CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Curi-Curi Cinta Bab 7



BAB 7

MELIHAT aku tak cakap apa-apa, Adami ambil satu beg plastik dari tanganku dan biarkan aku angkat satu lagi beg plastik. Aku hampir tidak percaya. Dia kesian kat aku kut? Atau tak sampai hati melihat aku bersusah-payah sebegitu sekali? Kalau betul, alangkah bahagianya seorang Irisya Sareefa. Tapi harapan itu cepat-cepat aku cantas tumbuh dari dalam diri kerana aku tidak mahu untuk terluka lagi.

“Kita makan dulu.”

Adami menunggu langkahku. Aku angguk.

“Nak makan kat mana?” dia tanya lagi. Aku tilik jam. Jam dah dekat pukul 8 dah...

“Maghrib dulu jom,”

Dia angguk dan terus membawa aku ke surau sebelah hujung kompleks membeli-belah ini. Selesai Maghrib, aku keluar dari surau wanita. Aku nampak Adami sudah tercegat bersandar di dinding sambil menyemak telefon bimbitnya. Tunggu panggilan dari girlfriend dia kut?

Lama aku berdiri di situ pandang muka Adami yang tenang seakan-akan tiada benda yang mengganggu fikirannya. Aku cemburu. Cemburu melihat dia begitu tenang sedangkan diriku sendiri seakan-akan lemas berada di sisinya.

“Abang...” aku sapa dia. Adami toleh ke arahku. Aku tunduk tanpa kata.

“Kenapa?” dia memasukkan telefon bimbitnya ke poket seluar.

Jeda.

“Cakaplah kenapa?” dia tekan suara.

Aku jeda lagi. Nak tanya tapi takut dia marah. “Tak nak tanya sudah...” dia mengorak langkah.

“Abang... Siapa nama makwe abang?”

Aku nampak dia tenang. Tetapi sesaat kemudian dia seakan-akan menggelabah.

“Errr.. Emmm.. Ha.. Hana.”

“Betul ni?” aku meminta kepastian. Redup anak matanya tidak mampu menghilangkan rasa sangsi yang bermain di hatiku. Mana tahu, dia buat-buat aje kewujudan Hana... Sebab dia benci kat aku sangat-sangat dia buat cerita yang tak pernah wujud?

Aku tahu dia main sebut aje. Kalau tidak, tentu dia terus menyebut nama Hana tanpa teragak-agak dan ragu-ragu seperti tadi. Tapi hati aku tetap terasa sakit mendengar nama itu disebut dari bibir Adami.

“Tak payah nak tahu sangat. Nak makan kat mana?” Adami alih tajuk perbualan. Aku menghela nafas pelan. Biarlah kali ini aku mengalah. Kalau aku tahu pun, aku juga yang akan sakit hati. Lagipun mungkin dia lebih selesa menyembunyikan hal itu dari pengetahuan aku sebab dulu-dulupun dia jarang nak luahkan apa yang terkandung dalam hatinya kepadaku. Dia lebih suka pendamkan perasaan walau sesukar mana masalah yang dia hadapi.

“KFC ?” dia soal. Aku bulatkan mata memandang wajah Adami galak. Waaaa... KFC!

Sudah lama aku teringin nak makan KFC sebab dulu-dulu selalu dengar kawan-kawan asyik bercerita bahawa mereka pergi ke KFC hujung minggu bersama keluarga, ah, kadang-kadang aku cemburu dengan kebahagiaan keluarga mereka. Haraplah mak nak belikan aku benda-benda macam tu, seumur hidup gamaknya aku mengidam. Adalah satu hari dulu Adami membawakan aku ayam KFC semasa dia sering melepak di tepi padang dahulu. Masa tu dia sweet sangat... Sekarang ni? Sekilas aku lirik wajah Adami. Cebik kecil. Sekarang ni tak payah nak mengharap sangat dia bagi aku makan sedap-sedap sebab dia dah bencikan aku tahap langit ke tujuh dah... Tapi hari ni dia baik pulak nak belanja aku KFC?

Tanpa sedar hujung jari Adami tolak dahiku lagi. Aku terdorong ke belakang.

“Abang dengki dahi Ica, kan?” di luar sedar aku merengus geram.

Dia ketawa kecil.

“Pemarah...” dia cakap. Aku geleng kepala sambil meletakkan tanganku ke dahi dan tekan untuk mengurangkan rasa sakit.

Tak lama lepas tu dia tarik lenganku mengikut langkahnya.

Sesekali aku dengar tawa kecil dari bibirnya, tak tahu apa yang dia geli hati sangat tapi aku ikut seronok tengok dia ketawa. Rasa macam dah lama sangat Adami tidak ketawa di hadapanku. Atau mungkin dia tidak lagi ketawa selepas tahu aku akan jadi isterinya?

Aku ambil set chicken rice dan Adami memilih snack plate. Aku tersengih aje semasa Adami keluarkan wang dia dan bayar makanan kami. Selamat duit aku...

Adami ketuk kepala aku lembut dan suruh aku angkat dulang berisi makanan kami ke meja.

“Muka tak payah nak senyum sangat.” Teguran dia bersalut sinis.

Akhirnya aku bawa dulang dengan seribu satu perasaan terpendam. Antara bahagia dan sebal bercampur aduk jadi satu.

“Dia ni tak ada perasaan.” Aku mengeluh kecil.

“Abang dengar, Ica..”

Aku terkesima apabila dia menoleh dan membahaskan diri dia ‘abang’. Aku rasa dia keliru pada dirinya sendiri. Sama ada anggap aku sebagai adik atau orang gaji. Tetapi dia biasa saja dan duduk di meja. Aku letak dulang atas meja dan duduk di hadapannya. Dia ambil dulang dan turunkan makanan kami ke meja. Dia letak dulang kat meja sebelah tempatnya sambil melirik ke arahku sekilas. Aku bergegas duduk dan mencuit daging ayam sebelum tiba-tiba tanganku diketuk kuat. Aku kerut dahi tanda sakit.

“Ye pun kalau dah kebulur sangat, tak cuci tangan dulu ke?” tanyanya memandang wajahku dan bibirnya hampir-hampir mengukir senyuman.

“Sudah.”

“Bila? Aku tak nampak pun?”

“Masa ambil air sembahyang tadi.” Aku jawab selamba. Dia ketuk lagi tanganku, kali ini lebih kuat. Aku tersentak memandangnya. Dia buat muka tidak puas hati.

“Air sembahyang tu dah tadi, nak makan cuci tangan dulu...”

“Sakit lah...” Aku merungut.

“Cuci tangan dulu.” Dia bertegas dan tunjuk ke arah sinki.

Aku terpaksa ikut cakap dia walaupun aku dah yakin benar tanganku bersih. Aku ambil sabun dan membuka paip. Aku pusing, tak dapat. Aku ketuk ke bawah, air masih tak keluar. Macam mana? Tak kan panggil Adami kut untuk tolong aku?

Akhirnya aku melangkah ke arah Adami dengan tangan yang masih berbuih. Adami gelak. Tentu dia pandang aku dari tadi dan tahu aku tidak berjaya membuka paip untuk mencuci tangan. Mukaku serta-merta bertukar warna menahan malu.

“Tarik kepala paip ke atas, air keluarlah.” Adami gelak. Dan gelak. Macam benda yang aku buat tadi tu sangat-sangat bodoh sampai dia tak tahan ketawa.

Aku kerut kening dan terpaksa pergi ke sinki sekali lagi. Kali ini aku ikut cakap Adami untuk naikkan kepala paip dan tiba-tiba je air keluar kuat dari paip. Mula-mula aku cuak juga tapi lepas tu aku buat muka batu. Aku cuci tangan dan turunkan kepala paip.

“Susah ke?” Aku toleh tepi dan Adami tersengih memandang aku sambil mengambil sabun. Dia amat dekat sehingga bahuku tersentuh dadanya. Aku terkejut dan cepat undur ke belakang. Jantungku mula berubah rentak, berdegup kuat.

Aku pandang ke arah meja makan kami.

“Abang tinggalkan barang kat situ tak ada orang ambil ke nanti?” soalku mengurangkan rasa gelabah.

Aku tinggalkan dia dan duduk di meja sambil terus makan. Adami ambil tempat duduk di hadapanku sambil tersenyum lebar. Baru aku perasa, hari ni dia banyak ketawa, tersenyum dan tergelak. Mungkinkah pintu hatinya terbuka untukku? Aku amat berharap dia dapat menerima aku sedikit masa lagi.

Dia membawa aku ke kedai baju dan aku menemaninya memilih baju wanita. Aku ingin bertanya untuk siapa dia beli baju tu tetapi tidak berani sebab aku takut dia jawab ‘untuk Hana’. Lagi pun tidak mungkin dia membeli baju untukku, dalam mimpi kut dapat? Jadi aku mengikut langkahnya dan sesekali membelek-belek baju yang aku rasakan cantik.

Aku nampak sehelai blaus putih potongan ikut badan dan renda di bawah, cantik. Aku belek penuh minat dan mengambilnya daripada penyangkut. Kemudian aku letak semula dengan penuh cermat. RM 80. Siapa yang nak beli baju semahal ini?

Aku toleh Adami dan dia sibuk pilih satu blaus berwarna coklet cair. Dia melirik ke arah aku sebelum memanggil diriku untuk menghampirinya. Dia acukan baju itu pada tubuhku kemudian mengangguk berkali-kali. Dia ambil baju putih yang aku pegang tadi dan bawa ke kaunter. Baju yang aku suka itu pun dia nak bagi kepada girlfriend dia? Aku gigit bibir tahan perasaan terkilan. Macam tak ada baju lain dia nak beli, baju yang aku suka tu jugak nak dikasi kat teman wanitanya... Dahla mahal. Tak sayang duit ke apa?

Aku hentak kaki tanda tak puas hati bila dia sudah berada agak jauh dariku. Lepas dia bayar, dia tarik aku ke sebuah kedai selendang. Perempuan itu pakai selendang ke? Sah-sah perempuan tu guna tudung, menutup aurat tak jenis macam aku yang free hair tudung tah ke mana. Rasa cemburu menjengah jiwa.

“Cantik tak?” soal Adami telus. Dia tanya aku tapi dia tak pandang aku, sibuk belek-belek selendang tu. Aku angguk dan buang pandangan ke arah lain. Lantak dialah cantik ke tak, bukan aku yang pakai... Kalau dia suruh aku guna tudung, sekarang-sekarang ni juga aku pakai tudung tapi Adami dan aku bukan suami isteri dalam erti kata sebenar. Dia tak kisah kalau aku guna tudung ke, guna baju ketat-ketat ke, guna baju macam nak sama dengan pengemis ke... Dia tak akan pandang aku.

Aku yang angkat semua barang-barang tercongok kat tepi kedai tunggu Adami. Hampir tanggal kakiku mengikut langkah kakinya. Aku tilik jam, 8.30 malam. Isya’ belum dan dia masih lagi leka memilih selendang. Akhirnya aku tarik sehelai selendang berwarna coklet cair dan hulur kepadanya.

“Yang ni cantik...” belasah je janji cepat sikit dia pilih. Adami kerut dahi. Eh. Orang dah pilihkan dia buat muka macam tu pula...

“Cantik ke?” soal Adami ragu-ragu.

“Cantiklah...”

“Kalau macam tu, yang ni ajelah...” akhirnya penantian aku berakhir juga setelah dekat 30 minit berdiri di sisi Adami, membiarkan Adami memilih selendang untuk girlfriend nya.

Dia nampak berpuas hati dan pergi membayar. Dia memang cepat berpuas hati asal warna barang itu coklet. Pernah dulu aku nyatakan yang aku suka warna merah jambu, dia kata ‘so girl likes’. Masa tu aku tak faham tapi sekarang ni, aku tahu Adami punya test bukan gadis biasa-biasa macam aku. Mungkin wanita itu terlalu istimewa di matanya.

“Solat Isya’ kat rumah ya?” Dia mengambil semua beg plastik dari tanganku. Aku angguk setuju. Penat sangat!

Dia pandang aku dan menyerahkan semua beg plastik kepada aku. Aku tercengang sebab aku ingat dia nak tolong aku angkat, serius penat sampai muka aku pun rasanya dah berminyak dan berpeluh.

“Aku nak pergi toilet sekejap.”

Dia tinggalkan aku sorang-sorang.

Aku menyandar di dinding sambil mata tala ke depan, lihat segala perlakuan gadis-gadis kota, dan lelaki-lelaki bandar. Jauh sangat perbezaan aku dan mereka. Haha. Kalau aku gadis versi bandar, nak ke Adami terima aku untuk jadi isteri dia?

Lima minit aku tunggu dia dan akhirnya aku duduk menyandar di dinding kerana tidak tahan berdiri. Kaki aku sudah sengal bertambah patah jadinya.

“Hai, duduk aje cik adik?”

Tiba-tiba tiga orang lelaki aku kira bawah umur 18 berhenti di depan aku. Tergelak-gelak dan tersengih-sengih memandang aku. Aku cepat-cepat berdiri dan kerut dahi.

“Kau orang ni tak ada mata ke? Dah nampak aku duduk, duduklah.” Balasku kasar. Mereka bertiga ketawa. Sangat-sangat biadap! Terbayang wajah-wajah lelaki yang dulu sewaktu aku kecil selalu membuli diriku. Samalah spesies dorang ni. Nak je aku ganyang sampai penyek sebab aku betul-betul tak suka dengan orang yang menindas kaum yang miskin dan lemah macam aku. Apa dia orang ingat kami bukan manusia yang ada perasaan ke?

“Itu yang hairan tu. Awak duduk sorang-sorang dengan barang banya-banyak ni, nak kita orang tolong ke angkut naik ke teksi?” tanya salah seorang daripada mereka. Aku memeluk tubuh memandang ke arah lain sambil mencebik.

“Tak payah...” Aku rasa nak tenyeh-tenyeh muka mereka bertiga pakai cili yang baru aku beli tadi.

“Akak buat apa kat sini? Tak balik ke? Dah malam bahayalah kak.”

“Eh, yang korang sibuk sangat ni kenapa? Korang lah yang patut balik. Mak marah nanti, padan muka.” Aku tempelak kasar.

“Mak kitorang tak marahlah kak. Mereka tak peduli pun...”

Aku pandang budak pendek yang seorang itu. Tak peduli? Agak-agak aku sama nasib dengan dia tak? Mak tak pedulikan aku sejak dulu lagi. Tiba-tiba rasa simpati menyerbu diri. Kalau benar dia orang ni tak dipeduli oleh orang tua, mesti perasaan mereka pedih macam apa yang aku rasa.

“Tak peduli?” aku ulang di bibir. Mereka bertiga angguk.

“Kadang-kadang sebulan baru dapat jumpa mak.” Komen salah seorang dari mereka. Mataku redup menyapa wajah-wajah di hadapanku. Tak sangka muka agak selekeh ingatkan budak baru nak belajar jadi gangster rupa-rupanya tidak mendapat kasih-sayang daripada orang yang sepatutnya.

“Habis korang nak musnahkan masa depan melepak kat sini ke?” soalku.

“Taklah... Kitaorang tak buat benda-benda salah. Janji hidup happy. Ada kawan-kawan, ada life... Kalau kat rumah pun bukan dapat nak happy.”

“Tapi tak bagus melepak kat shopping complex... Baik melepak kat library ke... padang ke...” macam aku dulu...

“Apalah akak ni... Tempat-tempat macam tu buat kepala sakit.” Dia orang gelak. Tak dapat tidak aku ikut tersenyum. Yelah... Lain orang lain cara nak luahkan dan lapangkan dada. Macam aku, cari Adami bila menangis...

“Ica?”

Aku terkejut seketika apabila Adami memanggil nama aku. Mereka bertiga turut menoleh, mungkin kerana aku pandang ke arah Adami.

“Siapa kak?” Bisik salah seorang daripada mereka.

Aku letak tangan kiri ke tepi bibir dan pandang mereka bertiga, “Husband.” Bisik aku dengan nada perlahan.

Mereka bertiga ternganga dan tiba-tiba terus berlalu pergi.

“Kakak dah kahwin?”

“Dah...”

Aku nampak terukir senyuman sinis di bibir mereka bertiga. Adami semakin mendekatiku dengan muka tegangnya.

“Kalau kakak ada anak, tolong jaga betul-betul dan jangan abaikan dia. That’s why you become a mother.” Selepas yang pendek tu cakap, mereka terus berlalu pergi. Aku pula yang terpinga-pinga melihat budak-budak itu pergi tanpa sempat aku kenalkan kepada Adami.

“Siapa budak-budak tu?” soal Adami menghampiri aku.

Aku pandang budak-budak itu masih lagi tersengih-sengih berdiri di depan sebuah kedai sambil memandang kami. Entah apa yang mereka bualkan.

Aku angkat bahu menjawab soalan Adami.

Aku nampak Adami seperti agak marah walaupun aku tak tahu apa yang dia marahkan tu. Jadi aku ambil keputusan untuk buat tak tahu dan tak faham. Kalau aku menyibuk juga, silap hari bulan dia sembur aku pula. Padahal sepanjang dia berkawan dengan aku dahulu, dia tidak pernah marah. Malah dia beria-ia menenangkan aku sekiranya aku tertekan atau mengadu. Manusia memang berubah-ubah.

Dia ambil dua buah beg plastik jadi aku angkat satu beg plastik yang berisi selendang dan baju-baju yang baru dia tadi beli. Di tangga eskalator dia bagi aku sebuah beg plastik dan aku terpaksa ambil juga sebab teringat apa yang aku tulis dalam buku ‘kena jadi isteri yang taat dan jangan lawan cakap abang’. Patutnya dia yang angkat sebab dalam beg plastik tu ada minyak masak segala macam yang berat-berat. Tahan je la hati nak buat macam mana dah dapat suami macam lalang kan? Sekejap nak tolong, sekejap jadi kejam. Apa entah yang bermain di kepala dia tu tak tahula.

Aku angkat dua buah beg plastik dan dia hanya satu je kat tangan. Tak terbalik ke sepatutnya dia yang pegang lebih... Aku jeling dia tanda tak puas hati. Aku hampir terjatuh semasa melangkah ke hadapan daripada tangga eskalator yang terakhir tapi cepat-cepat aku imbangi diri. Aku keluh lega sebab tak jatuh tergolek kalau tak memang nak malu satu dunia la. Dah la baju tak berapa nak cantik terbongkang depan ekskalator mau kena perli.

Tiba-tiba tangan Adami berlingkar di pinggang aku. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa debarnya jantung aku. Aku ketap bibir tanda tak selesa dengan perlakuannya.

Orang-orang yang berada di sebelah-menyebelah kami mula berpandangan sesama sendiri. Wajah aku memerah menahan malu yang mulai bertamu dalam diri. Aku berjalan dengan rasa serba tidak kena kerana tangannya beralih memaut bahuku, dia tarik tubuhku melekap pada tubuhnya. Aku nak terbeliak pun ada, berkali-kali aku cuba tenangkan hati yang maha berdegup kencang. Wajahku merona merah bila terdengar hembusan nafasnya di tepi telingaku walhal dia tinggi daripada aku berinci-inci.

“Ica, do you love me?”

Aku kedu. Apa yang dia cuba buktikan di sini? Aku orang gaji? Aku adik? Atau aku isteri?

Do you love me?” lagi sekali dia ulang. Kali ini langkahnya dan langkahku terhenti di tengah-tengah kompleks membeli-belah ini. Tubir mata terasa panas seperti hatiku juga. Cara dia bisik, cara dia cakap, seperti aku ini orang yang paling dia sayang hakikatnya cinta itu tiada di hati Adami.

Do you love me?” kali ini suara dia tekan. Air mata terjatuh sebutir ke pipi. Aku bergerak ke depan selangkah dan dia pegang lenganku kejap.

“Lepaslah!” Aku lajukan langkah dan tolak tangannya.

I love you... so much! Bisik hatiku itu kutelan sendiri, tak mampu nak luah... Takkan tu pun nak tanya aku? Takkan dia tak faham apa yang tersirat di hatiku setelah aku beria-ia mengkehendaki perkahwinan ini?

“Ica...” dia seru namaku. Dia lajukan langkah dan tarik pinggang aku ke sisinya kasar. Aku tertolak ke belakang tanpa mampu mengimbangi diri.

“Kalau sayang tu tunjuk ajelah, nak cover-cover bukannya aku tak tahu. Am I that charming in your eyes?”

Aku gigit bibir dan pijak kakinya. Padan muka! Gatal! Ada girlfriend pun masih nak gatal kat orang... Aku hambus nafas geram. Air mata yang bersisa kubiarkan jatuh dan aku melangkah laju menjauh darinya. Dia mengerut kening menahan sakit. Nasib baik aku guna selipar biasa. Kalau aku guna kasut ada heel, boleh tembus kasut sukan yang dia guna sekarang.

Aku lajukan langkah menuju ke kereta. Dia buka kunci kereta, aku terus masuk ke pintu belakang dan duduk. Aku letak barang-barang di sisi aku. Dia berdiri sebentar sebelum membuka pintu kereta dan meletakkan plastik bag di tempat duduk sebelah pemandu. Sedikit pun dia tidak bercakap sampai lah kami tiba di rumah.

Aku tahu dia marah sekarang. Tetapi aku tidak pasti apa yang dia marahkan. Jadi aku ambil keputusan untuk turut diam. Sampai ke rumah, dia letak barang di atas meja dan letak kunci di tepi televisyen. Dia terus masuk ke bilik. Aku masih berdiri tegak di tengah-tengah ruang tamu sambil menjinjing dua buah beg plastik di tanganku.

“Abang, baju-baju untuk girlfriend abang ni macam mana?”tanyaku.

“Hah?”

“Baju kekasih abang ni, nak letak mana?” aku ulang. Kali ini aku keraskan suara sebab waktu cakap kekasih abang tu hati dah terasa nak terbelah. Sakit.

Dia toleh dan pandang aku lama. Aku tidak tahu apa yang tengah dia fikirkan. Tetapi tak lama lepas itu, dia ambil bungkusan beg plastik yang berisi baju dan selendang dari tanganku sebelum masuk ke biliknya. Aku pandang tubuh Adami dari belakang sebelum dia menghilang dari pandangan. Aku mengeluh kecil. Rupanya baju itu untuk buah hati Adami. Mimpi lah aku di siang hari mengharap baju-baju itu dia beli untukku...

Hari ini benar-benar membuatkan diri aku keliru.

Do you love me?” terngiang-ngiang kata-kata itu di telingaku. Ah, hati... jangan mengharap sangat takut kau terluka tanpa mampu kurawat... Aku pejam mata rapat-rapat mengusir resah gelisah yang bertamu di hati.


Curi-Curi Cinta Bab 6




BAB 6

“NAK pergi mana ni?” soal Adami setelah mendapatkan tempat letak kereta. Aku yang termenung jauh menghadap cermin kereta tersentak daripada lamunan. Terpinga-pinga memandang wajahnya kerana agak janggal setelah lama tidak mendengar suara Adami bernada lembut kepadaku.

“Nak pergi beli...” balasku lambat-lambat. Adami menghela nafas panjang. Dahi ditekan perlahan.

“Nak beli apa?” soal Adami lagi. Kali ini suaranya bernada keras. Aku memandang wajah Adami sekilas sebelum kembali tala mata ke depan.

“Beli barang-barang dapur.”

“Turunlah...” dia cakap. Tapi aku tengok dia masih lagi duduk diam di tempatnya. Aku angkat kening melihat Adami masih lagi belum mematikan enjin kereta. Takkan dia nak tunggu aku kat dalam kereta kut? Aku bukannya tau sangat jalan kat sini... Tapi manalah tau dia malas nak turun, jadi dia tunggu kat kereta dan biarkan aku beli barang sorang-sorang. Aku telan air liur kelat bila perasan Adami Hafizi tenung wajahku tajam-tajam. Takpelah kut. Biar aku aje yang turun kalau dia tak nak teman... Bukan sesat mana pun. Kalau sesat nak ke dia cari aku ya? Agak-agak nak ke? Atau dia biarkan aje aku kat sini sampai bila-bila?

Aku buka pintu kereta tanpa pandang muka Adami lagi. Kalau betullah dia nak biarkan aku sesat dan tak jumpa dia lagi, aku rasa lebih baik aku redha atas segala-galanya. Tapi perasaan ingin menduga ini begitu kuat menggigit tangkai jiwa jadi aku harap sangat-sangat dia tetap tunggu aku di sini walaupun hati kuat sangat menyatakan lepas aku keluar dari kereta ni, dia pergi begitu saja.

Tapi baru aje aku jejak kaki ke lantai simen, dia membuka pintu kereta dan terus keluar dari kereta. Aku tercengang-cengang bila dia tarik tanganku dengan kuat. Masuk ke pintu gerbang pusat membeli-belah dia terus lepaskan tanganku tanpa bersuara satu apapun.

Dia masuk dan aku berjalan di belakangnya. Pandang tubuhnya dari belakang saja mampu membuat jiwaku terbuai lantaran lelaki inilah yang aku damba sejak kecil lagi. Aku tahu dia tidak mahu beriringan berjalan denganku kerana perasaan malu. Yelah aku ni perempuan comot dan kekampungan, dan dia pula lelaki yang segak bergaya dan mampu menjadi tumpuan semua mata. Aku keluh kecil. Antara kami berdua terlalu jauh berbeza dan aku langsung tidak menepati ciri-ciri perempuan yang dia suka. Kalau tak, takdenya dia nak benci kat aku tanpa sebab yang kukuh sebab dah sah-sah dari dulu lagi kami berkawan rapat.

Sesekali langkahku terhenti memandang kiri dan kanan kagum dengan apa yang terbentang didepan mata. Dia pula terus berjalan ke depan tanpa peduli aku ikut dia ke tak. Sampai di satu kedai, aku terpaku melihat kasut-kasut yang tersusun cantik di atas rak-rak. Cantik!

Aku tunduk melihat selipar yang aku pakai. Lusuh sangat nak dibandingkan dengan orang lain yang ada kat pusat membeli-belah ini. Aku tersengih kecil tanpa perasaan.

Mustahil untuk aku membeli selipar yang ada di situ kerana aku pasti harganya teramat mahal untukku.

“Ica.”

Aku menoleh ke hadapan. Adami berdiri tegak sambil memeluk tubuh dan memandang wajahku tajam. Aku senyum dan berlari menuju ke arahnya.

“Nanti sesat padan muka...” kutukan Adami tidak berbekas di hatiku malah membuat aku semakin tersenyum lebar. Nampak sangat telahanku sewaktu berada di parking lot tadi salah. Adami tak da niat nak tinggalkan aku sorang-sorang kat sini, aku je fikir terlalu jauh...

Adami tunjuk hadapan tanda dia mahu aku dulu yang berjalan di hadapannya. Akupun terus jalan melepasi tubuh Adami dan dia ketuk kepala aku sebelum berlalu pergi. Entah apa yang ada dihatinya... Mentang-mentanglah aku orang gaji dia sesuka hati nak buat apa kat aku... Orang gaji?

Aku mengikut langkahnya sambil menggaru kepala. Aku gigit bibir. Nampak sangat aku dah mula terbiasa dengan status baru ini. Orang gaji? Sejalur senyuman terukir di bibir. Aku orang gaji tercantik di Malaysia lah kut...

“Senyum-senyum dari tadi. Happy sangat ke?” tiba-tiba je dia tanya. Aku terpinga-pinga tak tahu nak jawab apa sebab selama ni aku dan dia rapat tapi bila dah jadi renggang macam ni, dia sendiri nak jauhkan dirinya daripada aku, lidah pun dah cukup terkelu untuk meluahkan kata-kataku untuknya. Aku tertunduk apabila Adami berjalan menghampiriku. Perlahan aku terasa seolah-olah tangannya di bawa ke atas kepalaku, seperti bertahun dulu.

“Jalan dekat abang.”

Jeda.

Abang? Aku terkesima pandang sepasang anak mata redup milik Adami. Ya tuhan... Aku dah salah dengar atau benar yang Adami Hafizi kembali membahaskan dirinya sebagai abang? Melihat dia lama merenung wajahku, aku tahu yang aku dengar tadi itu benar-benar terjadi. Senyumanku melebar. Cepat-cepat aku berganjak ke sisinya. Berjalan seiring dengan Adam. Seperti... Seperti adiknya.

Aku mengikut ke mana sahaja langkahnya tanpa mengendahkan pandangan dan renungan orang lain. Mungkin sebab Adami dah kembali melayan aku seperti dulu-dulu, jiwaku seakan menari-nari. Bagiku dia segalanya dan hanya dia yang ada di dalam hidup Irisya Sareefa. Tiba-tiba dia berhenti di satu persimpangan. Aku turut berhenti dan mendongak mencari wajahnya. Lepas tu aku senyum balik. Lega sebab muka dia masih lembut seperti tadi. Bayangkan kalau kat tengah-tengah ramai orang ni dia boleh mengamuk lagi kat aku, malu satu hal, sedih lagi satu hal. Yelah kita ni pakai baju pun bukan cantik dan sepadan jika digandingkan dengan Adami Hafizi punya baju. Jauh beza. Tang mata orang lain semua pandang kat aku mesti dia orang fikir aku ni orang gaji lelaki terhensem abad ini. Keluhan terbit dari bibir.

“Belilah apa-apa yang patut...” Adami tunjuk deretan rak sayur-sayuran.

“Wah!” Aku tengok harga sayur sawi yang ada di situ RM 1.23 sen paling murah. Tu pun bungkusan sikit je cukuplah aku dan Adami makan tapi masalahnya aku mana ada duit nak bayar. Setakat RM 5 bolehlah aku cekau mana-mana sikit pun tapi nak kena beli banyak barang untuk stok. Takkan nak mintak duit kat Adami? Dia nak ke? Aku telan air liur.

Aku pandang wajah Adami sekilas sebelum tertunduk lama. Nak minta pun kena fikir jauh sebab aku tak nak dia marah kat aku. Aku nak dia tengok aku yang sempurna. Aduhai... Irisya Sareefa tidak akan bertukar menjadi puteri-puteri yang punya rupa dan harta biar bersungguh mana pun dia mencuba. Sebab tu ke aku tak padan dengan suamiku sendiri?

Aku ambil timun dan tilik harga sambil melepaskan sebuah keluhan kecil. Adam buat tidak tahu. Aku garu kepala sendiri. Beli ke tak ke? Tak ke beli ke? Terasa rimas terpaksa fikir benda-benda macam ni. Kalau aku tahu dulu, sebelum jadi isteri Adami aku pergi ambil upah jahit baju.

“Ica!” Aku terkejut mendengar suara Adam yang betul-betul berada di belakangku.

“Ada bawa duit?” soalnya ringkas. Aku buat muka sambil geleng kepala. Taklah kan dia fikir aku ada duit sedangkan lepas SPM aje aku terus kahwin dengan dia... Nak harap mak beri duit poket, sampai aku dah bersuami ni pun paling banyak dia beri RM 0.50 je.

Dia ketuk dahi aku lagi. Aku bulatkan mata pandang muka dia. Ini apa kes dari tadi dia main ketuk-ketuk kepala? Kalau dah gatal sangat nak ketuk kepala orang, pergilah beli drum ke baldi ke... Aku gosok dahi kuat untuk kurangkan rasa sakit sambil menarik muka masam. Dalam diam Adami tersenyum kecil menahan geli hati.

“Kan aku dah beri buku bank?”

‘Aku’ balik dah dia guna. Baru je tadi hati nak berbunga riang sebab dia bahaskan diri sebagai abang. Adami ada split personality ke? Aku pandang dia dengan muka penuh tanda tanya tapi dia buat muka tak beriak dan dingin kepadaku. Keluhan terlepas dari hujung bibir.

“Buku bank ada, nak keluar duit kat mana?” aku balas. Tapi sebenarnya aku tak bawa pun buku bank yang dia beri sebab bagi aku itu hak Adami dan aku tak berhak nak ambil hak dia sebab aku dah ambil banyak benda dari hidupnya. Contohnya... kehidupan Adami sendiri? Dia mana nak nak kahwin dengan Irisya Sareefa kalau boleh.

“Nanti buat kad bank. Beli je apa-apa. Nanti aku bayar.”

Aku tinggalkan dia dan memilih udang kering yang di jual di situ. Akhirnya aku angkat semua barang-barang masak yang aku rasa aku perlu beli. Hampir satu bakul penuh. Aku jeling Adami, dan Adami hanya pandang aku sambil letak tangan dalam poket. Aku jalan pada dia setelah selesai memilih.

Kalau tak fikir dulu, buku bank dia, bukan buku bank aku... Aku pun tahu kalau nak keluarkan duit dari bank kena ada IC, cap jari bagai. Dan cap jari itu cap jari dia, bukan cap jari aku. Aku mengutuknya di dalam hati.

“Dah ke?”

Aku angguk.

“Kalau gitu kita balik terus.”

Dia nak melangkah tapi aku cepat-cepat keraskan diri.

“Abang, kita beli koko krunch? Ica teringin nak makan dari dulu lagi...” jari-jari dah tunjuk kotak-kotak bijirin yang ada di tepi Adami.

Dia angguk aje tak banyak cakap.

Aku angkat satu koko krunch yang harga dia RM 15. Dia rampas kotak tu dan ambil kotak yang lebih kecil. Taulah duit dia, tu pun kedekut.

Dia ambil susu putih Everyday, aku tanya untuk apa, dia tak jawab. Adami bawa aku ambil sos cili, jem, roti, kicap manis, kicap masin, garam, ajinomoto, bawang, dan aku yang tukang angkut semua barang-barang yang dia ambil tu.

Dia mengambil dua keping coklat cadburry dan selepas tu kami ke kaunter pembayaran. Aku rasa dia suka makan coklet sebab sebelum ni aku ada tengok juga dia makan coklet dengan kawan-kawan dia di padang.

Bila dah bayar, aku bergegas angkat dua buah beg plastik dan tunggu Adami di tepi kaunter. Masa tu Adami pun dah tengok aku sambil kerut kening.

“Tak berat ke?”

Berat-la-jugak. Tapi kata-kata itu sekadar di dalam hati sebab aku nak Adami nampak yang aku ni kadang-kadang berguna untuk dirinya. Sebab aku dah rasa yang aku ni selalu menyusahkan dia.