CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, February 20, 2018

VENUS BERBICARA : PROLOG





Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. – (Al-Faatihah 1:6-7)







“KAKAK, jangan pergi. Rose tak nak kakak pergi. Kakak duduk aje kat sini dengan Rose, dengan abah, mak dan adik.”
“Tak boleh la, kakak nak study, balik boleh dapat gaji besar…”
“Kakak, kalau kakak pergi siapa nak jaga Rose?”
Kay terduduk di sisi Rose Dhamia, merenung wajah comel itu lama.
“Rose nak ikut kakak?” tanya Kay lembut. Rose mengangguk kepala berkali-kali.
Mak dan abah dah lama menahan sebak melihat air mata Rose yang tak henti jatuh dari rumah sampailah ke lapangan terbang ini.
“Nanti siapa jaga Kal? Temankan Kal? Kakak pergi tak lama, kakak pergi belajar macam Rose juga. Rose kan dah besar, kena faham situasi kakak. Nanti bila tiba masanya, Rose juga kena buat keputusan dan pilihan untuk sambung belajar. Kakak pun tak nak berjauhan dari keluarga, tapi Rose… kakak anak sulung, harapan mak dan abah.”
Rose Dhamia, sudahlah… jangan menangis lagi. Kakak kalau boleh tak nak pergi tapi kakak berlagak kuat depan mak dan abah supaya dia orang tak sedih. Kalau Rose terus-terusan macam ni, kakak mungkin akan tukar fikiran. Kay menggumam di dalam hati. Jantungnya bagai direntap-rentap ketika ini. Dia langsung tidak berani mengangkat muka memandang Puan Aisya dan Encik Rizhan bimbang air matanya tak mampu untuk ditahan.
“Janji kakak balik…”
“Hey.. Mestilah kakak balik.”
Rose mendepakan tangannya dan Kay cepat-cepat memeluk gadis kecil itu. Selamat tinggal Rose, jangan lupa jadi anak yang taat kepada mak dan abah.. Bila kakak tak ada, Rose kena jadi anak sulung dalam keluarga. Rose kena jadi penyejuk hati mak dan abah, gembirakan mereka.
Masuk ke balai berlepas antarabangsa, Kay kehilangan bicara. Air matanya jatuh bercucuran seperti pedihnya hati dia saat ini. Benarlah, cita-cita itu perlukan seribu satu pengorbanan.
Kay mengesat air mata berkali-kali tidak peduli beberapa mata yang berminat merenungnya. Dia harus menelan segala kepahitan!



TUJUH tahun…
Apa khabar mak dan abah? Kay menolak kaca mata gelapnya dari atas hidung. Dia mengangkat kening sedikit cuba menghilangkan rasa kantuk yang masih menerjah. Empat jam rupanya dia sudah tertidur pulas.
“Milo ice,” pinta Kay senyum ke arah pramugara yang berdiri di sisinya.
Setelah mendapatkan ais milo dari pramugara itu, Kay mengambil headphone dan menekan skrin kaca untuk menyambung movie yang ditontonnya tadi.
1 jam lagi sampailah. Dia berbisik di dalam hati.
“Minat cerita aksi ya?”
Kay menoleh ke sisi. Sepanjang 5 jam ini lelaki di sebelahnya tidak membuka mulut sama sekali. Bercakap dengannya, kah?
“Ni?” tanya Kay menunjuk ke arah skrin kecil di hadapannya. Lelaki muda itu mengangguk. Sepertinya tadi, lelaki itu juga mengenakan kaca mata hitam. Fikir Kay lelaki itu sedang dibuai mimpi.
Lelaki itu mengangguk kecil.
“Oh, kadang-kadang tengoklah. Tapi tak minat sangat tengok movie.”
Kay menunggu kata-kata seterusnya dari lelaki itu tapi hampa.
Malas mahu ambil kisah, dia kembali menonton babak yang tertayang di depan mata.
Kay berdeham kecil.
Ah, tak sabar rasanya untuk kembali bersama keluarga setelah bertahun-tahun terpisah. Ingatan di Perth terasa baru beberapa hari lepas terjadi. Tahun pertama dan kedua dia pulang berhari raya menggunakan wang yang abah dan mak kirim. Tetapi selepas itu dia gagal periksa. Gagal kali kedua dan hampir dibuang dari universiti.
Kay hampir berputus asa.
Tapi terkenang janji lamanya dengan Rose Dhamia, Kal Dhamien dan abah serta mak, Kay bertarung dengan diri sendiri. Bukan sedikit air mata yang menemaninya sepanjang malam, berhari-hari dia menangis tanpa teman!
Selepas itu empat tahun dia tidak pulang ke Malaysia. Empat tahun yang dia abdikan seluruh tenaga dan usaha untuk berjaya. Ada kelapangan cuti semestar Kay lakukan kerja-kerja sampingan untuk mengumpul wang. Dia tidak mahu bergantuk sepenuhnya dengan Puan Aisya dan Encik Azmi. Orang lain bersuka ria, tapi Kay enggan ikut serta. Dia serik dan takut. Takut dirinya gagal lagi dan menerima tekanan yang lebih besar.
Empat tahun itu akhirnya dia berjaya menggenggam segulung ijazah. Pengorbanan yang terbayar dengan tidak sia-sia.
Setahun kemudian Kay masih berada di Perth melebarkan sayap di tempat kerja yang mengambilnya selepas dia menamatkan musim praktikal dengan cemerlang.
Dan satu hari, Zilla teman serumah Kay pulang ke bilik sewa dengan linangan air mata.
“Kay, mak aku meninggal.”
Dia berkongsi kesedihan dengan Zilla. Kay rasa dadanya dihentak. Masa akan sentiasa berjalan dan kematian itu bila-bila masa akan berlaku. Zilla, pasti perit tak sempat berbakti pada orang tua menjaga makan minum serta kesihatan mereka.
Kay tidak mahu menyesal. Kerana itu Kay berhenti kerja dan kembali ke bumi Malaysia walaupun hatinya belum puas untuk membeli sebuah kejayaan. Kejayaan boleh dicari, tapi mak dan abah tak kan ada pengganti.

 

Tuesday, December 19, 2017

NOVEL KOREAN ROMANCE STYLE: KEJU DI HATIKU

Terbitan : Nov 2017
Penerbit : KejouBook Publication
Penulis : Domi RYC
Genre : Kdrama Style



Novel K-Romance Style yang sedang EPIK, DRAMATIK & ROMANTIK bakal menemui anda!

🧀 KEJU DI HATIKU 🧀

Daniel Kim, model terkemuka tanah air yang kacak tapi penuh misteri memerangkap Hana ke penthousenya.
"Ikut je cakap aku selagi kau duduk kat sini!" Daniel Kim.
Apa yang dimahukan oleh Daniel? Perlukah Hana meminta pertolongan polis untuk mengeluarkan dia dari kemelut ciptaan sang psiko Negara yang punya ramai peminat?
Menjadi penghuni di penthouse mewah milik Daniel bukan perkara yang mudah. Dalam diam jiwa Hana terbuai ke awan!
Shiwon, pesaing Daniel dalam bidang modelling muncul dan membuat onar. Gosip buruk tentang Daniel mula dijaja di media massa. Daniel dipaksa menjauhkan diri dari Hana ketika cinta mula menular.
“Baik kau jauhkan diri dari perempuan tu. Kau tentu lebih tahu kenapa!” Ujar Shiwon keras kepada Daniel.
Cinta tak pernah mudah untuk seorang lelaki bernama Daniel. Dan ketika Hana meninggalkan Daniel gara-gara masa lalu lelaki itu, Daniel jadi nanar. Dia bakal kehilangan satu-satunya wanita yang paling dia sayang!
Tapi kenapa Hana terus-terusan menghantar pesanan kepadanya jika dia benar-benar dilupakan?
“Dari pertama kali kau hantar mesej, aku sedar aku tak boleh balas. Sebab kalau aku balas, kau mesti takkan hantar mesej-mesej tu, kan?” Daniel.
.
🧀🧀🧀🧀
Hubungi
http://www.wasap.my/+60103744191/kejunovel untuk tempahan. Buku READY STOCK!
RM 30 (FREE POSTAGE!)


Review #Yusnida Tajudin:
Review keju di hatiku

Baru page 48.. 
tp dah menggelekek ahkak ketawa.
Adoiii.. korea sgt dik oiiii... 
Tetiba mcm terbayang2 je Oppa Kim Hyun Joong
Sambil2 baca layan Whistle best gak ni....ngeh3
...everytime u show up.. aah.. aah.. 😝

#KejudiHatiku
#oppalasgtahkakoiiii!

..............



Review #Sunita swanto BukuBoom:

 Done buku ke 10, Dec 2017

Keju di hatiku
Domi-Ryc

Kisah yg berkisar di negara korea. Membaca novel ini membawa kita ke negara Kpop sekaligus minda tertumpu kepada Korean.

Perjalanan cerita yang santai atau cool.  Tidak terlalu berat kepada pembaca hanya ketika babak Aunty Yuna ingin membunuh Hana, hati berdebar dan suspense.

Kalau di adaptasi ke drama,  mau ku selalu terkejut dengan aksi Daniel yg misteri. Selalu muncul mengejut, berlainan dengan Shiwon.

Kenapalah ku terbayang Lee Min Ho sebagai Daniel dan Kim Hyun Joong sebagai Shiwon. Ku bukan obses kpop tapi boleh plak terbyg mereka ni.

Penulis berdua mempunyai pengetahuan yg membanggakan dgn budaya kpop ia terserlah dalam penceritaan Keju Di Hatiku.

Keseluruhan cerita memang menarik. Saya suka saya suka



Review #Zack Yusoff

Salam hujung minggu semua..
Tamat..
Keju Dihatiku gabungan 2 penulis kesayangan DoMi NiSa dan Rinsya Chasiani..cerita yg bagus  dan lain dari karya2 penulis ni yg sebelumnya..sesekali bc citer mcm ni best juga..sy x pndai nk review..apa pon tahniah yea penulis2 ni n i like watak Daniel Kim..hihi..








Sunday, August 13, 2017

LELAKI DINGIN BAB 6


LELAKI itu menghentikan langkahnya ketika di pintu dapur. Dia menoleh ke arah kami lagi. Mata dia terpancar cahaya dingin. Aku kaku tak berani nak keluar suara sebab takut kena halau. Mana tahu, kan?
"Sorry." Satu ayat terkeluar dari bibirnya.
Dia tersenyum kecil dan senyuman itu membuat hatiku jadi cair.
Sungguhlah kacak sangat senyuman dia. Sweet manis bagaikan madu ditambah gula tebu. Mujur tak ada orang tahu apa yang berlaku dalam hatiku kalau tak mahu gali kubur sendiri malam ni.
"Eh, kenapa minta maaf pula? Ainal Aalif kan?" Kak Mia bertanya buat kali yang kedua. Lelaki itu terus berlalu tanpa sebarang jawapan menuju ke dapur.
Aku pandang Kak Mia hairan. "Agaknya dia dengar akak cakap dia sombong."
Kak Mia pukul bibir dia tiga kali. Menyesallah kut.
"Dia kecik hati ke ek?"
"Entah... Tapi kak kenapa dengan dia?" soalku separuh berbisik. "Pelik!" Aku menyambung dengan muka serius.
"Manalah akak tahu, akak pun tak kenal dia. Rasanya dia lah tu anak Prof Azria. Satu-satunya anak Prof Dr Azria," balas Kak Mia turut berbisik.
"Kesianlah kak."
"Itulah, akak tengok dia pun kasihan. Hidup dia macam tak ada arah je," komen Kak Mia. Pertama kali aku setuju dengan kata-kata Kak Mia sejak kami menjejak kaki ke rumah ni.
Rupanya Kak Mia ikut rasa apa yang aku rasa.
"Mana Kak Mia tahu dia hidup tak berarah?"
"Riah, kalau orang lain tak adanya bereaksi dingin seperti ais. Paling-paling pun menegur kita juga buat apa kat rumah dia atau tanya nama ke.. Tujuan ke. Satu ayat aje keluar dari mulut. Sorry. Apa yang dia sorry tu sebenarnya. Tak faham."
"Jadi akak rasa dia gilalah?" Aku tanya tanpa berfikir panjang. Kak Mia tolak bahuku agak kuat sehingga aku hampir rebah ke sisi sebelah sofa.
"Riah ni suka benar dengan perkataan gila."
Aku kertap bibir memikirkan keadaan diriku di sini. Nak bercakap tak reti, perasaan pun pelik-pelik aje yang menghasut akal. Aku pun tak ada tujuan hidup agaknya sampai sanggup duduk kat rumah ni tanpa apa-apa matlamat. Baik balik saja.
"Tapi handsome kan, Riah. Isy, nasib baik akak dah kahwin."
Aku jeling Kak Mia tanpa sedar.
Lelaki itu muncul lagi sambil memandang ke arah kami dan kali ini dengan senyuman yang agak mesra. Di belakangnya Datin Azria berjalan tenang dengan menatang air di dalam teko dengan kuih-muih.
"Ni anak lelaki saya, Ainal Aalif. Panggil aje Nal. Pendiam sikit orangnya tapi lama-lama nanti kalau dah kenal okey aje," ujar Datin Azria menyedapkan perasaan kami.
Aku pandang lagi Ainal Aalif dan kali ini lebih cermat. Kepala dia tak ada rambut sangat, dipotong sangat pendek menampakkan kulit kepala. Wajahnya agak sugul walaupun ada senyuman tersungging lemah di hujung bibir.
"Nal, ini kawan-kawan ummi. Sarmiah dan Qariah... Adik beradik." Datin Azria memperkenalkan kami kepada anaknya, lembut.
Aku dapat rasakan kasih-sayang yang terpancar pada seraut wajah ibu milik Datin Azria untuk lelaki itu.
Rasa syahdu pula sebab aku tahu serba sedikit cerita mengenai lelaki itu. Kasihan Ainal Aalif. Lagi kasihan dekat Datin Azria yang menanggung perasaan melihat anaknya sedang berada dalam keadaan yang tak stabil begini. Dulu pasti lelaki ini bukan begini. Pasti dia seorang yang ceria dan positif. 
"Panggil aje Kak Mia. Ini adik akak panggil aje Riah. Single lagi," ujar Kak Mia tanpa segan silu. Aku memicingkan mata terkejut dengan pernyataan Kak Mia. Takut kalau-kalau kewujudan aku di sini disalahertikan oleh Ainal Aalif dan Datin Azria. Aku tak bawa maksud apa-apa dan aku tak suka dengan gurauan Kak Mia yang agak tak bertempat. Malulah kat Datin Azria dan si Ainal!
Datin Azria ketawa seraya melangkah mendekati kami.
"Minumlah Sarmiah... Riah."
Cepat-cepat aku membantu Datin Azria meletakkan pinggan dengan kuih-muih di atas meja ruang tamu.
"Tak apa, prof. Saya tuangkan airnya." Kak Mia menghalang Datin Azria dari menuangkan air ke dalam gelas.
Ainal Aalif pula masih berdiri di sisi ibunya seolah-olah menunggu arahan dari Datin Azria. Aku mencuri pandang sebentar dan sedikit terkedu apabila mata kami bertentangan buat beberapa detik.
"Nal nak duduk?"
Lelaki itu menggeleng membalas pertanyaan ibunya.
"Kalau tak nak duduk di sini, duduk dalam bilik bacaan. Jangan naik atas lagi, ya?"
Ainal mengangguk kecil menurut kata-kata ibunya. Alah, sayang nampak gagah perkasa tapi anak mak. Dia menurut aje cakap mak dia tanpa banyak soal. Lelaki itu menghilang diri di bilik bersebelahan dengan tangga yang pastinya bilik bacaan milik keluarga itu. Amboi, bilik bacaan! Rumah papan kami tu, aku bekerja dalam bilik tidur aje kut.
"Dia memang macam tu, tak mesra sangat dengan orang yang baru dia jumpa. Tapi dia bagus hari ni."
"Lama dia macam tu prof?" soal Kak Mia prihatin dan ingin tahu.
Air muka Datin Azria sedikit keruh. "Dah okey sikit tu Sarmiah. Dulu dia jumpa orang pun dah terjerit-jerit. Entah kenapa dia tiba-tiba diam saja hari ni."
Aku pandang muka Datin Azria dengan tanda tanya. Boleh menjerit ke mamat tu? Rileks saja aku tengok.
"Elok sikit mood dia," komen Datin Azria dengan senyuman manis. Nak tanya sebenarnya apa jadi dekat Ainal tapi memandangkan soalan sebegitu boleh menimbulkan perasaan tidak enak, aku telan aje dalam hati sendiri. Nanti-nanti tahulah.
"Minumlah Riah. Air tak seberapa ni aje yang aunty sediakan."
Aik? Aku tunduk sebentar. Dia bahasakan dirinya aunty. Aku jadi keliru untuk memanggil wanita itu sama ada aunty, prof, doktor, atau datin. Banyak sangat pangkat dia.
"Sedap aunty." Aku puji selepas memakan kuih yang dihidangkan. Wanita itu tersenyum senang. 
"Nasib baik sedap, first time juga buat kuih ni, Riah."
"Prof, saya ada bawa bahan saya untuk prof semak..."
"Ke sini pun bawa bahan juga Sarmiah. Kerja keras betul awak ni ya." Ketawa. Aku pun ikut gelak juga biarpun benda tak lawak mana.
Memang niat Kak Mia ke sini untuk konsultasi pun kan.
"Maaf prof mengganggu hujung minggu ni."
"Tak apa, saya tengah free juga."
Bila mana Kak Mia buka laptop dia, aku terus jammed tak tahu nak buat apa. Selama 10 minit tercegat mendengar perbualan ilmiah Kak Mia dan Datin Azria mengenai analisis data, nak guna SPSS untuk analisis dengan anova dan korelasi entah apa benda.
"Qariah boleh tolong sekejap tengok-tengokkan Ainal tengah buat apa?"
"Hmm?" Aku terkebil-kebil tanpa perasaan. Boleh ke aku pergi tengok lelaki itu? Kang mengamuk menjerit, aku juga yang kalut nanti.
"Risau pula aunty dia seorang saja kat dalam bilik tu."
"Oh... Okey." Aku setuju aje. Hendak menolak tetapi kata-kata Datin Azria berbunyi seperti arahan. Tapi nak pergi ke bilik itu seolah-olah kakiku dirantai dengan berat batu 10 kg.
Nak pergi ke tak Riah?
Pergi ke tak?
Tapi kalau tak pergi rugilah. Bila dapat jumpa lelaki kacak macam artis lagi, kan? Kacak dari Fattah Amin kut.

Lambat-lambat aku memasuki bilik bacaan keluarga mewah ini dengan hati yang berbelah bahagi. Riah biar betul ni? Getus hatiku sebaik sahaja aku mengetuk pintu bilik bacaan yang sedikit terbuka. Bila aku tolak pintu bilik bacaan, mata Ainal Aalif memandang ke arahku dengan penuh minat.
"Maaf mengganggu," ucapku perlahan. Dia masih diam tanpa bicara.
"Boleh masuk ke ni?" tanyaku sedikit canggung.
Bila dia langsung tidak bereaksi, aku berkira-kira untuk membatalkan niatku memasuki bilik itu. Mana tahu dia tidak selesa dengan kehadiranku. Lama aku memandang ke arahnya yang sedang membaca buku tebal duduk santai di kerusi sofa. Dia langsung tak angkat muka menghayati buku setebal novel Siti Rosmizah. Ulat buku pula dia ni kan? Untunglah siapa dapat pakwe kacak lagi suka membaca begini. Classy pula cara dia membaca ditemani dengan kopi panas di atas meja dan lukisan besar tergantung kat dinding belakang dia. Macam pernah aje aku tengok scene di dalam cerita Korea.
Bila dia diam macam tu, aku dengan tak tahu malunya menapak masuk ke bilik bacaan tu. Ala tegur-tegur ringan aje kut tak kan dia nak marah pula kan...
"Awak baca apa tu?" Aku mengambil tempat duduk di hadapannya.
Dia memandang ke arahku dengan senyuman. Terasa hangat darah mengalir ke seluruh badan.
Dia senyum Riah. Dia senyum lagi!
Aku dah mula kecoh dalam hati.
"Saya Riah." Aku memperkenalkan diri mana tahu dia dah lupa dengan namaku walaupun ibunya telah memperkenalkan ku tadi.
"Riah?" sebutnya tiba-tiba. Dan tiba-tiba rasa seronok menyelinap dalam hatiku.
"Hmm... Nama awak Ainal?"
Dia angguk kepala lambat-lambat. Aku fikir mungkin dia kurang selesa atau rasa tidak selamat sebab anak mata dia dah mula bergerak-gerak.
"Jangan risau, saya tak jahat," ucapku cuba menenangkan dirinya. Aku tak faham kenapa aku pujuk dia cara memujuk budak kecil. Ainal ni tua. Badan dia kalau dibandingkan denganku dua kali lebih besar dan tinggi.
Dia kembali rileks dan bahunya nampak lebih bidang. Aku senyum menahan lucu dalam hati.
"Hmmm, boleh kita jadi kawan?"
Dia seolah-olah tak nak. Aku hela nafas dalam.
"It's okay, take your time. Saya duduk diam-diam kat sini." Aku cakap dengan nada yang rendah.
Lebih baik aku duduk di sini dengan lelaki yang pasif daripada duduk di ruang tamu mendengar celoteh ilmiah Kak Mia dengan pensyarahnya. Aku seluk poket mencari telefon bimbit dan membuka aplikasi candy crush. Jarang-jarang layan game begini kecuali masa betul-betul dah bosan tahap gaban.
"Riah.."
Aku angkat muka bila dia panggil. Matanya masih setia menatap ke arahku seakan-akan menunggu kata-kata dari bibirku. Aku mengangkat kening bertanya mengapa kemudian kembali bermain dengan aplikasi game dalam telefon pintar.
Diam kembali.
Lebih 30 minit bermain aku jadi naik geram kerana tidak berjaya melepasi tahap permainan itu. Aku mengeluh sambil meletakkan telefon ke sisi. Tanpa rasa malu aku mula bangun dan mengeliat kecil.
"Boleh ke saya baca buku-buku di sini?" tanyaku kepadanya.
Ainal Aalif memandang kembali ke arahku. "Hmmm.." Dia menggumam tanda memberi kebenaran.
Nak kata tak ada mulut, ada je tu. Tapi malas sungguh dia nak balas kata-kataku dengan ayat penuh.
Tidak membuang masa, aku membelek satu persatu buku di rak buku. Kebanyakan tentang kehidupan sebagai usahawan berjaya, buku agama, penjagaan dan perkembangan kanak-kanak dan lain-lain lagi.
Rasanya buku mak dia kut sebab banyak yang ilmiah ni. Buku-buku jurnal dan prosiding pun berlambak.
Dia memandangku dengan penuh minat, begitupun aku buat-buat tak tahu aje. Lama aku di sisi rak buku tanpa mempedulikan kewujudan lelaki itu. Buku bertajuk Pengolahan Manuskrip Bijak yang kutemui di rak tersebut membuatkan aku jadi teruja membacanya sampai tak sedar hampir sejam lebih berada dalam bilik tu. Maklumlah, terjumpa buku dalam bidang...
Mendengar ketukan di pintu barulah aku tersedar ke alam realiti semula.
"Apa Riah buat berdiri kat situ?" soal Kak Mia memandang aku dan Ainal Aalif silih berganti.
"Hmm? Baca buku ni?" Aku menunjuk buku di tangan.
Sekilas aku memandang ke arah Ainal Aalif yang baru aje mengubah tempat duduknya. Di tangan dia ada surat khabar.
"Nak lepak lagi kat sini ke nak balik?"
Cepat-cepat aku meletakkan semula buku itu di tempatnya. Tak perlulah aku menjawab pertanyaan Kak Mia. Memang dah tak sabar nak balik dah ni. Rindu kat rumah sendiri. Kalau kat rumah ni dah sedap tergolek atas tilam sambil baca emel.
"Ainal.." Datin Azria muncul di belakang Kak Mia dan Kak Mia pula segera bergerak ke tepi.
"Nak makan?" sambung Datin Azria lembut.

"Belum nak lagi," balas Ainal Aalif tenang. Wajah Datin Azria berubah serta-merta. Tak dapat dibaca sama ada dia gembira atau sedih. Aku mengambil telefon bimbit di sisi Ainal Aalif dan mendekati Kak Mia.
"Dia selesa tu dengan Riah," ujar Datin Azria kepadaku samil tersenyum kecil.
"Oh?" Aku mengangkat kening seraya memandang ke arah lelaki itu. Dia tetap juga begitu tidak mengendahkan kami semua dan khusyuk dengan bacaannya. Aku menghadiahkan senyuman kepada Datin Azria. "Baguslah kalau macam tu.." balasku. Sebenarnya aku tak faham dengan kata-kata Datin Azria langsung. Di mataku lelaki itu tampak normal cuma mungkin suka menyendiri. Tetapi reaksi Datin Azria pula seolah-olah perkara itu besar di matanya. Aku tersengih kecil tanpa sedar. 
"Lain kali Riah datanglah lagi. Aunty betul-betul mengharap Riah datang lagi," ujar Datin Azria memegang kedua-dua tanganku.
"InsyaAllah aunty," balasku serba-salah. Tidak mahu memberikan wanita separuh abad itu harapan tetapi tidak juga berani mengecewakan kehendaknya. Macam datin ni anggap aku dah berkawan dengan Ainal aje gayanya.
"Balik dulu prof. Terima kasih banyak-banyak membantu saya dalam proposal ni. Kalau tak entah macam mana saya nak buat laporan."
"Awak student terbaik saya, Sarmiah. Saya seronok dapat membantu awak. Dan terima kasih juga membawa Riah ke sini. Untuk Nal."
Untuk Nal?
Apa pula? Aku pandang wajah Kak Mia lurus. Kak Mia tersengih sahaja menarik tanganku untuk keluar dari bilik bacaan tapi aku tetap berdiri tegak di tepi Datin Azria.
"Maksud aunty apa? Untuk Nal..." Aku memandang ke arah Datin Azria meminta penjelasan.
"Terima kasih kerana membuat anak aunty tenang dan berkawan. Aunty cukup menghargai Riah, tak ada orang yang buat Nal nampak rileks dalam tempoh dan jangka masa yang lama, Riah," puji Datin Azria. Setiap kerdipan matanya menandakan dia sangat bersyukur dengan kehadiranku ke sini dan aku pula mula merasakan tidak selesa dengan harapan Datin Azria yang hampir berbunga.
"Tapi saya tak buat apa-apa pun. Duduk baca buku saja."
Datin Azria menghulurkan senyuman sambil menggenggam tanganku dengan lebih rapat.
"Nanti datanglah lagi... Temankan Nal. Mana tahu Riah boleh buat Ainal jadi normal balik."
Kata-kata terakhir Datin Azria untukku membuat mindaku berfikir panjang. Adakah dia benar-benar mencari teman untuk anaknya atau mencari penjaga buat lelaki itu kerana dia selalu tak tenang dan suka menjerit? Tapi Ainal Aalif tak nampak seperti yang digambarkan oleh Kak Mia dan Datin Azria pun. Dia rileks, normal dan lagaknya tidak jauh berbeza dengan kebanyakan lelaki. Ya mungkin dia lebih serius dan tidak suka bergaul tapi perlu ke aku jadi pakar psikologi dia?