti nak mengayat atau tersangkut dengan
mana-mana lelaki sedangkan umur aku dah capai 25 tahun. Ma kata jodoh aku belum
sampai lagi… Nak ke percaya cakap ma tu? Kalau nanti sampai tua aku tak kahwin
macam mana?
“Kau cantiklah Rian, carilah pakwe sorang.”
Tija ambil buah yang ada kat pinggan aku. Cepat-cepat aku tolak bahu dia pula.
“Ambiklah sendiri kalau nak makan,” aku buat
suara pura-pura marah. Dia gelak aje.
“Rian, Adree kata dia ada sorang lagi hero solo
kat rumah dia. Adif namanya. Kau nak berkenalan tak?” soal Tija tanpa
berselindung. Berona merah wajahku bila dia tenung muka aku tepat-tepat.
“Tak naklah! Kau jangan buat benda pelik-pelik
sudah. Kau tu bila nak kerja? Baru balik dari oversea takkan terus tanam anggur
kut?” Risau jugak kut-kut Tija buat plan gila kenenkan aku dengan adik kekasih
dia karang tak pasal-pasal lelaki tu tak suka aku, mana aku nak taruh muka aku
lepas tu?
Sambil-sambil tu aku telan juga buah yang masih
bersisa kat atas pinggan. Bila aku toleh ke wajah Tija tiba-tiba aje mataku
bertembung dengan mata seorang lelaki. Cina kut? Tengok gaya macam pemuda Cina
aje mungkin kawan Syakirul Hafiz. Tapi apasal dia pandang ke arah aku pulak? Aku
terasa nak raba muka bila dia pandang wajah aku tajam-tajam.
“Tija, kau tengok muka aku ada apa-apa ke tak?”
aku tanya kat Tija sebelum Tija jawab soalan aku tadi. Tija geleng kepala
sambil pandang aku hairan sebab tiba-tiba aje aku menggelabah sakan. Terus aje
Tija toleh ke tepi tempat yang tengah duk aku pandang masa ni.
“Kau kenal ke dia?” soal Tija tiba-tiba. Aku
terus angkat bahu dan pandang depan semula. Segan bila diperhati oleh lelaki
yang tidak dikenali.
“Dia syok kat kau tak?” soal Tija balik. Aku
rasa nak hempuk-hempuk aje minah ni sebab mengganggu konsentrasi aku nak
meneutralkan perasaan. Dah la aku ni jenis yang mudah perasan sendiri,
janganlah malam ni aku tidur sambil tersenyum dalam mimpi sudah.
“Dahlah, tak ada apanya. Entah-entah dia
pandang kau kut,” aku cakap sambil menyuap lagi buah epal yang telah dihiris ke
dalam mulut. Aku bukan cantik mana pun sampai orang pandang aku bagai terkeluar
biji mata ye tak? Rasa buah ni tak dapat tertelan pulak.
“Kau ingat aku buta ke Rian? Sah-sah dia tengah
tenung kau tadi. La, mana pulak perginya jejaka terhangat tu tadi?”
Aku terus pandang balik ke arah lelaki tadi
tapi macam yang Tija cakap lelaki tu dah ghaib dah. Aku gelisah tanpa sebab
munasabah sepanjang majlis tu mata meliar ke sana ke mari. Ish, susah betul
macam ni.
PETANG lepas balik kerja aku terus lepak dengan
kawan-kawan sekolej lamaku yang lain. Ma telefon suruh balik sebab ada benda
dia nak bincang denganku tapi bila aku cakap aku tengah lepak ma tak suruh aku
balik pulak dah.
Aku rasa baik aku balik sebab bila ma kata dia
ada benda nak bincang maknanya benda tu penting jadi aku pun tak bertangguh
terus balik rumah.
Aku tanya kat bibik kat mana ma dia jawab ada
dalam bilik. Apa ma buat dalam bilik petang-petang macam ni?
Bila aku dah ketuk pintu dua tiga kali barulah
ma buka pintu. Terkejut muka dia bila tengok aku dah balik rumah.
“Kata tadi lepak dengan kawan?” soal ma hairan.
Akupun sengih aje tarik tangan ma jalan keluar dari bilik dia. Rasa nak borak
kat depan rumah tiba-tiba lagipun pemandangan depan rumah cantik jugak sebab
ayah upah orang hari tu buat dekorasi taman.
“Ayah tak balik lagi ke ma?” aku tarik kerusi
depan kolam untuk ma duduk. Dia pun senyum bila aku tiba-tiba naik manja kat
dia sambil duduk kat kerusi tadi. Aku ambil tempat duduk depan ma sambil minta
bibik sediakan mimum petang untuk aku dan ma.
“Tak lagi. Ayah tu belum lepas Isya’ mana dia
nak balik,” ma jawab sambil merungut kecil. Aku pun sengih aje sebab aku tahu
ayah memang sayang gila dengan kompeni dia lebih daripada rumah ni kut? Tapi
yang pasti dia sayang ma dan aku lebih lagilah. Dulu ayah suruh aku belajar
pengurusan syarikat tapi aku tak nak walaupun aku ni satu-satu anaknya yang
akan sambung usaha dia naikkan kompeni. Jadi terpaksalah ayah reda bila aku
ambil course IT. Lepas habis belajar aku terus kerja kat butik ma punya. Jadi
sekarang ni aku kena cari bakal suami yang terer bahagian perniagaan sambung
kerja-kerja ayah supaya ayah senang hati tapi masalahnya mana aku nak cari
bakal suami yang ala-ala ayah tu?
“Rian dah ada calon ke?” soal ma lembut.
“Calon apa ma?” aku tanya sambil buat muka
blur. Sesaat terfikir cari calon yang boleh urus cawangan butik baharu ma
dekat-dekat Wangsa Maju tapi lepas tu aku terfikir ada calon suami.
“Calon suamilah sayang…” ma gelengkan kepala
berkali-kali. Aku pun sengih sampai ke pipi. Ma dah kasi soalan yang puaka tu
balik dah. Aku ni ada masalah sikit sebab tak pernah dapat nak lekat dengan
seorang pun jejaka. Agaknya saham aku tak berapa berharga kut sebab semua
lelaki yang aku kenal dah ada makwe masing-masing. Bila aku luah kat mak dulu
saham tak da orang beli terus dia marah-marah kat aku. Dia kata ada je tu jodoh
cuma aku je yang malas cari. Aku agaklah dalam dunia ni aku sorang je rasa low-confident
takut tak laku padahal kalau dikira aku ni taklah buruk sangat plus anak orang
kaya jugak jadi sepatutnya tak ada kes aku tak laku.
“Tak adalah ma. Ma kan tahu Rian ni susah nak
bercinta. Duduk kat butik ma tu aje-aje. Yang Rian menghadap hari-hari nama dia
Khairi tapi Khairi tu kalau Rian bawa jumpa ayah sah-sah kena reject
jadi menantu!” Aku siap gelak sakan padahal ma tunjuk muka serius semacam.
“Bukan setakat ayah reject, ma pun reject!
Rian jangan cuba nak cari pasal ye…” ma beri amaran.
“Tak adalah ma. Rian pun kalau cari mesti
hensem macam ayah,” aku bodek ma sambil tersengih-sengih. Ma ni setiap aku
cakap mesti dia ambil serius. Khairi yang auw tu bukan aku nak pandang rendah
tapi memang dia dah sah ada anak seorang takkan aku pergi ambil dia jadi laki?
“Ayah cakap dia ada calon untuk Rian…”
Aku bulatkan mata. Hati berdebar tiba-tiba.
“Nak ke tak?” soal ma. Aku terkebil-kebil
sorang diri. Selama ni memang aku nak suruh ma carikan aku calon pun tapi tak
sangka masa yang aku tunggu tu tiba jugak!
Bibik datang bawakan cucur udang dan seteko air
teh panas.
“Handsome tak ma?” soalku teragak-agak.
Malu sebenarnya! Hakikatnya aku taklah demand nak dapat bakal suami handsome
macam Brad Pit ke Robert Pattinson ke… Tapi sebab segan tak hengat terpaksalah
aku tanya common question kat ma.
“Kalau Rian nak tau pergilah jumpa dia
sendiri,” ma cakap sambil bantu bibik tuang air teh ke gelas aku.
“Ma set blind date untuk Rian ke?” aku
tanya malu-malu kucing. Ma pandang aku sekilas.
“Nak tunggu Rian cari sendiri sampai tualah tak
dapat-dapat jugak,” sindir ma terang-terang. Aku tersengih malu bila ma cakap
macam tu. Waaa… Agaknya betullah jodoh tu dah datang. Jodoh yang selama ini aku
tunggu-tunggu. Jodoh yang liat benar nak lekat pada aku. Tapi nak ngadap bakal husband
tu nanti macam mana? Nak buat apa, Rian? Senyum ke? Serius ke? Atau terus goda
aje dia? Aku mula fikir benda tak senonoh pulak!
“Kalau dia tak suka Rian, ma?” aku telan sebiji
cucur udang ke tekak. Ma jeling aku sudahnya.
“Siapa tak suka siapa? Rian ni, cuba yakin
sikit kat diri tu. Fikir kalau-kalau Rian yang tak suka dia kenapa nak fikir
dia tak suka Rian pulak dah?”
Aku pun berfikir sejenak kata-kata ma tadi. Ye
tak ye kan? Kenapa aku kena fikir dia tak suka aku pulak walhal benda belum
jadi pun…
“Bila tarikh nak jumpa tu ma?”
“Betul nak jumpa? Nanti malam ma cakap kat ayah.”
Ma cakap macam tu dan lepas tu dia terus ajak
borak pasal butik dia dan cawangan butik baru dia. Aish. Tension aku
sebab terganggu hal blind date ni. Janganlah tak jadi pulak tapi
betullah aku jadi haru pulak bila berfikir kalau-kalau lelaki tu nanti
pandang aku dengan sebiji mata aje… Ke patut aku pergi salon sebelum pergi jumpa
dia ni?
Sepanjang malam aku fikir pasal tu. Apabila aje
ayah turun ke ruang tamu selepas mandi dan buat hal dia, aku pandang ma
beria-ia cari eyes connection tapi hampa. Sebenarnya teringin nak tahu
siapa lelaki tu tapi sebab aku segan nak bercakap tentang bakal suami jadi kes
tutup macam tu aje.
7 Komen untuk Cik Rin:
Org tue adif ?
Omg!!!!! Bestnya......nk lagi kak aireen ,,,,,
Adakah lelaki yang nak dikenenkan dengan Rian tu Adif? hehehe.
bestlah... terima kasih kak Rin :)
best nyer dek..,nk ggg
Best.... #^_^
cepat sambung lagi .... ^_^)Y
Ceriter ni tetap menarik dan mengujakan. .penceritaan very consistent dan best.
mama setkan date..terbaik...
Post a Comment